Thursday, October 9, 2008

Undurnya Paklah, Tenangkah Keadaan?

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.

Siapa yang tidak mengenali Paklah? Beliau adalah Perdana Menteri yang mungkin paling pendek tempoh perkhidmatannya. Pengumuman beliau semalam untuk tidak bertanding pada pemilihan Mac 2009, membuktikan Paklah tidak mempertahankan kedudukannya sebagai Presiden UMNO. Ini bermakna, Paklah akan melepaskan jawatan sebagai PM selepas itu. Penggantinya, kemungkinan besar Dato' Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri sekarang.
Aku bukanlah ahli politik, jauh sekali untuk menyertai pemilihan peringkat cawangan mahupun bahagian. Sebagai pendidik yang diberi tanggungjawab menyampaikan ilmu kepada anak bangsa, tidaklah keterlaluan jika aku membincangkannya bersama rakan setugas.
Melarang guru daripada membicarakan soal politik, adalah satu tindakan yang tidak masuk akal. Baru-baru ini, seorang ahli parlimen 'menasihatkan' guru agar tidak berbicara soal politik di sekolah. Melampau betul. Ia memberi gambaran seolah-olah guru tidak mampu berfikir seperti manusia biasa. Apa salahnya berbicara soal politik untuk mencanai minda? Dosa besar apakah hingga guru tidak boleh berbicara tentang pentadbiran negara? Soal kepartian, rasanya sudah cukup matang untuk dibicarakan oleh guru. Memang memalukan jika hal ini dipolemikkan kerana ia merendahkan tahap keupayaan guru berfikir .
Hakikatnya, semasa SITC (kini UPSI) ditubuhkan di Tanjung Malim pada 1922, ia telah melahirkan golongan guru yang mencetuskan gerakan penentangan terhadap penjajah Inggeris.
Siapakah Ibrahim Yaakub, Hassan Manan, Abdul Karim Rashid, dan Mohd Isa Mahmud? Merekalah pejuang yang tulen, menentang penjajah melalui ilmu pengetahuan yang digarap, lalu membentuk semangat juang yang mantap dan menyedarkan masyarakat Melayu yang ketika masih lena dibuai mimpi.
Akhirnya, melalui gerakan semangat guru-gurulah, masyarakat di Tanah Melayu akhirnya mendapat kemerdekaan pada tarikh keramat 31 Ogos 1957.
Berbalik tentang Paklah, rasanya beliau tidak mampu mencapai tahap kecemerlangan seperti zaman Tun Dr Mahathir. Tun meletakkan kayu ukur yang tinggi semasa meninggalkan kerusi PM kepada Paklah. Tun berjaya meletakkan Malaysia di barisan negara yang wajar dihormati. Kecacatan Tun tetap ada, tapi Tun berjaya meraih sokongan rakyat. Itulah sebabnya semasa era reformasi 1998, BN masih menguasai dua pertiga majoriti. Tun boleh berbangga semasa mengundur diri dari arena politik tahun 2003.
Paklah pula bagaimana? Menjelang pengundurannya Mac 2009, tiada apa yang boleh Paklah banggakan.
Paklah dihenyak dan dipersalahkan oleh Tun, yang bertanggungjawab meletakkannya di kerusi PM. Tindakannya membatalkan jambatan bengkok sukar difahami oleh Tun sendiri. Kewujudan Wilayah Iskandar di Johor gagal meraih sokongan rakyat negeri itu. Perisytiharan wilayah ekonomi di Utara dan Timur masih tidak membekas apa pun.
Tidak cukup dengan itu, BN kehilangan 4 buah negeri kepada Pakatan Rakyat dalam pilihan raya Mac lepas. Beberapa pihak termasuk dalam kalangan MT UMNO menyelar kelemahan Paklah sebagai punca BN gagal mendapat tempat di hati rakyat.
Paklah juga dikatakan menjadi penyebab munculnya HINDRAF. Malah, kejatuhan saham sekarang juga, kononnya ada kaitan dengan kelemahan Paklah mentadbir negara.
Langkah tidak popular Paklah, seperti menaikkan harga minyak sehingga menyebabkan inflasi yang teruk dalam tempoh 3 bulan. Ia memberi bebanan kepada rakyat marhaen. Harga susu, tepung, beras dan baja naik mendadak, menyebabkan orang kampung semakin terhimpit dek tekanan ekonomi yang membengkak.
Biar apa pun alasan Paklah, majoriti rakyat tidak menangisi pengundurannya.
Apakah Najib ada kuasa magik yang mampu mengembalikan sokongan rakyat kepada BN? Mampukah keadaan negara kembali aman dan terkawal seperti dahulu? Mungkinkah Anwar mempunyai jalan penyelesaian, atau sekadar beretorik dengan janji untuk kesejahteraan rakyat? Masa dan keadaan akan menentukan.
Harapan aku,.. Masa depan negara ini jangan dilacurkan untuk kepentingan diri. Siapa juga pengganti Paklah, MESTI ingat perkara ini.

12 comments:

  1. itu cerita deme yop - apa pula cerita kita - masjid sg jejawi dari zaman Ramli Ngah Talib sampe zaman Tajuddin Ramli tak siap2. Rasanya masjid yg ada sekarang dari zaman Tun Razak...sedih teman.apa yg berlaku hari ini : kepimpinan dikatakan ada 2 pendekatan - nak jadi popular @ nak efektif.Nak popular ( pak lah ) tentu orang suka tapi tak efektif , nak efektif ( macam mahadir )orang tak suka tapi impaknya...untuk seterusnya MARCH- kita harap ( kalau ada )usaha untuk meletakan semula MELAYU & ISLAM - dilandasan yg betul.Sedih benor teman ni weh !!! Orang politik sibuk2 nak naik ke ateh - tak sempat deme nak tgk apa dah jadi kat bawah....

    ReplyDelete
  2. cikgu izzuddin..
    bernas..
    perkongsian utk difikirkan bersama..

    ReplyDelete
  3. sekadar membalas pantun cikgu di ruanagn komen sy..

    perlahan tutur sopan bicara
    gemersik seruling tidak terbanding
    bergaya dan mendidik dua perkara
    rasa tak salah seiring berganding

    anak cina memasang lukah
    terkena ikan ada penyengat
    merah ceria yakin melangkah
    buat sy kembali bersemangat

    tkaseh..

    ReplyDelete
  4. Bro Jinggo,
    Teman nengokkan pemimpin kita ni, ibarat mengenyangkan tembolok sendiri aje.

    Secara peribadi, teman kecewa dengan politik negara kita, tapi mujur ada pilihan, yang nampaknya memberi sedikit harapan. Itu sebab rakyat Perak, Kedah dan Selangor serta Penang berani buat anjakan paradigma.

    Ari ni, Nizar (MB Perak) cadangkan Air Asia buat airport tambang murah di Perak.

    Ok la idea tu. Dapat tingkatkan ekonomi masyarakat setempat.

    Dengo pantun ni, ye...

    Kalau kentang dibuat gulai,
    Ubi tidak berguna lagi,
    Kalau wang menjadi nilai,
    Budi tidak berguna lagi..

    Dalam politik, kalau pemimpin asyik nak cari duit memanjang, hanco le hidup rakyat yop!

    ReplyDelete
  5. Azza, kukira kau memang bijak berpencak kata.

    Ingin rasa menjamah kari
    Kari cendawan, batang keladi
    Pantunmu puan tinggi kualiti
    Tak tercapai akal teman di sini.

    hehehe..

    ReplyDelete
  6. cikgu izzuddin..

    bermain seremban teman sebaya
    riang tersenyum siul senada
    anak istimewa pelanggan saya
    seputih salju tiada bernoda

    hinggap camar di pohon ara
    bertingkah merdu mersik siulan
    tiada salah tersekat bicara
    sama menegur jadikan amalan

    ReplyDelete
  7. Salam...

    Bloghopping dari blog jinggo..saja jenguk2 ke sini kot2 ada ilmu yang boleh dicari. Cari shoutbox nak tinggalkan jejak tapi tak ada la pulak so tinggalkan jejak di ruangan komen ni

    Salam kenal..Cikgu Izzudin dari Sitiawan ye..Abang saya ada tinggal di sana...InsyaAllah akan selalu menjenguk ke sini...itupun kalau diizinkan..

    ReplyDelete
  8. Azza,

    Petah menyusun bait pantun nampaknya. Gunakanlah ia untuk mendidik anak bangsa, biar pun mereka tidak seupaya pelajar lain.

    Pantun khas untuk cikgu:

    Indah nian Long Pasia*
    Tempat bertandang para kembara
    Anak istimewa jangan dipersia
    Mereka juga warisan negara

    *Long Pasia-sebuah tempat pedalaman di Sarawak

    ReplyDelete
  9. Tirana, selalu juga saya ke blog puan.

    Saya memang asal di sini, inilah 'hometown' saya.

    Terima kasih tinggalkan jejak.

    ReplyDelete
  10. sy hanya menutur apa yang terlintas dihati selagi ia waras di minda..

    lenggang mak dara di atas titi
    bercahaya wajah putih bersih
    istimewa di mata jua di hati
    merekalah tempat menumpang kasih

    cikgu pernah mengajar di sarawak ke..

    ReplyDelete
  11. salam cikgu..skadar menyinggah dan tertarik dgn topik perbincangan..

    sbg pelajar, keadaan politik negara sekarang amat2 membimbangkan..

    moga ada sinar hrpn stlh paklah mengundur diri..moga masih ada pemimpin akan dtg yg memimpin krn tanggungjwb dan amanah, bukan kerana wang dan projek semata2.

    ReplyDelete

Jejak yang ditinggalkan