Thursday, October 22, 2009

Pandangan Khoo Kay Kim Ada Asasnya..

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.




PROF EMERITUS TAN SRI KHOO KAY KIM
 
Sebagai seorang sejarahwan, beliau menyatakan pendapatnya bahawa sekolah satu aliran boleh capai matlamat 1Malaysia.
 
Menurutnya, sistem pendidikan negara perlu disusun semula termasuk melaksanakan sistem sekolah satu aliran bagi memastikan matlamat gagasan 1Malaysia tercapai.
 
Beliau berkata, sistem pendidikan yang mengamalkan sekolah pelbagai aliran ketika ini tidak membantu rakyat menyelami makna sebenar gagasan itu. Ini kerana sejak dari kecil lagi rakyat sudah diasingkan mengikut aliran dan bahasa ibunda masing-masing dan apabila dewasa, semangat kerjasama dan persefahaman sukar untuk dijalinkan.
 
"Kita tidak perlu kepada sekolah yang banyak aliran, bahasa ibunda setiap kaum boleh diselitkan sebagai sebahagian daripada kurikulum di bilik darjah," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program wacana "One Malaysia: Cabaran dan Harapan" sempena program semarak perpaduan dan patriotisme Institut Pendidikan Guru Malaysia peringkat kebangsaan di Pulau Pinang hari ini. 
 
Namun begitu, beliau menjangkakan ada pihak yang akan membantah cadangan itu tetapi mereka yang berbuat demikian perlu menilai semula sejauh mana sistem pendidikan ketika ini boleh membantu mengukuhkan pembentukan sebuah negara bangsa. 
 
Mengimbau kembali sejarah terbentuknya sekolah pelbagai aliran di negara ini, Prof Khoo Kay Kim berkata, mengikut sejarah, British membenarkan penubuhan sekolah pelbagai bahasa di Tanah Melayu kerana kebanyakan pendatang ketika itu tidak mempunyai niat untuk menetap di negara ini. 
 
"Jadi, British membenarkan mereka membuka sekolah menggunakan bahasa ibunda masing-masing supaya mereka dapat belajar mengenai negara sendiri. "Bagaimanapun, sistem ini tidak lagi perlu diteruskan sekarang kerana mereka sudah menjadi warga negara Malaysia dan perlu dididik supaya menerima negara ini dan masyarakat berbilang kaum yang ada di sini sebagai sebahagian daripada diri mereka," katanya lagi. 
 
Khoo juga berkata, kebanyakan rakyat negara ini tidak tahu dan tidak memahami sejarah negara sehingga menyebabkan mereka berfikiran secara sempit. 
 
Menurutnya, ada segelintir ahli politik yang lebih mengutamakan kepentingan diri dan agenda masing-masing berbanding matlamat utama negara bangsa. 
 
"Ada ahli politik kita yang tidak mahu berintegrasi dan lebih suka kepada pemisahan, dan lihatlah bagaimana negara menjadi kucar-kacir kerana adanya ahli politik yang tidak mengutamakan negara bangsa tetapi lebih kepada agenda sendiri," katanya. 
 
Tan Sri bercakap soal pembinaan bangsa Malaysia, tetapi merubah sistem pendidikan menjadi satu sudah cuba diimplimentasikan sejak Tun Abdul Razak menyediakan Laporan Razak pada tahun 1956 dahulu.

Ia tidak berjaya. 
 
Masyarakat bukan bumiputera pernah menolak dan tidak menyokong penubuhan Sekolah Wawasan. 
 
Pada tahun 70-an, proses menyatukan bangsa seakan semakin berjaya. Di sekolah-sekolah, pelbagai kaum duduk di kelas yang sama, sambil memahami budaya antara mereka. 

Kini,polarisasi kaum di negara kita semakin ketara. Baik dalam bidang ekonomi dan politik, ia dizahirkan secara jelas.

Ia diburukkan lagi dengan Dasar PPSMI yang menjadikan jurang antara rakyat luar bandar dan bandar semakin luas. Mujurlah kerajaan mendengar rintihan rakyat dan kembali ke dasar asal. Memartabatkan bahasa Melayu (sebut Bahasa Malaysia) sebagai medium perpaduan harus disebarluaskan.

Hari ini, satu memorandum dibuat oleh sebuah NGO ibu bapa di sebuah sekolah di Selangor, yang meminta sekolah dibenarkan membuat pilihan untuk mengekalkan dasar PPSMI yang akan dimasuhkan pada 2011.
 
Susah nak difahami apa yang berlaku..


2 comments:

  1. aku sokong cadangan ni, kalau tidak inilah jadinya

    ReplyDelete
  2. Anjang,

    Langkah awal perpaduan rakyat boleh dimulakan melalui pendidikan. Pemimpin politik tahu perkara ni..

    ReplyDelete

Jejak yang ditinggalkan

MENJALA TALAPIA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Agak lama juga saya tidak menjala ik...