Thursday, August 13, 2009

Nilaikan Semula Peserta Gadis Melayu Tv9

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Lirik lagu popular Gadis Melayu yang sering dinyanyikan artis tanah air membayangkan betapa wanita Melayu mempunyai ciri-ciri kesopanan yang tinggi. Harapan melihat gadis Melayu yang bijak dan menjaga adab sopan, dimanifestasikan melalui rancangan Pencarian Gadis Melayu di sebuah rangkaian milik Media Prima.

Tidak sampai seminggu program Gadis Melayu di TV9, timbul cerita panas tentang seorang pesertanya terpalit dengan kontroversi gejala sosial seperti hubungan bebas dan minum arak. Setakat ini, tiada penafian daripada peserta, mahupun pihak penerbit rancangan tersebut.

Siapa bilang gadis Melayu tak menawan?
Mesra bersama rakan taulan, arak diminum bercawan-cawan

Jika tiada angin, masakan pokok bergoyang? Andainya ini teknik 'super impose', ia sukar dinafikan, sementelah foto berkenaan bukan sekeping, tapi banyak. Ia sudah tersebar dan bukan lagi rahsia.
Lembut gayanya mengepit rokok, terdedah tubuh beraksi montok

Dalam akhbar Berita Harian hari ini 13 Ogos 2009, ia juga turut diulas oleh wartawan, tetapi respons daripada pihak TV9 hanyalah mendiamkan diri.

Amatlah malang sekiranya pemilihan peserta dibuat secara semberono dan tangkap muat. Mudah kata, asal cantik pada mata dan mempunyai kelulusan akademik, ia sudah melayakkan diri untuk si polan menyertai rancangan Gadis Melayu. Adalah lebih baik dinilai latar belakang mereka sebelum dipilih ke dalam rancangan ini.

Bukankah objektif rancangan ini untuk menaikkan martabat gadis Melayu? Sekiranya TV9 berfikir sebaliknya, baik hentikan sahaja rancangan ini.

Jangan malukan orang Melayu Islam. Akhirnya, masyarakat akan melihat rancangan ini tidak lebih daripada siri realiti hipokrit yang merosakkan jati diri bangsa dan memalukan umat Islam negara ini.

2 comments:

  1. Dunia tempat kita tinggal ni sedang menuju ke arah kehancuran. Dari segi fenomena alam semula jadi..dari segi wabak yang menular, dari segi keruntuhan akhlak manusia..pendek kata dari pelbagai sudut menjurus ke arah yang parah...Dunia dah hampir ke garisan penamatnya..Mudah-mudahan Allah melindungi kita dan anak cucu kita.

    ReplyDelete
  2. Kak, baru tadi baca berita Ustaz Asri Rabbani kembali ke rahmatullah. Begitulah hidup kita.

    "Setiap insan, pasti merasa saat perpisahan terakhir..." (lirik lagu Pergi Tak Kembali-Rabbani)

    Moga Allah menempatkan rohnya dalam kalangan orang-orang yang soleh.

    ReplyDelete

Jejak yang ditinggalkan