Tuesday, January 12, 2010

Kerja Sementara

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Selepas SPM dulu, saya berpeluang bekerja sementara menunggu keputusan. Antaranya ialah kerja di Pejabat Pos sebagai tukang sisih kad raya. Kerjanya tak susah, hanya perlu sisihkan kad raya ikut alamat negeri dan luar negeri. Pejabat Pos memang perlukan pekerja untuk tempoh menjelang raya sahaja. Raya puasa dan Tahun Baru Cina adalah dua perayaan yang sibuk, dan orang ramai gemar mengirim kad raya pada waktu itu.

Kerja seperti ini tak memerlukan saya bercakap. Lagipun, ketika itu, siapalah nak layan budak lepasan SPM. Jurang umur yang agak jauh dengan posmen menyebabkan saya hanya menumpukan kerja menyisih kad.

Kerja lain selepas STPM, saya bekerja di kilang cetak baju. Kalau tak salah, nama syarikat cetak baju itu, GOBI Enterprise. Rasanya, sekarang dah tutup. Lagipun, premis tempat saya bekerja hanya disewa. Saya dan seorang rakan lagi bertugas mencetak baju T. Kerjanya tidaklah sebosan kerja menyisih kad, sebab saya mempunyai rakan bersembang. Lagipun kerjanya membolehkan saya bergerak di sepanjang meja cetak.

Cuma, kalau tersalah cetak, saya terpaksa mengulang cetak baju tersebut. Tidak lama selepas bekerja di GOBI, saya mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di UPM. Hasil menyimpan duit sepanjang bekerja di situ, saya dapat juga mengambil lesen motosikal.

Semasa cuti semester tahun 1, saya bekerja lagi sementara menunggu masuk ke tahun 2. Kali ini, saya bekerja sebagai kerani di sebuah resort di Teluk Batik, Lumut. Pengalaman berdepan dengan pelbagai orang membantu mengasah bakat komunikasi saya. Hampir dua bulan, saya dapat mengumpul wang untuk mengambil lesen memandu kereta.

1 comment:

Jejak yang ditinggalkan