Monday, January 4, 2010

Nak Tunggu Gereja Dibakar?

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Perbalahan ummah berkenaan penggunaan kalimah Allah oleh akhbar Kristian di Malaysia bagai tiada kesudahannya. Di pihak kerajaan, PM meminta umat Islam bertenang dan menyerahkan kepada kerajaan untuk menanganinya mengikut saluran undang-undang.


Dalam hal berkaitan, seorang ahli parlimen yang juga peguam yang pernah mengendalikan kes murtad, Zulkefli Noordin telah menempelak rakannya dalam Pakatan Rakyat, iaitu Khalid Samad. Ini susulan sikap Khalid yang menyokong keputusan mahkamah baru-baru ini.

Jangan Permainkan Pengundi Islam, Melayu - Zulkifli
Oleh AU YEONG HOW
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin hari ini membidas rakan sejawatannya dari Shah Alam, Khalid Samad yang membelakangkan majoriti penduduk dan pengundi Melayu beragama Islam kerana menyokong keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan akhbar mingguan Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah.
Beliau menegur Yang Dipertua Pas Shah Alam itu yang mempermainkan perasaan dan sentimen umat Islam secara terbuka.
Malah wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mengingatkan Khalid agar tidak memperkotak-katikkan orang Melayu walaupun mereka dilihat bertolak ansur, sabar, tidak bising dan tidak riuh rendah dalam soal tersebut.
"Kelak mereka akan menghukum Pakatan Rakyat (PR) sekiranya spesis seperti Khalid ini terus dibenarkan bermaharajalela. Teguran saya terhadap beliau adalah secara ikhlas dan terbuka serta berdasarkan hujah bernas dan berdalil.
"Ia juga menunjukkan kepada umat Islam bangsa Melayu di Malaysia bahawa dalam PR nasib dan maruah umat Islam masih dibela dan dipertahankan, agar mereka terus yakin dan menyokong pakatan ini," katanya dalam blog beliau zul4kulim.blogspot.com di sini.
Sebelum ini, Zulkifli mendesak Khalid keluar dan menyertai parti lain termasuk DAP berhubung kenyataannya yang menyokong keputusan mahkamah itu.
Ekoran itu, wakil rakyat dari PAS melabel rakannya dalam pakatan pembangkang itu sebagai jahil .
Malah beliau menasihatkan Zulkifli supaya merujuk kepada kitab dan buku agama sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan yang mencerminkannya sebagai seorang yang tidak berilmu mengenai Islam.
Sebagai wakil rakyat PR, Zulkifli memberitahu, beliau berhak menegur Khalid supaya pakatan pembangkang tersebut tidak kehilangan sokongan dan undi umat Islam khasnya orang Melayu.
"Saya berani menegur beliau agar rakyat terutamanya umat Islam bangsa Melayu meletak keyakinan dan kepercayaan bahawa PR bukan sahaja akan membela kaum dan penganut agama lain, malahan PR juga komited untuk mempertahan dan membela umat Islam termasuk bangsa Melayu.
"Kalau saya dimaklumkan oleh kepimpinan PR bahawa agenda Islam dan Melayu tidak ada dalam PR, maka saya tidak akan teragak-agak keluar daripada PR," tegas beliau.
Malah beliau menegaskan lebih gemar mengambil pendekatan yang mudah iaitu sesiapa yang menghina Islam, maka mereka adalah musuhnya walaupun berada dalam satu parti dengannya.
"Sesiapa yang membela dan mempertahankan Islam adalah sahabat saya walaupun berlainan parti. Dan saya sedikit pun tidak gentar atau takut dengan celaan mereka.
"Saya tetap akan berkata yang hak walaupun pahit untuk ditelan. Yang penting Islam mesti dipertahankan, maruah umat Islam mesti dibela at all cost," tegasnya.

ULASAN SAYA:

Saya ingin mengingatkan Pakatan Rakyat, khususnya PAS dalam menjaga kepentingan agama. Janganlah kerana sikap toleransi yang keterlaluan menyebabkan PAS bagai dicucuk hidung. PAS harus dominan dalam Pakatan Rakyat. Pandangan juga harus sekata. Rujuklah pandangan ulama seperti Dr. Harun Din.



Pilihanraya 1999, rakyat khususnya orang Melayu menghukum Barisan Nasional, dan ia berulang pada tahun 2008. Tetapi jangan lupa, perubahan boleh berlaku seperti dalam 2004, apabila Terengganu dapat kembali kepada BN kerana pentadbiran lemah sepanjang kerajaan PAS memerintah Terengganu. Tak usah berdalih, sebab itulah hakikatnya.

Keadaan beginilah yang akan melahirkan kumpulan radikal agama yang kemudiannya membentuk satu fahaman melampau. Akhirnya, gereja dibakar, paderi dibunuh dan ketenteraman yang kita kecapi akan sampai ke penghujung. Adakah kita menunggu kedaan begini? 



2 comments:

  1. isu ini begitu sensitif, mungkin juga rahmat untuk kepimpinan melayu islam

    ReplyDelete
  2. Hm... Kita tengoklah camne kerajaan uruskan. Tapi penyelesaian isu ni perlu disegerakan agar tidak menimbulkan lebih byk masalah.

    ReplyDelete

Jejak yang ditinggalkan