Monday, August 31, 2009

Kemerdekaan, Moga Negaraku Terus Gemilang

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.
Jika manusia, usia 52 tahun dianggap menghampiri 'usia emas'. Bagi sebuah negara berdaulat seperti Malaysia, usia ini masih muda. Asalnya negara ini bernama Tanah Melayu, Malaya  yang  mendapat kemerdekaan melalui rundingan dan kerjasama  antara penduduk pribumi  dan imigran India dan China  serta kaum lain. Akhirnya perpaduan tersebut membawa kepada kebebasan  daripada penjajah British pada tarikh 31 Ogos 1957 yang lalu.
Semenanjung Tanah Melayu kemudiannya bergabung dengan Sabah, Sarawak dan Singapura yang membentuk Malaysia pada 16 September 1963. Ini juga disebabkan tekanan pengaruh komunis ketika itu yang cuba menangguk di air keruh. Parti Komunis Malaya (PKM) melakukan pelbagai taktik jahat dan kejam demi memastikan masyarakat menerima kehadiran mereka.
Pada 1965, Singapura melalui muslihat Lee Kuan Yew, pemimpin Parti Tindakan Rakyat (PAP) telah keluar daripada gabungan Malaysia atas sebab-sebab yang mudah. Paling menyedihkan, Singapura yang menjadi pusat perkembangan ekonomi Malaya ketika itu menjadi sebuah negara bebas setelah mendapat 'izin' Perdana Menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman.
Sesiapapun tidak boleh mengubah sejarah. Ia sudah tertulis begitu dan sehingga bila pun, itulah hakikatnya.
 Hari ini, Malaysia sudah boleh duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara lain. Bagaimanapun, masih banyak cabaran yang perlu ditempuhi untuk tempoh-tempoh yang akan datang.
Moga-moga Malaysia kekal aman dan sejahtera. Bagaimanapun, perpaduan kaum harus dipelihara, kerana ia adalah kunci keamanan dan kesejahteraan bersama. Jangan terlalu banyak meminta, sehingga menggadaikan kedaulatan raja Melayu dan agama Islam. Orang Melayu pada dasarnya boleh berkongsi negara dengan kaum lain di negara ini. Hormatilah perlembagaan, bak pepatah orang tua-tua, di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.
SALAM KEMERDEKAAN BUAT SEMUA SAHABAT BLOGGER DAN PENGUNJUNG. SEMARAKKAN SEMANGAT PATRIOTIK UNTUK NEGARA KITA.

Sunday, August 30, 2009

Tazkirah Ramadhan (1)

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Harta vs Iman (daripada emel rakanku Cikgu Zul)

 


Syukur kepada Allah swt kerana memberi berbagai nikmat yang tidak terhingga kepada kita, dan kini masih memberi peluang untuk kita hidup di bulan Ramadhan yang penuh berkat. Sebagai tanda kesyukuran kepada Nya, kita hendaklah dengan banyak-banyak ingat kepadanya, mematuhi semua ajaran dan menjauhi semua larangan Nya .

Firman Allah swt bermaksud: Dan Dia telah memberikan kepadamu (keperluanmu) dari segala apa yang kamu mohonkan kepadanya. Dan jika kamu hitung nikmat Allah, tidaklah dapat kamu hitungkannya. Sesungguhnya manusia itu sangat zalim dan sangat mengingkari (nikmat Allah).[Ibrahim: 34]

Salah satu cara kita mensyukuri nikmat Allah ialah bersyukur dengan harta yang dianugerahkan Nya kepada kita, dengan tidak lupa untuk menyumbangkan sebahagian harta tersebut kepada orang lain yang memerlukan sama ada dalam bentuk zakat atau derma, terutamanya di bulan Ramadhan yang mulia ini. Dengan ini Allah akan sangat menyukainya dan pasti akan menambahkan lagi rezeki kepada hamba-hambanya yang bersyukur.

Firman Allah swt bermaksud : Katakanlah: Sesuingguhnya Tuhan Ku melapangkan rezeki dan menyempitkan bagi siapa yang dikehendaki- Nya di antara hamba-hamba- Nya. Apa-apa yang kamu nafkahkan di antara sesuatu, maka Allah akan menggantikannya, dan Dialah sebaik-baik Pemberi rezeki. [As-Sabak: 39]

Ingatlah segala harta yang dimiliki oleh seseorang adalah milik Allah, dan ianya tidak ada nilainya di sisi Allah, keculi keimanan dan amal soleh seseorang itu.

Firman Allah swt bermaksud: Hartamu dan anak-anakmu tidak dapat menghampirkan kamu di sisi Kami, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka untuk mereka itu balasan yang berlipat ganda, kerana amalannya, sedang mereka aman sentosa dalam kamar-kamar syurga. [As-Sabak: 37]

Sempena Ramadhan yang mulia ini, sama-samalah kita tingkatkan ibadah, dan amalan soleh untuk mencari keredhaan Allah swt.

“Barangsiapa yang bersungguh-sungguh mencari keredaan Kami, nescaya benar-benar akan ditunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami.[Al-Ankabut: 69]

Tahniah Jagung...

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.
Semalam, seorang rakan lama dari Johor, Balok menghubungi aku.
"Din, tau tak Jagung dapat ke UK, buat Ph.D?"
"Tak tau. Bila?" Aku bertanya semula.
"September ni dia ke sana. Raya pun di sanalah." katanya lagi.
Aku hubungi Jagung, dan dia mengesahkan akan pergi ke UK untuk tempoh dua tahun.
"Doakan.." katanya sebelum mengakhiri perbualan.
Jagung diberitakan akan pergi bersama Peah dan anak-anak mereka. Semuanya ditanggung, dengan elaun dan yuran belajar yang dibiayai sepenuhnya. 
Jagung atau Zulhazmi Sayuti, rakan kolej kelima, UPM dahulu antara rakan yang masih berhubungan, biarpun begitu faktor jarak dan tugas menjadikan hubungan kami tidak seintim dahulu.
Masih teringat lagi, daripada seorang 'budak Dip Tani' (Diploma Pertanian), Jagung meniti kejayaan demi kejayaan. Dia menjadi Pegawai Kanan di MARDI selepas menamatkan Master dan kini akan ke UK untuk segulung Ph.D.
 Belakang: Shakran dan Pit
Depan: Pojie, Jagung dan Aku
Mengapa dia mendapat gelaran Jagung? Sebabnya di kolej kami, budaya menamakan junior dengan istilah yang hampir dengan unsur alam telah bertapak kukuh. Bukan setakat Jagung dan Balok, rakan lain juga ada gelaran tersendiri, seperti Kambing, Kodok, Arnab, Tongkai, Kudut, Selut, dan seumpamanya. Ironinya nama-nama itu lebih bersifat mesra berbanding nama sebenar. 
Ketika kami ke Medan, Sumatera, Jagunglah yang buat persembahan menyanyi lagu Seroja bersama aku, dan yang paling aku tak lupa, dia 'kehabisan suara' ketika menyanyikan 'chorus' yang bernada tinggi. Masa itu, nak gelak pun ada, tapi sebab aku pun di pentas yang sama, aku ikut sajalah rentaknya. Dalam hati, punyalah kelakar, dan selepas itu aku, Balok dan yang lain-lain, gelak berguling-guling mengenangkan kisah lucu itu.
Kami pernah membentuk kumpulan (grup) makan untuk mengurangkan bajet. Lauk dibeli di Kafetaria, manakala nasi sahaja yang kami masak. Ia boleh menjimatkan belanja hidup di universiti yang memerlukan banyak wang. 
Tapi itu dulu, semasa kami masih bujang dan masih bergelar siswa. Kini, masing-masing sudah ada kerjaya dan rezeki yang ditentukan Allah.
Moga Jagung selamat pergi dan pulang, dan beroleh segulung Ph.D. Insya-Allah.

Saturday, August 29, 2009

Permulaan Yang Baik, Atau Buruk?

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Manchester United, juara bertahan Liga Juara-juara 2008-2009, berjaya mengelakkan pasukan elit seperti Real Madrid, Inter Milan, Lyon dan Barcelona di samping kelab-kelab EPL dalam unidan pusingan awal Liga Juara-juara musim ini.

 
Barangkali, yang agak senak dengan pengundian kali ini adalah kelab-kelab dalam Kumpulan A, yang rata-rata merupakan pasukan yang biasa ke suku akhir atau akhir Juara Liga Eropah. Bayern Munich dan  Juventus tidak boleh memandang mudah Macabi Haifa dan Bordeaux.
Ramai yang ingin melihat bagaimana MU selepas ketiadaan Ronaldo dan Tevez. 
Apa-apa pun, sokongan peminat amat penting. Seperti biasa, aku tetap menyokong kelab ini. 
Jangan marah, arrrrrrrr...

Ilmuwan Terbilang Pergi Tiada Pengganti

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Satu-satunya orang cacat penglihatan yang menjadi Senator

Satu-satunya anak Melayu buta yang mempunyai Ph. D (Doktor Falsafah)

Kehebatan ilmu pengetahuannya setanding dengan mereka yang celik, menyebabkan beliau disegani oleh pelbagai pihak. Pakar ekonomi, Senator Prof Datuk Dr Ismail Md Salleh, akhirnya meninggal dunia akibat serangan jantung ketika dalam penerbangan dari China ke Singapura, awal pagi semalam pada usianya 61 tahun.

Menurut isteri beliau, Datin Hasnah Wahab yang turut berada dalam penerbangan itu menemani suaminya, dia mendapati Ismail yang sedang 'tidur' tiba-tiba terlentuk kepalanya ke atas bahunya.
"Saya dapati suami saya sudah tidak bernyawa dan bila saya pegang, tangannya sudah sejuk," 

  Ismail ketika itu selesai menghadiri satu mesyuarat mengenai urusan universitinya, International University College of Technology Twintech di China.
Dr Ismail Md Salleh

Mereka bertolak 25 Ogos dan pulang malam 26 Ogos serta di jadual tiba di Singapura pada 3.45 pagi.

Jenazah kemudian dibawa ke Lapangan Terbang Senai, Johor untuk diterbangkan oleh pesawat ke Lapangan Terbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang di sini.

Moga Allah merahmati roh beliau.

Adakah kita mempunyai pengganti seperti Ismail lagi?

Patah tumbuh, hilang berganti, tapi yang tumbuh biasanya tak sama dengan yang patah.. Yang hilang pun kalau berganti banyak juga bezanya. 

Thursday, August 27, 2009

Terima Kasih Kartika!

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.
Umum sedia maklum dengan kisah seorang model sambilan beragama Islam yang telah dijatuhi hukuman denda, penjara dan sebat oleh mahkamah syariah Pahang setelah mengaku bersalah minum arak di sebuah premis. Hukuman sebat ke atas Kartika Sari Dewi Soekarno yang telah diputuskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan yang telah ditangguhkan pelaksanaannya atas beberapa faktor.
Sebenarnya, kita perlu berterima kasih kepada Kartika. Ini kerana dia mengakui kesalahannya dan bertekad untuk menerima hukuman sebat TANPA MERAYU kepada pihak berkenaan. 
Kedua, hakikat sebenar yang dialami oleh mahkamah syariah di negara ini, adalah ia masih dipandang rendah biarpun hukumannya berlandaskan hukum Islam. Jurucakap ABIM, Fadhlina Siddiq, polemik ini  berlaku kerana masyarakat masih tidak faham dengan pelaksanaan undang-undang sebatan di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.
"Tidak kurang juga yang gerun lalu menentangnya kerana momokan hukuman sebatan ini sangat kejam kerana membawa kepada kecederaan kekal, mengaitkannya dengan gambaran negatif pelaksanaan sebatan di Mahkamah Sivil di bawah Kanun Prosedur Jenayah 1998." ujarnya.
"ABIM ingin mengingatkan bahawa hukuman sebatan ini telah diperuntukkan di bawah kuasa negeri, di mana Raja adalah bertanggungjawab ke atas hal ehwal agama termasuk dalam hal pelaksanaan undang-undang syariah yang diperuntukkan di bawah enakmen ataupun akta di sesebuah negeri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Di Malaysia, khususnya di bawah peruntukan undang-undang jenayah Islam negeri, pelaksanaan bagi hukuman sebat bagi pelbagai kesalahan di bawah Enakmen Jenayah Syariah telah diperkenalkan dan dilaksanakan.Namun demikian, sehingga kini hanya negeri Kelantan dan Pahang sahaja yang telah melaksanakan hukuman sebatan ini.
Kelmarin, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan Datuk Abdul Rahman Yunus mengarahkan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) supaya menangguhkan hukuman sebat ke atas Kartika sempena menghormati kemuliaan Ramadan.
Ironinya, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata hukuman Syariah bukan perkara enteng yang boleh dilaksanakan semudahnya lebih-lebih lagi apabila Jabatan Penjara tidak mempunyai sebarang pengalaman. Malah, Jabatan Penjara juga tidak mempunyai tukang sebat yang berkelayakan. (Rujuk Utusan)

Ulasan Menteri, Datuk Shaharizat Abdul Jalil, biarpun berlapik, menunjukkan betapa ada kalangan Menteri yang masih belum memahami aspirasi di sebalik hukuman sebat ke atas pesalah jenayah syariah.

Sebaliknya, Mufti  Perak dalam kenyataannya menempelak golongan yang mempertikaikan hukuman sebat dengan menjelaskan sebatan yang dikenakan ke atas pesalah jenayah syariah tidak sama dengan sebatan terhadap pesalah jenayah sivil.

Kartika masih dengan pendiriannya untuk menjalani hukuman sebat kerana meminum arak tetapi ditangguhkan pada saat-saat akhir dengan alasan perintah tahanan terhadapnya tidak dapat dilaksanakan ketika ini. Apa pun, isu Kartika menjelaskan banyak perkara tersirat di sebalik hukuman sebatan itu sendiri.

Wednesday, August 26, 2009

Terlepas Sahur..

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.
Peristiwa tidak bersahur atau 'terlajak' bukanlah sesuatu yang luar biasa. Setiap orang mungkin pernah mengalaminya. Setakat 5 hari berpuasa, belum lagilah aku terlajak tidur.
Semasa kecil, jarang sangat terlajak tidur. Mak sentiasa 'kunci' jam untuk mengelakkan terlepas sahur. Sesudah berumah tangga, menjadi kebiasaan mak menelefon anak-anak yang sudah berkeluarga untuk bangun sahur. Kekadang tugas itu diambil alih oleh ayah.
"Ya ayah, baru jaga. Ada apa, ayah?" 
"Bangun dah?, Jangan tidur, nanti tak bersahur." Kata ayah sebelum memutuskan talian.
Begitulah rutin mak dan ayah, kekadang bergilir menelefon kami supaya tidak terlepas sahur.  Yang penting, anak-anak yang berumah tangga tidak terlepas sahur.
Pentingnya sahur, sehingga Nabi dalam satu hadisnya menyatakan maksud bahawa bersahur membezakan puasa umatku daripada umat lain.
Kini, sudah hampir tiga tahun suara-suara itu, mak dan ayah tidak menggerakkan kami lagi. Baik Yong, aku, Sani, Oun dan Wa, masing-masing amat terasa ketiadaan mak dan ayah pada setiap kali Ramadhan. 
Kelmarin, Yong sekeluarga terlepas sahur. 
"Yong teringat arwah mak, rajin 'gerak' kita bersahur." katanya seakan-akan melepas rindu.
Sebenarnya aku pun rindu juga dengan arwah mak dan ayah. Insya-Allah, mereka tenang di sana, tanpa perlu memikirkan masalah kerja dan seumpamanya. 
Ya Allah, masukkanlah arwah mak dan ayahku ke dalam syurga-Mu. Amin.

Monday, August 24, 2009

Kurma Dan Ramadhan

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Kurma sudah sinonim dengan bulan Ramadhan. Sukar mencarinya pada bulan-bulan lain. Tapi pada bulan yang mulia ini, mudah benar dicari. Berjenis-jenis pula. 
Kalau dahulu, kebiasaannya kurma merujuk kepada satu jenis. Entahlah. Tapi kurma itu tetap manis. Memang 'pantang' kalau mak tengok anak-anaknya berbuka tanpa menjamah kurma dahulu.
"Ambil kurma tu, sunat.." katanya kepada kami sewaktu berbuka puasa semasa kecil-kecil dahulu.
Hari ini, jenama kurma YUTA atau Yusuf Tayyub sudah terkenal di Malaysia. Agaknya, Yusuf Tayyub pun sudah menjadi jutawan kerana produk yang diborongnya ini semakin diterima oleh masyarakat termasuk masyarakat bukan Islam.
Hari ini, ada kurma dari jenis muda, bertangkai, dan entah apa lagi yang memang berbeza dari segi warna, bentuk mahupun rasa. Ada kurma mariami, safia, cafari, mabroam, madu dan rabia.

 
Seorang penjual sedang melayan pelanggan membeli kurma muda dari Bahrain

Tapi kurma tetap kurma. Ia sudah sebati sebagai sebahagian daripada juadah berbuka puasa. Kalau tiada, tak lengkaplah juadah berbuka sebenarnya.

Saturday, August 22, 2009

Susah Mengajak Anak Bersahur

 
Saya dengan ini menyahut cabaran Shifu67, dengan target 70 kg, ukur lilit pinggang 32. 
(Sekarang, berat 76kg, pinggang 34).

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

"Ngapa tengok je nasi tu? Makan. Nanti masuk imsak, tak boleh makan dah." Aku menggertak Angah yang terkebil-kebil memandang nasi. Dia menjamah juga nasi, tapi hanya dua tiga suap.
Adik beradiknya yang lain begitu juga, makan pun perlahan. Tak seperti biasa. Tapi waktu bersahur, memanglah kurang berselera. Kadangkala, nak gelak pun ada melihat karenah anak-anak yang bersahur. Ada yang terlentuk-lentuk depan nasi, yang muka 'toye' pun ada. Uda dan  Yang nampaknya ok. Yang mengejutkan, Abang Chik pun bangun, bersemangat nak puasa. 
Tapi pada usia 5 tahun, aku tidaklah memaksa dia. Cukup sekadar puasa setengah hari. Itupun kalau larat. Abang Chik bersahur macam yang lain juga pagi ini.
Dulu, di rumah kecil kami, ayahlah 'tukang gerak', manakala mak tentunya sibuk menyediakan juadah bersahur. Mak dan ayah yang banyak jasanya membesarkan kami, kini sudah tiada. Tapi sedikit sebanyak apa yang diajar dahulu, kuterapkan untuk anak-anak pula. 

Agaknya,  pe'el kami kecil-kecil dulu, 'menurun' ke anak-anak pula...

Thursday, August 20, 2009

Tupai

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Seekor tupai melompat dari satu pokok ke satu pokok. Lonjakan kakinya yang kecil begitu mengagumkan. Tupai boleh meniti dahan dan ranting tanpa rasa gayat.

Kita harus belajar cara mencapai matlamat, seperti resmi tupai. Dari pokok A ke pokok B, tupai akan memfokuskan matlamat mencapai pucuk atau dahan yang tertinggi, demi memastikan ia dapat ke pokok B. Dengan cara ini, apabila melompat, tupai pasti akan 'singgah' di dahan yang selamat untuknya, kerana ia sudah memfokuskan matlamat yang tinggi.

Maknanya, jika ia gagal mencapai dahan tinggi, ia masih dapat mencapai matlamat asalnya, iaitu pindah dari poko A ke pokok B.

Begitulah tupai.

Teringat lagu dikir "Anak Tupai" yang dipopularkan oleh Halim Yazid, seorang budayawan anak Kelantan yang terkenal. Lagu itu sangat menarik dan banyak pengajaran daripadanya.

Tuesday, August 18, 2009

Ramadhan, Kedatanganmu Penuh Nostalgia

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Insya Allah, pada hari Khamis ini, kita akan melihat 'anak' bulan. Semasa kecil, aku memang anggap bulan akan 'melahirkan' anak, sebab setiap kali menjelang puasa, pihak berkuasa akan menetapkan tarikh melihat anak bulan di tempat-tempat tertentu.

Semasa meningkat remaja, aku, Sani dan Oun pernah jatuh motor ketika pergi solat subuh bersama. Itulah kenangan bulan Ramadhan yang tidak kulupakan.

Arwah mak meninggal dunia dalam bulan Ramadhan juga. Pernah aku bersahur dan berbuka di wad 7, HSM kerana ketika itu arwah ayah masih dirawat di sana.

Ramadhan, moga ibadahku diterima Allah. Moga aku dapat bertemu Ramadhan lagi pada tahun-tahun berikutnya.


Saturday, August 15, 2009

Drama Nur Kasih Sarat Dengan Mesej

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Sejak di tayangkan pada setiap Jumaat di TV3, drama Nur Kasih mula mendapat perhatian saya. Pada awalnya, saya anggap drama ini biasa, seperti mana drama bersiri yang ditayangkan di saluran tersebut. Kali pertama menontonnya, saya perasan bahawa hasil garapan dan arahan Kabir Bhatia ini mempunyai keistimewaan yang tersendiri.

Drama ini bertemakan hubungan suami isteri yang cuba dipulihkan selepas sang isteri tidak lagi berasa cinta kepada pasangannya, lantaran lama ditinggalkan tanpa khabar berita.

Watak Nur Amina dan suaminya, Adam didukung oleh pelakon baru tetapi berbakat besar. Selain itu, watak Aidil, abang Adam juga memainkan peranan besar yang menjadikan cerita lebih menarik.

Kisah ini bermula dengan Adam, seorang lelaki yang sering memberontak, dikahwinkan dengan Nur Amina, yang menjadi pilihan ayahnya. Tidak sempat merasai hidup suami isteri, Adam hilang entah ke mana, meninggalkan Nur Amina bersendirian memendam rasa.

Selama ditinggalkan, Nur Amina dilayan dengan baik oleh keluarga mertuanya termasuk abang iparnya, Aidil.

Adam kembali setelah empat tahun menghilangkan diri ke Australia. Semasa di sana, dia berkahwin dengan seorang gadis Australia yang tiada asas agama. Lantaran, konflik antara Adam yang sudah insaf dengan si isteri yang masih dibayangi kehidupan bebas menjadikan drama ini semakin menarik. Kematian anak mereka menjadikan isteri baru Adam murung dan terjebak dalam penagihan arak dan pil tidur.

Dalam masa yang sama, Adam cuba memenangi hati Nur Amina semula, biarpun tidak diberi harapan. Tidak siapa yang tahu konflik mereka, kecuali Aidil yang banyak menunjukkan kematangan sebagai seorang abang kepada adiknya, Adam.

Jujur saya nyatakan di sini, drama Nur Kasih perlu ditonton jika anda inginkan kelainan dalam mentafsir tema drama Melayu. Selama ini, kisah yang dipaparkan di TV sering dianggap klise, dan akhiran ceritanya sudah boleh diagak. Tapi drama Nur Kasih menyebabkan saya ternanti-nanti kisah pada minggu berikutnya.

Tahniah kepada Kabir Bhatia dan penulis skrip serta pelakon yang menjayakan drama ini.


Thursday, August 13, 2009

Redholah, Allah Menyayangi Ustaz Asri..

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Adakah lagi legasi Rabbani selepas Ustaz Asri?

Berita kematian Ustaz Asri, penyanyi utama kumpulan nasyid Rabbani tentunya mengejutkan, biarpun ia bukan mustahil kepada setiap insan. Beliau dilaporkan mendapat serangan jantung ketika berada di Angkasapuri, KL untuk satu program TV.

Beliau yang rebah tiba-tiba, dibawa ke hospital tetapi disahkan meninggal dunia jam 11 pagi ini. Rabbani dan Asri bagai tidak boleh dipisahkan, tetapi hakikatnya Allah merencanakan sesuatu yang lebih tepat dengan ketentuan-Nya. Usta Asri meninggalkan dunia ini pada usia masih muda, awal 40 tahun, dan ketika Rabbani bertapak kukuh dalam industri nasyid tanah air.

Daripada Allah kita datang, kepada Allah kita kembali. Moga legasi Asri dalam Rabbani berterusan dalam dakwah nasyid komtemporari.


Nilaikan Semula Peserta Gadis Melayu Tv9

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Lirik lagu popular Gadis Melayu yang sering dinyanyikan artis tanah air membayangkan betapa wanita Melayu mempunyai ciri-ciri kesopanan yang tinggi. Harapan melihat gadis Melayu yang bijak dan menjaga adab sopan, dimanifestasikan melalui rancangan Pencarian Gadis Melayu di sebuah rangkaian milik Media Prima.

Tidak sampai seminggu program Gadis Melayu di TV9, timbul cerita panas tentang seorang pesertanya terpalit dengan kontroversi gejala sosial seperti hubungan bebas dan minum arak. Setakat ini, tiada penafian daripada peserta, mahupun pihak penerbit rancangan tersebut.

Siapa bilang gadis Melayu tak menawan?
Mesra bersama rakan taulan, arak diminum bercawan-cawan

Jika tiada angin, masakan pokok bergoyang? Andainya ini teknik 'super impose', ia sukar dinafikan, sementelah foto berkenaan bukan sekeping, tapi banyak. Ia sudah tersebar dan bukan lagi rahsia.
Lembut gayanya mengepit rokok, terdedah tubuh beraksi montok

Dalam akhbar Berita Harian hari ini 13 Ogos 2009, ia juga turut diulas oleh wartawan, tetapi respons daripada pihak TV9 hanyalah mendiamkan diri.

Amatlah malang sekiranya pemilihan peserta dibuat secara semberono dan tangkap muat. Mudah kata, asal cantik pada mata dan mempunyai kelulusan akademik, ia sudah melayakkan diri untuk si polan menyertai rancangan Gadis Melayu. Adalah lebih baik dinilai latar belakang mereka sebelum dipilih ke dalam rancangan ini.

Bukankah objektif rancangan ini untuk menaikkan martabat gadis Melayu? Sekiranya TV9 berfikir sebaliknya, baik hentikan sahaja rancangan ini.

Jangan malukan orang Melayu Islam. Akhirnya, masyarakat akan melihat rancangan ini tidak lebih daripada siri realiti hipokrit yang merosakkan jati diri bangsa dan memalukan umat Islam negara ini.

Tuesday, August 11, 2009

Krakatao Yang Menanti Masa..

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

dipetik daripada Berita Harian




LEBIH seabad menyepi selepas meluahkan lahar yang memakan ribuan korban, gunung berapi Krakatau kini kembali mempamerkan isyarat membimbangkan penduduk berhampiran dan saintis yang mengagak letusannya kali ini mungkin lebih dahsyat.

Dengan ketinggian 356.76 meter dari aras laut Selat Sunda, gunung berapi paling menggerunkan itu sedia menggegarkan muka bumi ini sekali lagi. Kali terakhir ia memuntahkan lahar pada 1883 yang menyaksikan lebih 36,000 orang terkorban, sekali gus mengubah cuaca dan suhu global selama lima tahun selepas itu.

Letusan amat dahsyat dan bencana yang ditinggalkan begitu mengerikan dan tidak mampu ditandingi kerosakan dilakukan gunung berapi zaman moden, malah letusan menakjubkan Gunung St Helen di Amerika Syarikat pada 1980 masih terlalu kecil dibandingkan dengan amukan Krakatau.

Hampir 126 tahun sehingga baru-baru ini sejak Krakatau pertama kali menunjukkan tanda-tanda ia aktif semula, gambar menakjubkan berjaya dirakamkan membuktikan saki baki gunung berapi yang satu ketika dulu tersergam lebih gagah berbanding sekarang mula menggelegak dan lavanya melimpah ruah.

Kini, selepas hampir seabad setengah berlalu, ramai mula tertanya-tanya adakah penduduk dunia bakal berdepan dengan kuasa menakutkan Krakatau sekali lagi. Apatah lagi ia megah menunjukkan isyaratnya - lahar jingga terang disembur ke udara, asap hitam tebal bercampur dengan awam dan kesuraman malam digugat dengan sinaran merah.



“Ramalan gunung berapi semakin baik tetapi kita tidak mampu meramal sepenuhnya letusan yang besar dan luar biasa kerana ia memang luar biasa,” kata Pengerusi Sains Bumi di Universiti Durham, Profesor Jon Davidson, juga pakar gunung berapi yang mengkaji amukan terdahulu Krakatau.

Rekod rasmi menunjukkan ketika kejadian pada 1883 itu, bersama-sama tsunami setinggi 36 meter yang dicetuskan, memusnahkan 165 kampung dan pekan, merosakkan dengan teruk 132 kampung lagi dan meragut 36,417 nyawa.

Selepas 150 tahun kemudian, wilayah yang menjadi lokasi Krakatau antara Pulau Jawa dan Sumatera di Indonesia semakin padat, dengan petani ditarik ke kawasan itu kerana tanahnya yang subur. Tidak sukar membayangkan beratus ribu bakal menemui ajal jika satu lagi letusan kuat berlaku.

Namun, wujud keraguan jika Krakatau meletus sekali lagi dengan kekuatan sama, impaknya akan jauh lebih dahsyat berbanding yang disaksikan pada abad ke-19.


“Gunung berapi mengulangi letusan seperti pada 1883 banyak kali. Pandangan biasa ialah Krakatau akan sekali lagi menjadi amat bahaya apabila mencecah saiz seperti pada 1883. Namun kini ia dua kali lebih kecil,” kata Marco Fulle, saintis dan pakar kaji bintang dan pakar gunung berapi kelahiran Itali yang merakamkan gambar itu.

Bagaimanapun, tiada jaminan dapat diberi sama ada satu lagi letusan tidak akan berlaku pada masa terdekat. Dalam kejadian pada 1883, kapal Jerman, the Elizabeth, melaporkan melihat debu dan asap menyelubungi pulau Krakatau pada ketinggian lebih 11,000 meter ke udara pada pagi 20 Mei. Menyusul beberapa bulan selepas itu, hanya ada asap, bunyi bising dan semburan debu. Masalah itu tidak mendorong penduduk tempatan meninggalkan kawasan berkenaan, sebaliknya pertunjukan bunga api semula jadi itu menjadi tarikan.

Semua itu berubah serta merta selepas tengah hari 26 Ogos apabila kejadian pertama siri letusan besar menyemburkan serpihan abu panas sehingga 35,000 meter ke udara dan kemudian pada jam 5.30 pagi keesokan hari, empat letusan besar menenggelamkan dua pertiga daripada kepulauan itu.

“Ia adalah keberkesanan campuran magma dan air laut yang menjadikan letusan itu amat berkuasa. Air dapat memasuki ruang magma dan hasilnya, kepulauan itu musnah sama sekali,” kata Profesor Davidson.

Pada asalnya setinggi 816 meter, Krakatau tenggelam sedalam 249 meter ke dalam laut. Seorang mangsa yang terselamat menceritakan saat tsunami melanda pada pagi itu.

“Kami melihat satu benda hitam yang besar datang ke arah kami. Ia amat tinggi dan tidak lama kemudian kami menyedari ia air laut. Pokok dan rumah dihanyutkan. Kami berlari menuju ke satu tempat. Keadaan amat kelam kabut dan seorang demi seorang dihanyutkan air,” katanya.

Beberapa tahun selepas itu, persekitaran Krakatau senyap sunyi. Bagaimanapun, pada 1927, wap dan batu dilihat menggelegak di dalam air dan tidak lama kemudian Anak Krakatau muncul dari dalam laut. Kini, Anak Krakatau menggegar semula. Letusan cukup menakutkan hingga menyebabkan berlaku ribut petir.

Namun bagi sebahagian yang lain seperti Prof Davidson masih curiga satu lagi letusan besar akan berlaku tidak lama lagi.

“Tidak terdapat cukup magma. Daripada melakukan ramalan seperti ini, saintis lebih bertanggungjawab melakukan apa yang terdaya untuk meminimumkan risiko penduduk yang tinggal berhampiran. Kami semakin baik dalam perkara itu,” katanya.

Menjadikan peristiwa pada 1883 sebagai iktibar, penduduk di Selat Sunda cuma boleh berharap dan berdoa semoga kali ini saintis betul kerana ketentuan Allah tidak boleh diduga.

Info

  • Krakatau memiliki kuasa letupan 13,000 kali lebih kuat daripada bom atom yang memusnahkan Hiroshima ketika Perang Dunia Kedua.

  • Purata suhu global berikutan letusan itu jatuh sebanyak 1.2 darjah Celsius

  • Lebih 90 peratus mangsa Krakatau maut akibat tsunami

  • Letupan dapat didengar sehingga 3,040 kilometer ke Perth dan 7,200 kilometer ke Sri Lanka.
  • Sunday, August 9, 2009

    H1N1 Sudah Meragut Nyawa Ke-27!

    Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

    Apalah bala yang menimpa negara kita sekarang? H1N1 yang merebak, kini meragut nyawa mangsa ke-27, setakat 5 petang hari ini.

    Cukup menakutkan. Kelmarin, semua pelajar asrama yang demam dengan suhu melebihi normal, diarahkan pulang. Ada juga yang terpaksa dibawa ke klinik dahulu.

    "Tolong pastikan anak encik dirawat di mana-mana hospital kerajaan berdekatan," pesanku kepada ibu bapa yang datang mengambil anak mereka.

    Petang semalam, aku bawa anak ke-3 dan ke-4 ke HSM, setelah suhu badan mereka mendadak naiknya. Rupanya anak sendiri pun terjangkit demam.

    Setelah diperiksa, syukur, mereka hanya demam biasa. Tapi yang mengejutkan, begitu ramai orang yang demam dan berada di unit kecemasan untuk mendapat rawatan. Doktor dan jururawat nampaknya 'tak menang tangan' melayan pesakit yang datang daripada pelbagai peringkat umur dan bangsa. Hampir semuanya bertopeng mulut, dan kebanyakan yang kusapa memberi isyarat yang hampir serupa. Demam.

    Terima kasih kepada Razzi yang memberi info tambahan tentang virus H1N1.

    DAP anti Islam?

    Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

    Beberapa kenyataan pemimpin DAP yang didakwa menghina Islam telah menyinggung perasaan umat Islam di negara ini.

    Terbaru ialah tindakan Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi yang mengaitkan syariah Islam sebagai ekstremisme sementara Exco Selangor, Ronnie Liu campur tangan dan mempertikaikan tindakan pihak berkuasa tempatan merampas arak di kedai serbaneka di kawasan penduduk majoriti Islam.

    Pemimpin utama DAP hanya berdiam terhadap kenyataan tersebut. Maka tercetus persoalan apakah parti itu yang memperjuangkan gagasan Malaysian Malaysia bersikap anti Islam?

    Persoalan itu berbangkit kerana sebelum ini banyak tindak tanduk dan kenyataan DAP termasuk di laman-laman web dan blog yang mengguris perasaan orang Islam.

    Mungkin atas dorongan politik, penghinaan terhadap Islam, institusi raja dan orang Melayu oleh sebahagian bukan Islam atas nama individu juga menjadi-jadi. (Anehnya tiada tindakan tegas daripada kementerian Dalam Negeri yang lebih banyak memberi peringatan dan amaran).

    Isyarat yang diterima oleh umat Islam terutama selepas pilihan raya umum ke-12, DAP makin tidak menjaga sensitiviti umat Islam.

    Parti lain dalam pakatan pembangkang iaitu Pas dan PKR (parti pelbagai kaum yang diketuai oleh Anwar Ibrahim) tidak berupaya mengawal DAP yang jauh lebih dominan dan berani. Para pemimpin Pas tunduk walaupun perasaan ramai ahlinya bergelora mahu membela kepentingan Islam. Mungkinkah Pas sedang bertukar ideologi menjadi parti liberal Islam atau sememangnya pengaruh Anwar sudah meresap kuat dalam parti itu?

    Bayangkanlah jika pembangkang memerintah negara, Islam akan terus diperlekehkan dan Pas dengan dayus hanya mampu memerhati. Pada Awang, adalah kurang waras, jahil dan kurang beriman bagi mana-mana orang Islam untuk menyokong parti yang secara terang-terang dan tersirat mahu melemahkan Islam, yang menjadi teras negara ini.

    Kalau selama ini ada banyak pihak yang senada dengan DAP menuduh Melayu sebagai ancaman, sebenarnya merekalah ancaman terbesar yang mesti ditentang habis-habisan. Kalau di negara barat sekalipun, sesiapa sahaja yang menghina Islam menerima tamparan hebat oleh golongan minoriti Islam. Itu belum keadaannya di negara-negara Islam lain seperti di dunia Arab dan Indonesia yang akan merusuh. Tetapi di Malaysia, percaturan politik menyebabkan sesetengah umat Islam dilihat menjadi bacul dan boleh dihina sesuka hati.

    Sudah sampai masanya umat Islam mesti bersatu dan bangkit hadapi ini semua. Para pemimpin Islam mana-mana parti janganlah berlembut lagi. Apakah mereka akan bertanggungjawab jika tanah air ini menjadi seumpama Palestin ditindas oleh Yahudi suatu hari nanti? Petunjuk ke arah itu sudah jelas. Awang setuju dengan Presiden Perkasa, Ibrahim Ali bahawa jika penghinaan terhadap Islam tidak dibendung ia dikhuatiri mencetuskan ketegangan kaum dan agama.

    Perkembangan terbaru ini mengesahkan lagi bahawa DAP adalah parti ekstrem yang hanya memperjuangkan kepentingan kaum itu dan bukan kepentingan rakyat Malaysia seperti yang selalu dilaung-laungkan.

    Kalau Pas dianggap dayus, apa lagi boleh diharapkan kepada PKR yang sudah menjadi seumpama musuh dalam selimut kepada umat Islam.

    Kerajaan pimpinan PKR di Selangor bukan sahaja tunduk kepada DAP malah banyak isu seperti projek penternakan babi besar-besaran dan cadangan mahu mengagihkan wang zakat kepada bukan Islam, menampakkan kepentingan Islam terhakis dengan mudahnya.

    Apa makna menjadi orang Islam jika kita tidak tahu dan tidak berani mempertahankan kepentingan Islam sedangkan penganut agama lain jauh lebih agresif di tanah air ini yang Islam adalah agama rasmi? Lebih baik kita berdoa agar dicabut nyawa kita daripada membiarkan Islam terus dihina.

    Artikel ini diulang salin daripada Utusan online.

    Friday, August 7, 2009

    Tabahlah Irfan, Allah Menyayangi Bapamu

    Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

    Awal pagi Khamis, asrama mendapat khabar buruk. Seorang pelajar tingkatan 3, Irfan yang nyenyak tidur di asrama, diambil bapa saudaranya.

    "Ayah kamu eksiden." Bapa saudaranya bersuara, pendek sahaja.

    "Bagaimana dengan ayah?"

    "Sikit saja. Kita sembang di rumah nanti." Ujar bapa saudaranya.

    Ayah Irfan, En. Hasbullah, adalah seorang pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat yang berpindah tugas di Taiping sejak tiga bulan lalu. Ibunya guru di sebuah sekolah rendah di Manjung. En. Hasbullah yang aku kenal, seorang yang ramah. Sering juga dia bertanya perihal anaknya kepada warden.

    Pada hari Rabu jam 11 malam, kereta yang dipandunya ditabrak lori di Segari semasa dalam perjalanan pulang. Dia dan anak perempuannya terbunuh di tempat kejadian.

    Luluh hati seorang isteri, tak dapat digambarkan dengan kata-kata. Ketika menziarahi jenazah di Bilik Forensik, HSM, orang ramai termasuk saudara maranya sudah berkumpul. Hanya Irfan yang bercerita, manakala emaknya trauma dan kehilangan semangat.

    Buat Irfan yang bakal menduduki PMR, tabahlah. Minggu depan peperiksaan percubaan PMR bermula. Apabila ditanya persediaannya, Irfan sendiri menggeleng-gelengkan kepala. Aku faham situasinya. Dia anak sulung, kehilangan dahan bergantung dalam keadaan yang amat diperlukan. Itulah takdir yang harus diterimanya.

    Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Moga Allah mengampuni dan merahmati roh mereka.

    Wednesday, August 5, 2009

    H1N1 atau Influenza A atau Selsema Babi?

    Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.



    Namakanlah apa juga, barangkali istilah canggih yang tak pernah didengar boleh juga dilabel pada demam selsema ini. Mulanya dikenali sebagai selsema babi, kemudian diubah kepada Influenza A, dan terkini virus H1N1. Pokoknya, ia adalah penyakit yang sama dan boleh membunuh!

    Hingga kini, H1N1 telah meragut 12 nyawa rakyat di negara ini.

    Tidakkah kita bimbang? Apakah kita tidak peka? Atau kita sekadar buat tidak tahu? Pejam mata dengan situasi ini, sebab yang jadi mangsa bukan keluarga kita. Begitu?

    Hakikatnya, H1N1 sudah merebak meskipun Kementerian Kesihatan menyatakan ia terkawal. Maklumat terkini menunjukkan virus ini boleh merebak melalui udara.

    Di Manjung, khabar angin menyatakan ada kes H1N1 di HSM, dan orang awam tidak dibenarkan melawat pesakit. Semua doktor dan jururawat diarah bertopeng mulut semasa bertugas. Ini tentu menimbulkan keributan dalam kalangan masyarakat.

    Buktinya, baru tadi, aku ke farmasi untuk membeli topeng muka, tapi ia sudah habis dijual.

    Terpaksalah ke farmasi lain, dan mujurlah masih ada. Esok, anak-anak ke sekolah dengan bertopeng nampaknya.

    Masyarakat resah dan bingung sebenarnya. Virus ini seakan-akan tidak terkawal. Di Melaka saja, ia mencatat 3 kematian.

    Aku, seperti juga ahli komuniti yang lain, berasa sesuatu harus dilakukan.

    Apakah ini bala dari Allah? Atau mungkin juga ia senjata biologi yang disebarkan oleh pihak tertentu untuk testimonial sebelum digunakan dalam perang sebenar? Siapa tahu?

    Tuesday, August 4, 2009

    Akhirnya ASTRO Belajar Daripada Kesilapan

    Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.
    Sejak semalam lagi, aku dah menerima panggilan daripada staf ASTRO, yang melayan dengan baik serta ramah, berbanding dua minggu sebelumnya.


    Masalah bermula apabila aku sudah tidak menggunakan akaun milik arwah ayah. Ketika arwah ayah masih ada, saluran Discovery, National Geographic, dan beberapa saluran lain memang menarik minatnya. Setelah ayah tiada, rancangan-rancangan di ASTRO tidak banyak membantu meningkatkan kemampuan anak. Malah, saluran-saluran itu kekadang menyebabkan anak-anak leka dan lalai di depan TV. Mungkin kepada orang lain, ASTRO membawa kebaikan, tetapi untuk aku, sebaliknya.


    Bulan Februari, aku buat keputusan. Segala hutang tertunggak sudah dijelaskan. Pihak ASTRO berkata mereka akan mematikan ('terminate' ) akaun tersebut, dan janji itu sudah kudengar sejak bulan Mei lagi.


    Pada bulan Jun, ASTRO masih menghantar bil, yang bermakna aku perlu melunaskan bayaran bulan tersebut. Aku jelaskan kepada petugas ASTRO, dan jawapannya mengecewakan.


    "Encik perlu jelaskan dahulu bayaran dan kami akan 'terminate' talian itu selepas ini." Katanya tanpa mahu bercakap panjang lebar.


    Akhirnya, aku faks surat berserta salinan sijil kematian arwah ayah (buat kali keduanya) dengan surat luahan perasaan. Aku kepilkan bersama salinan ke Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP). Memang aku tidak puas hati. Sudah tidak digunakan, mengapa perlu bayar untuk bulanan, fikirku.


    Pagi ini, petugas ASTRO yang bersuara lunak memberitahu, aku tidak lagi berhutang dengan Astro, dan segala urusan telah diselesaikan. Mereka minta supaya aku tidak panjangkan hal ini ke CAP. Aku pun bersetuju, asalkan tidak lagi dikaitkan dengan bayaran tanpa perkhidmatan.


    Begitulah, kuatnya pengaruh CAP.

    Monday, August 3, 2009

    Pantun Ayah

    Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

    Arwah ayah banyak meninggalkan pesanan nasihat dan peribahasa yang menarik. Saya selitkan dua rangkap pantun yang ayah sering gunakan apabila memberi nasihat.

    Hendak mengail ikan senangin
    Singgah berlabuh di Kuala Muda
    Apakah malang nasibnya angin
    Berbudi sepanjang, berbalas tiada?


    Kalau kentang menjadi gulai,
    Ubi tidak berguna lagi,
    Kalau wang menjadi nilai
    Budi tidak berguna lagi.

    Hobi Yang Mahal Tapi Mengujakan

    Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

    Di Manjung, ada beberapa tempat rekreasi yang digunakan oleh pencinta RC (Remote Control) melayan jentera mereka. Misalnya, di Padang Astaka, setiap petang Ahad, ada sekumpulan rakan melayan RC plane dari jenis bateri dan nitro (minyak). Kebanyakannya sudah mahir dan boleh membuat manuver yang unik, bagaikan pesawat itu dipandu sendiri oleh mereka.

    Di litar RC LKIM, bersebelahan Kompleks Pentadbiran Daerah Manjung, dikhaskan untuk jentera kereta nitro. Di sinilah tempat peminat RC berkumpul dan menyaksikan aksi kereta RC yang pantas bagaikan kereta F1. Mencanak-canak pecutannya. Dengan bau minyak nitro dan deruman jentera kecil ini, persis suasana lumba kereta. Khalayak peminatnya bukan sekadar kanak-kanak, tetapi juga golongan dewasa.

    Hobi RC menuntut pengorbanan yang bukan sedikit. Harga asas jentera nitro sahaja dalam lingkungan RM1500, tidak termasuk aksesori lain dan senggaraan. Sebagai contoh, sebiji tayar kereta RC bersaiz standard ialah RM15. Jika 4 biji, sudah RM60. Ketahanannya bergantung kepada cara jentera RC beraksi. Minyak nitro yang diimport dari US berharga antara RM80-RM95.

    Penjagaan jenteranya memerlukan perhatian yang lebih. Jika setakat tahu main, tidak mencukupi. Pemain harus tahu menyelenggara jentera sendiri agar lebih mudah memahami masalah ketika jentera RC ini berfungsi. Rata-rata pemain kereta RC ini juga adalah 'mekanik' tidak bertauliah. Jika ada yang bermasalah, rakan lain sedia membantu. Itulah kelebihannya.

    Mungkin pada sesetengah orang, hobi ini mahal, tetapi bagi mereka yang mencintainya, melayan jentera RC di trek khas memang mengujakan, apatah lagi jika dapat berkumpul dengan rakan sekepala. Bak kata pepatah Melayu, jika takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai. Andainya bimbang kos senggaraan RC yang mahal, tak usah main. Cukuplah setakat jadi peminat.

    * Aku sekadar minat menyaksikan jentera ini beraksi. Lagipun hobi sebegini ikut musim.

    Saturday, August 1, 2009

    Nama Tidak Melambangkan Peribadi

    Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

    Harian Metro hari ini memuatkan berita tentang seorang penjenayah, Abu Bakar Musa, 25 tahun yang dijatuhi hukuman gantung sampai mati setelah didapati bersalah merogol dan membunuh seorang gadis berusia 15 tahun pada 2006 yang lalu.

    Apa yang menariknya adalah cara pemuda biadab ini 'meraikan' keputusan hakim, dengan mengherdik Timbalan Pendakwaraya dan ibunya sendiri.

    Amat malang ibu tersebut, yang mempunyai anak yang tidak punya naluri kemanusiaan. Di mana silapnya? Lahir sebagai muslim, tetapi salah haluan dan akhirnya, hayatnya sudah pasti diputuskan di tali gantung.

    Namanya sehebat nama sahabat Rasulullah, tetapi sayang, pada usia yang masih muda, Abu Bakar Musa menunjukkan peribadi buruk yang tidak setanding dengan nama sahabat setia Nabi.

    Dengan lakaran tatu di bahu kanan, penjenayah ini senyum sambil mukanya ditutup kain bagi mengelakkan keseluruhan wajahnya dirakam lensa kamera.

    Tidak ada tanda keinsafan di wajah pemuda ini, biarpun keputusan hakim itu pasti merenggut jiwa nuraninya.

    Kebiasaannya, banduan akhir sepertinya akan diberi masa dua hingga tiga tahun sebelum tali gantung menjerut lehernya.

    Abu Bakar, kamu masih ada masa untuk merenung kekejaman kamu terhadap seorang gadis yang tidak berdosa. Malah, kamu masih ada masa untuk bertaubat. Moga-moga Allah mengampuni dosa kamu.

    MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

    Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...