Sunday, August 30, 2009

Tahniah Jagung...

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.
Semalam, seorang rakan lama dari Johor, Balok menghubungi aku.
"Din, tau tak Jagung dapat ke UK, buat Ph.D?"
"Tak tau. Bila?" Aku bertanya semula.
"September ni dia ke sana. Raya pun di sanalah." katanya lagi.
Aku hubungi Jagung, dan dia mengesahkan akan pergi ke UK untuk tempoh dua tahun.
"Doakan.." katanya sebelum mengakhiri perbualan.
Jagung diberitakan akan pergi bersama Peah dan anak-anak mereka. Semuanya ditanggung, dengan elaun dan yuran belajar yang dibiayai sepenuhnya. 
Jagung atau Zulhazmi Sayuti, rakan kolej kelima, UPM dahulu antara rakan yang masih berhubungan, biarpun begitu faktor jarak dan tugas menjadikan hubungan kami tidak seintim dahulu.
Masih teringat lagi, daripada seorang 'budak Dip Tani' (Diploma Pertanian), Jagung meniti kejayaan demi kejayaan. Dia menjadi Pegawai Kanan di MARDI selepas menamatkan Master dan kini akan ke UK untuk segulung Ph.D.
 Belakang: Shakran dan Pit
Depan: Pojie, Jagung dan Aku
Mengapa dia mendapat gelaran Jagung? Sebabnya di kolej kami, budaya menamakan junior dengan istilah yang hampir dengan unsur alam telah bertapak kukuh. Bukan setakat Jagung dan Balok, rakan lain juga ada gelaran tersendiri, seperti Kambing, Kodok, Arnab, Tongkai, Kudut, Selut, dan seumpamanya. Ironinya nama-nama itu lebih bersifat mesra berbanding nama sebenar. 
Ketika kami ke Medan, Sumatera, Jagunglah yang buat persembahan menyanyi lagu Seroja bersama aku, dan yang paling aku tak lupa, dia 'kehabisan suara' ketika menyanyikan 'chorus' yang bernada tinggi. Masa itu, nak gelak pun ada, tapi sebab aku pun di pentas yang sama, aku ikut sajalah rentaknya. Dalam hati, punyalah kelakar, dan selepas itu aku, Balok dan yang lain-lain, gelak berguling-guling mengenangkan kisah lucu itu.
Kami pernah membentuk kumpulan (grup) makan untuk mengurangkan bajet. Lauk dibeli di Kafetaria, manakala nasi sahaja yang kami masak. Ia boleh menjimatkan belanja hidup di universiti yang memerlukan banyak wang. 
Tapi itu dulu, semasa kami masih bujang dan masih bergelar siswa. Kini, masing-masing sudah ada kerjaya dan rezeki yang ditentukan Allah.
Moga Jagung selamat pergi dan pulang, dan beroleh segulung Ph.D. Insya-Allah.

2 comments:

  1. Cerita kejayaan manusia yang berbeza-beza

    ReplyDelete
  2. Yer Pokli, tak sama, tapi bersyukurlah dengan apa yang kita ada.

    Rezeki orang, baik untuknya, rezeki kita, kungkin kesihatan yang berpanjangan, betoi Pokli?

    ReplyDelete

Jejak yang ditinggalkan

MENJALA TALAPIA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Agak lama juga saya tidak menjala ik...