Tuesday, May 15, 2018

TUMBANGNYA BN DAN UMNO KERANA SALAH STRATEGI

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

BN menjadi mangsa strategi politik mereka sendiri. Kesan pertandingan tiga penjuru bersama PAS melawan Pakatan Harapan (HARAPAN) dan kesan persempadanan semula kawasan pilihan raya tidak memihak kepadanya.
Sebelum ini, ramai pemerhati politik menganggap HARAPAN akan kecundang apabila bertembung dengan BN dan PAS serentak terutamanya di kawasan majoriti Melayu.
Apatah lagi persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) jelas berpihak kepada Umno melalui pengukuhan kerusi-kerusi di kawasan majoriti Melayu.
Impian BN- terutama pemimpinnya Datuk Seri Najib Razak - ialah untuk memastikan mereka menang di kerusi majoriti Melayu walaupun dicabar dalam pertandingan tiga penjuru.
Tidak pasti mengapa BN dan PAS kedua-dua parti itu tidak mengadakan persefahaman pilihan raya melalui agihan kerusi, iaitu Umno tidak bertanding di kerusi PAS, manakala PAS pula akan berbuat yang sama untuk Umno.
Yang pasti PAS tetap meletakkan calon mereka di kerusi-kerusi majoriti Melayu yang ditandingi HARAPAN.
Kajian tidak rasmi BH Online pada 11 Mei 2018 berhubung jumlah undi popular membuktikan BN kecundang dengan strategi tersebut.
Tawaran dari 3 kerusi
Melalui kiraan akhbar berkenaan, HARAPAN memperolehi 5,685,252 undi atau 50.1% iaitu kurang sedikit berbanding 50.9 peratus yang dicapainya pada PRU ke-13.
Sebaliknya, BN yang mendapat 47.4 peratus pada PRU ke-13 merudum kepada 32 peratus atau 3,624,921 undi. Perpecahan undi Melayu telah membolehkan PAS mendapat 2,043,159 undi atau 18 peratus.
Walaupun PAS menambah undi popularnya daripada 14.8 peratus pada PRU ke-13, kerusi yang diperolehinya menjadi kurang, iaitu daripada 21 kepada hanya 18 kerusi parlimen.
Tambahan pula, pada PRU ke-13, sebagai rakan pembangkang Pakatan Rakyat, ia bertanding di 73 kerusi Parlimen berbanding 157 dalam PRU kali ini.
Namun, di peringkat negeri PAS berjaya mengekalkan Kelantan dan merampas Terengganu. Parti itu juga menawarkan kerajaan perpaduan di Perak walaupun mereka hanya ada tiga kerusi DUN.
Yang menjadi mangsa pertandingan tiga penjuru bukannya HARAPAN tetapi BN. Malah persempadanan semula turut menjadi keris makan tuan kepada BN - khususnya Umno - kerana undi Melayu banyak dicuri PAS.
Suasana ini sudah diramalkan oleh Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong, pada tahun lalu. Pada pandangan Liew pertembungan tiga penjuru di antara BN, HARAPAN dan PAS akan merugikan BN, malah tidak banyak menguntungkan politik nasional PAS.
Liew juga pernah menulis pada September 2017 dengan menjelaskan:
“Jika benar HARAPAN lemah dan tiada arah tuju, pertembungan tiga penjuru semestinya akan menguntungkan Umno-BN.
“Tetapi jika HARAPAN tampil sebagai kerajaan alternatif dan menarik minat golongan yang menolak pentadbiran kleptokratik Najib, selain mereka yang mengimpikan permulaan baru untuk Malaysia, maka Umno dan PAS hanya akan dipertahankan oleh penyokong tegar mereka sementara semua pengundi lain beralih sokongan kepada HARAPAN.
“Dalam senario seperti itu, pengundi-pengundi yang setia kepada PAS pimpinan Hadi Awang yang kini menjadi jurucakap kerajaan Najib mungkin mengundi Umno sekiranya pertembungan satu lawan satu.
"Namun dalam pertembungan tiga penjuru, senario itu akan merugikan Umno.”
Itulah yang terjadi dalam PRU ke-14. Walaupun ramai sangsi dengan pola pengundian orang Melayu, akhirnya berlaku gelombang kebangkitan rakyat seperti yang telah diperhatikan oleh Liew sejak beberapa tahun lalu.
Namun, tidak dinafikan kehadiran PAS sebagai pihak ketiga dalam PRU ke-14 turut menjejaskan kerusi-kerusi HARAPAN tetapi tetap gagal menyekat tsunami rakyat yang mahukan perubahan besar.
Sebagai salah seorang pemimpin DAP, Liew tidak pernah putus asa mengajak pimpinan HARAPAN bekerja keras menarik undi Melayu walaupun ada segelintir pemimpin pakatan itu yang tidak begitu yakin dengan usahanya.
Korban untuk negara
Pada Julai 2015, Liew telah mengemukakan idea kemungkinan meletusnya tsunami politik Melayu sebagai kesinambungan tsunami bandar (atau dianggap orang sebagai tsunami pengundi Cina) pada PRU ke-13.
Beliau yakin undi orang Melayu akan beralih kepada HARAPAN kerana mereka marah dengan tekanan ekonomi serta kesan sosialnya akibat pemerintahan Najib.
Fenomena kebangkitan rakyat dapat dilihat jelas apabila orang Melayu bersatu jiwa dengan kaum-kaum lain untuk hadir memenuhi ruang-ruang ceramah sejak parlimen dibubarkan pada 7 April lalu.
Bukan saja di bandar-bandar utama di Selangor dan Pulau Pinang tetapi juga di negeri kubu BN seperti Melaka, Negeri Sembilan, Pahang dan Johor.
Di Johor, Liew sebagai pengerusi DAP negeri bekerjasama baik dengan pimpinan HARAPAN terutamanya Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai peneraju Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
Walaupun Liew sendiri tewas tipis kepada Datuk Seri Dr We Ka Siong dalam persaingannya untuk kerusi parlimen Ayer Hitam, peranannya membantu HARAPAN merobohkan Johor sebagai benteng BN amat besar.
HARAPAN mendapat 59 peratus undi popular berbanding BN 33 peratus dan PAS 8 peratus.
Nasi sudah menjadi bubur. Walaupun pahit untuk ditelan, apa yang berlaku kini adalah hakikat yang perit untuk diterima oleh pemimpin UMNO. Kini UMNO dan Barisan Nasional harus belajar menjadi pembangkang yang berkesan, satu posisi yang tak pernah diimpikan oleh mereka. 

Sumber berita asal di sini.

No comments:

Post a Comment

Jejak yang ditinggalkan

MENJALA TALAPIA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Agak lama juga saya tidak menjala ik...