Saturday, January 30, 2010

Pengalaman Berdepan 'Bomoh Teran'

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Ketika ayah sakit dahulu, saya berusaha membawanya berubat secara tradisional, selain perubatan moden. Satu hari, kami mendapat khabar seorang bomoh yang boleh mengubat pesakit lumpuh akibat strok. Tempatnya di Changlun, Kedah. 

Saya mengambil cuti demi memenuhi hajat ayah. Awal pagi lagi kami berdua bertolak ke destinasi. Perjalanan hampir lima jam dipenuhi dengan sembang-sembang ayah dan saya. Sekurang-kurangnya, inilah masa untuk kami berbual berdua. Ayah kelihatan ceria, sebab dia menaruh harapan untuk sembuh seperti asal.

Kami tiba hampir jam 11 pagi. Ketika itu, rumah berkenaan dipenuhi beberapa orang lelaki dan wanita. Semuanya Melayu, dan pastilah tujuannya sama dengan kami. Bomohnya berselempang kain kuning dan rumah teres satu tingkat itu kelihatan menyimpan misteri. Semua tingkap rumah ditutup rapat, hanya pintu utama yang dibuka. Manakala jiran pula tidak menunjuk muka. Tak mengapalah, mungkin semua jirannya bekerja pagi itu, fikir saya.

Sementara menunggu giliran kami, saya melihat cara rawatan dibuat. Pesakit wanita akan dilayan lebih mesra oleh bomoh lelaki pertengahan umur itu. Kadangkala, gelak tawanya mengundang rasa jengkel di hati. Ayah yang berkerusi roda, memandang saya dengan penuh makna. Saya hanya mendiamkan diri. Setiap pesakit wanita dirawat dalam tempoh antara 20-30 minit. Bahagian anggota wanita yang sakit akan diurut menggunakan krim sapuan yang dibuat sendiri oleh bomoh itu. Ada yang diurut di kaki, ada juga yang diurut di perut.

Disebabkan ruang menunggu dan rawatan berdekatan, dapatlah saya mendengar butiran perbincangan 'pengeras' dengan jelas. Ada pesakit yang diminta menyediakan kain kuning berisi pulut dan diikat di tiang seri rumah. Ada juga pesakit wanita  yang diminta datang ke rumah bomoh untuk mandi tolak bala setiap malam Jumaat selama tiga kali. Peliknya, semua permintaan itu dipenuhi dan dipersetujui oleh pesakit berkenaan.

Apabila tiba giliran kami, bomoh itu melihat kaki ayah. Pegang pun tak seberapa. Setelah diurut lebih kurang 10 minit, dia menyatakan ayah perlu datang sekurang-kurangnya tiga kali untuk membuang saka.

Saka? 

Terkejut kami, kerana selama ini ayah tak pernah tahu dia mempunyai saka. Sudahlah didakwa ada saka, ayah diminta datang tiga kali untuk rawatan susulan. Bukannya mudah, dan tidak pula dekat jaraknya. Kami juga diminta membeli krim sapuan berharga RM30 di samping pengeras wang tunai. Krim itu kononnya boleh membuang saka jika diurut dengan betul.

Sepanjang perjalanan pulang, saya dan ayah membuat keputusan untuk tidak lagi ke sana. Apatah lagi, cara rawatan yang mencurigakan, menyebabkan kami sependapat bahawa bomoh itu tidak lain adalah 'Bomoh Teran' atau lebih tepat lagi, bomoh penipu.

7 comments:

  1. wah...pengalaman yg bermakna tu...bahayanya bomoh2 ni...silap2 boleh makan diri sendiri

    ReplyDelete
  2. Salam sdr. Brahim

    Mengikut pengalan saya semasa Arwah Abang kedua saya kena strok. Ke hospital dulu sekiranya sisakit tidak sedar. Apabila sedar dan boleh dibawa balik ke rumah. Urutkan dia pagi dan malam. Di masa yang sama bawa ke Pantai dan timbus dengan pasir pantai sambil jiruskan air laut di atas pasir timbusan. Lakukan setiap petang.

    Bila dah boleh bangun, latih dia berjalan dan gunakan rawatan psikologi. Contohnya hobi Abang saya ialah menembak. Jadi kawan-kawanya akan dudukkan dia diatas tikar di sawah, berikan selaras senapang. Kawan-kawannya akan menghalau burung supaya terbang ke arahnya dan abang akan tembak. Perkara ini dilakukan 3 atau 4 hari seminggu.

    Alhamdulillah, selepas 3 bukan abang saya boleh memburu sendirian semula.

    ReplyDelete
  3. Salam Hani,
    Makaseh ingatan, Insya-Allah.

    Salam iqbal,
    Begitulah ceritanya. Memang ramai bomoh begini. Semuanya atas satu sebab, duit..

    Salam Pakdin,
    Makaseh tips tu,
    Saya cuba bawa ayah bersenam, tapi tenaganya kurang sebab faktor tua. Selepas kakinya dipotong paras betis, dia mulai murung. Selepas tiga bulan di wad 7, HSM, ayah akhirnya kembali kepada penciptanya. Tapi saya bersyukur dapat berbakti untuk ayah saat akhir hidupnya..

    ReplyDelete
  4. Salam kembali sdr. Brahim

    Boleh dicuba pada saudara-saudara yang lain yang menghidap penyakit yang sama. Cuma satu lagi yang Pak Din lupa beritahu, lumurkan dulu anggota dengan Lendir Ikan Haruan, setelah kering baru di timbuskan ke pasir pantai.

    ReplyDelete
  5. ler, ubat saka pakai krim aje? adeh, betol ke ni cekgu.

    kena periksa lagi tu. darussyifa boleh ubatkan kot.

    ReplyDelete
  6. Pakdin, salam kembali. Makaseh tips yg berguna. Saya dh catatkan.

    Khairi, semua ni kenangan tahun awal 2007 dulu. Ayah tak ada saka pun, tp tu dakwaan bomoh penipu tu.. Moga arwah ayah ditempatkan di sisi org beriman. Saya kenal ayah saya, lebih drp org lain.

    ReplyDelete

Jejak yang ditinggalkan