Friday, August 7, 2009

Tabahlah Irfan, Allah Menyayangi Bapamu

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Awal pagi Khamis, asrama mendapat khabar buruk. Seorang pelajar tingkatan 3, Irfan yang nyenyak tidur di asrama, diambil bapa saudaranya.

"Ayah kamu eksiden." Bapa saudaranya bersuara, pendek sahaja.

"Bagaimana dengan ayah?"

"Sikit saja. Kita sembang di rumah nanti." Ujar bapa saudaranya.

Ayah Irfan, En. Hasbullah, adalah seorang pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat yang berpindah tugas di Taiping sejak tiga bulan lalu. Ibunya guru di sebuah sekolah rendah di Manjung. En. Hasbullah yang aku kenal, seorang yang ramah. Sering juga dia bertanya perihal anaknya kepada warden.

Pada hari Rabu jam 11 malam, kereta yang dipandunya ditabrak lori di Segari semasa dalam perjalanan pulang. Dia dan anak perempuannya terbunuh di tempat kejadian.

Luluh hati seorang isteri, tak dapat digambarkan dengan kata-kata. Ketika menziarahi jenazah di Bilik Forensik, HSM, orang ramai termasuk saudara maranya sudah berkumpul. Hanya Irfan yang bercerita, manakala emaknya trauma dan kehilangan semangat.

Buat Irfan yang bakal menduduki PMR, tabahlah. Minggu depan peperiksaan percubaan PMR bermula. Apabila ditanya persediaannya, Irfan sendiri menggeleng-gelengkan kepala. Aku faham situasinya. Dia anak sulung, kehilangan dahan bergantung dalam keadaan yang amat diperlukan. Itulah takdir yang harus diterimanya.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Moga Allah mengampuni dan merahmati roh mereka.

6 comments:

  1. Kesian...berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul..Jika dah ajal, tak boleh mengelak walau sesaat..semoga Irfan dan keluarga tabah menghadapi ketentuan Ilahi dan mudah-mudahan roh ayah dan adik perempuannya dicucuri rahmat.

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum..

    Semoga keluarga Irfan tabah dalam mengharungi hari-hari yang mendatang..

    ReplyDelete
  3. Kak Tirana, memang menyedihkan. Masuk BH tajuk "Dua Beranak Terbunuh Dalam Nahas".


    Moga Allah tabahkan jiwanya.

    ReplyDelete
  4. Cikgu Huda,

    Apa yang berlaku ada hikmahnya.

    Moga dia tabah menghadapi ujian ini

    ReplyDelete
  5. Salam,
    anak saya bersekolah di SKKDSK. Bercerita tentang perihal ini pada saya semalam.
    Tidak dapat saya bayangkan jika saya berada dalam situasi begitu.

    Wajar sungguh kita ingat mengingati bahawa kita perlu sentiasa bersedia untuk apa jua kemungkinan yang tiba sebab ajal maut di tangan Allah.

    Al-Fatihah untuk arwah En. Hasbullah, dan takziah untuk Irfan sekeluarga. Tabahkan hati dan banyakkan bersabar...

    ReplyDelete
  6. Cikgu Hazlin,

    Ibu Irfan (saya tak pasti namanya) sudah goreng cucur cempedak dan nasi goreng untuk suaminya makan apabila pulang nanti. Sayangnya juadah tu tak sempat dijamah, yang pulang hanya jenazah.

    Bergenang air mata saya mendengar Irfan bercerita. Tragis kisah ni.

    ReplyDelete

Jejak yang ditinggalkan

MENJALA TALAPIA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Agak lama juga saya tidak menjala ik...