Monday, April 8, 2013

Kenangan Penipuan Skim Cepat Kaya

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Saban waktu, ada sahaja berita penipuan terancang yang dibuat oleh individu atau pihak tertentu dalam modus operandi yang berbeza-beza yang kita terima.  Hakikatnya, apa juga skim penipuan ini, tujuannya tetap sama, iaitu untuk mengambil duit mangsa dalam keadaan sedar dan 'rela'.

Saya ingin kongsikan pengalaman berdepan dengan skim ini, tetapi demi menjaga nama baik rakan-rakan yang menjadi mangsa, saya tidak nyatakan nama mereka. Peristiwa penipuan ini berlaku pada tahun 2006, di satu tempat yang tidak jauh dari kejiranan saya. Seorang anak muda awal 20-an, datang ke tempat kami dengan peribadi menarik, sopan dan tutur katanya lemah lembut. Memang anak muda ini (saya gelarkan sebagai 'S') mempunyai penampilan baik dan sangat disenangi oleh ahli masyarakat sekitar. Dia sering ke masjid berdekatan, dan sikap ramahnya menunjukkan dia mempunyai akhlak terpuji.  Kalau kita ke masjid, pasti kita akan menemui S yang setiap kali pasti berada di sana untuk solat jemaah.
 
Satu hari, S datang lagi ke tempat kerja saya memberitahu dia bakal membuka kedai komputer. Kami berbangga kerana S adalah anak tempatan yang boleh dicontohi. Mana tidaknya, S akan membuka kafe siber yang bertujuan membantu anak-anak muda kejiranan kami mendapatkan akses internet dengan murah. Untuk berkongsi kejayaannya, S mencadangkan satu skim 'untung-untung' kepada mereka yang berminat. Caranya mudah. Bagi setia satu lot pelaburan bernilai RM1000.00, S akan memberi pulangan keuntungan berterusan sebanyak RM350.00.

Ini satu tawaran yang baik, fikir saya. Saya pulang dan berbincang dengan isteri. Malangnya, isteri saya tidak setuju. Pelbagai alasan diberikan dan akhirnya ia menyebabkan saya menarik diri pada saat akhir, walaupun borangnya sudah diambil.

Bagaimanapun, rakan-rakan saya yang lain tidak melepaskan peluang. Apatah lagi S adalah anak tempatan. Ayah dan ibunya orang yang dikenali, pastilah dia tidak berbuat bodoh dan menipu, fikir kebanyakan daripada kami. Pada awalnya, hanya 2-3 orang rakan yang masuk, dengan pelaburan minima sebanyak RM1000. Pada bulan kedua, masing-masing sudah menerima keuntungan! Cepat sungguh mereka dapat. Maka, bertambah ramailah yang masuk skim pelaburan komputer tersebut. daripada jumlah yang sedikit, menjadi ramai kepada berbelas-belas orang.

S yang bermotosikal sebelum ini, sudah bergaya dengan Proton Perdana V6. Anehnya, kami masih meyakini kemampuannya. Seorang rakan saya telah mengeluarkan RM16000.00 daripada jumlah pencen suaminya, seorang anggota tentera, semata-mata untuk menambah pelaburan berkenaan. 

Hari berganti hari, saya hanya makan hati melihat rakan-rakan menerima keuntungan pada bulan ketiga. Pada bulan keempat, S sudah kurang menjengah ke kawasan kami. Dividen yang sepatutnya diterima, tidak dibayar melewati tempoh kebiasaan. Rakan yang panas hati terus menghubungi S. Tidak lama selepas itu, S datang dan membuat bayaran dengan cek. Harapan mereka kembali berbunga. Segala prasangka terhadap S ditelan begitu sahaja.

Malang berterusan, apabila cek yang diberi oleh S rupa-rupanya cek tendang. Tiada wang dalam akaun S. Lebih buruk lagi, S sudah tidak menunjukkan mukanya. Telefonnya tidak dapat dihubungi, dan dia sudah tiada di rumah ibu bapanya. Rakan-rakan yang berasa tertipu, mula sedar kesilapan mereka. Hendak dimarah, pada siapa? Hendak dilapor, buktinya tiada. Memang rakan-rakan saya itu tertipu dengan sikap S yang 'pepat di luar, rencong di dalam'.

Hari ini, semua rakan saya yang pernah berurusan dengan S hanya menyimpan kenangan penipuan itu tanpa mengambil tindakan yang wajar. Entah apa yang bermain di fikiran mereka, saya tidaklah pasti. Apa yang saya tahu, S masih lagi bebas dan kadang kala pulang ke rumah ibu bapanya. Dia kini berjinak-jinak dengan sebuah parti politik yang kononnya akan menguasai tampuk pimpinan negara selepas PRU13.

4 comments:

  1. hehe..ckgu2..seperti tahu sgt je..

    ReplyDelete
  2. Ramai kawan2 dan sedara saya pernah tertipu begini..Semuanya kerana kita cepat rasa tamak...Semoga kita berhati hati selalu.

    ReplyDelete
  3. yeay..walaupun masa kejadian umur saya masih muda..tp sejarah kampung mana mungkin saya lupakan..seperti saya tahu siapakah S..mudahan2..allah membuka pintu hatinya

    ReplyDelete
    Replies
    1. Anon 5:24, Saya mengetahui apa yang saya catatkan, tetapi biarlah sebahagian besarnya saya simpan sebagai rahsia. Selebihnya, kita jadikan panduan hidup.

      Granny Hani,
      Orang yang tamak sebenarnya paling berisiko untuk diperdayakan oleh manusia yang bertopengkan kebaikan.

      Zakaria Zack,
      Cikgu yakin ayah kamu pun kenal sangat dengan S. Semoga ia tidak berulang lagi. Kita doakan kampung kita dijauhi perkara buruk seperti ini.

      Delete

Jejak yang ditinggalkan

MENJALA TALAPIA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Agak lama juga saya tidak menjala ik...