Tuesday, October 14, 2008

Kata Azimat Arwah Ayah

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.

Selama hampir dua tahun aku berkesempatan menjaga ayah, sebelum beliau dijemput bertemu Pencipta. Ayahku tiada dua, dan itulah satu-satunya lelaki yang layak kupanggil 'ayah'. Ayah dan mak jaga kami sejak kecil, tapi aku hanya dapat jaga ayah dalam tempoh yang sangat pendek.

Ayah sangat suka menggunakan kata-kata yang menarik. Malah, antara kelebihan ayah adalah boleh berpantun secara spontan.

Beberapa kata azimat arwah ayah yang dapat kukongsi dan kuingati untuk menjadi panduan hidup ini:

"Permata di perlimbahan"

Ini pertama kali aku dengar semasa ayah 'bengang' sebab anak-anak lelaki yang boleh bertakbir raya, malu untuk memperdengarkan takbir pada pagi raya di masjid DSK. Kami sudah diajar bertakbir, tetapi untuk memimpin takbir di masjid pada usia remaja, suatu yang amat kami geruni.

"Anak-anak ayah ni, ibarat permata di perlimbahan.." katanya dengan sinis.

"Kalau mencapai bintang di langit, jangan lupa rumput di bumi"

Ungkapan ini sangat mendalam maksudnya. Ia memberi maksud kalau kita berjaya dalam lapangan masing-masing, jangan lupa dari mana kita berasal. Aku tak ingat sangat bila aku mula dengar dan lihat, tapi ungkapan ini popular juga di dalam buku dan majalah. Cuma ayah kerap gunakan ia sebagai pesanan.

"Kalau nak sisik, mintalah pada ikan haruan, jangan diminta pada ikan keli"

Ungkapan ini juga popular, tapi seingat aku, hanya ayah yang selalu gunakan.

Maksudnya , kalau kita perlukan sesuatu, dapatkan daripada pihak yang boleh beri, jangan minta pada orang yang tiada kemampuan memberinya. Contohnya, jumpalah tukang gunting rambut kalau nak potong rambut, jangan jumpa mekanik motor. Apa dihajapnya!

"Sepenuh-penuh beg, takkan nak isi sapu tangan sehelai pun tak muat?"

Ini bermaksud -bagaimana penuh sekalipun perut seseorang, masih mampu isi sedikit lagi makanan. Aku selalu gunakan kepada rakan-rakan sewaktu kami makan. Arwah ayah pun selalu gunakan ungkapan ini.

Pada aku, ungkapan ini boleh menambahkan kemesraan dengan orang yang baru kita kenal, terutamanya jika dia faham maksudnya. Tapi ingat, ungkapan ini sesuai digunakan semasa waktu makan dengan kenalan/ saudara mara.

"Jangan dikira hari itu mendung sebelum rembang petang menjelang"

Maksudnya kita tak boleh menganggap hidup tidak senang selagi tidak sampai ke penghujung/penamat. Dengan kata lain, kita perlu ada simpan harapan untuk dapat kesenangan.
Bagus ungkapan ini, sebab ia memberi motivasi untuk berusaha semampu boleh. HOPE IS A IMPORTANT THING IN YOUR MIND..

"Masa kecillah nak bersama, dah besar nanti, masing-masing bawa diri sendiri"

Ungkapan ini sangat mendalam maknanya pada aku, sebab semasa kecil, anak-anak lelaki tidur di ruang tamu rumah kami yang kecil. Memang masa kecil, hubungan kami rapat. Tidur sama tempat, satu kelambu. Kalau kami bergaduh dan berlasak, ayah akan pujuk dan nasihat anak-anak guna ungkapan ini.

Aku tak faham masa kecil, tapi bila dah berkeluarga, aku dah faham maksud yang tersirat. Aku selalu ingatkan anak-anak aku, supaya hargai masa bersama sewaktu kecil. Kini, masing-masing ada kehidupan sendiri yang perlu diteruskan.

Entahlah, mungkin ada yang bosan membacanya, tetapi aku tak jemu untuk mengingatkan diri sendiri, supaya tidak lupa asal usul diri. Yang penting, segala pesanan arwah ayah akan menjadi sebahagian daripada panduan untuk meniti hidup yang penuh cabaran.

9 comments:

  1. alhamdulillah sy masih punya abah..
    walau masa cukup terhad apabila menginjak dewasa.. sedetik bersama terasa cukup berharga..
    benar2 rindu saat dulu sewaktu kecil bila abah salu dukung kami ke bilik tatkala terlena di depan tv...

    ReplyDelete
  2. Punai melayah di hujung balai
    Pucuk selum tumbuh melata
    Kasih ayah tidak ternilai
    Hargailah sebelum tiada di mata

    Maaflah agak emosi sedikit, entah mengapa saya teringat akan ayah yang banyak jasanya membesarkan saya dahulu. Dengan gaji kecil sebagai buruh, ayah menyekolahkan kami hingga berjaya dalam bidang masing-masing.

    ReplyDelete
  3. salam..semoga kata-kata tersbut terpahat untuk selamanya...jgn lupa untuk perturunkan kepada generasimu..jue juga akan mengambilnya sebagai kata2 hikmat untuk meneruskan perjuangan jue yang belum selesai...doakan kejayaan dan kebahagiaanku..

    ReplyDelete
  4. cikgu..
    sy punya kisah dengan abah sy..
    biarlah ia tersimpan kukuh di hati sehingga akhir hayat ini..
    moga abah sntiasa sehat dan dalam lindunganNya..

    hargailah ibubapa kita sblm mereka pergi meninggalkan kita..

    ReplyDelete
  5. Miss Jaz, dah habis kursus?
    Tadi dapat berita gembira, minyak turun, 15 sen, ciput je, tapi ok lah. Kalau dulu RM50 hanya dapat 20.4 liter. Esok, nilai yang sama boleh dapat 21.7 liter.

    Jadilah, daripada langsung takde.

    ReplyDelete
  6. Azza,

    Petikan komen:

    hargailah ibubapa kita sblm mereka pergi meninggalkan kita..

    Tak siapa boleh menjangka, siapa akan tinggalkan siapa. Yang pasti setiap pertemuan ada perpisahan, Yang hidup pasti mati.

    Setiap detik bersama mereka yang tersayang menjadi memori indah apabila kita kehilangannya.

    ReplyDelete
  7. takziah....

    cume aku confius dgn:-

    "Sepenuh-penuh beg, takkan nak isi sapu tangan sehelai pun tak muat?"

    macam kurang kene nak di gambarkan dengan perut.

    anyway, mama aku pergi, terasa makin sunyi, moga Allah melimpahkan rahmat pada mereka..... mardhotillah

    ReplyDelete
  8. thanks cikgu berkongsi semua ni.. indahnya bahasa kita ni..kan..

    saya pun ada buat entry pasal ayah. video clip je tapi bagi saya cukup bermakna..

    http://maxx256.blogspot.com/2008/10/titiprindubuatayahebiet-g-ademtv.html

    ReplyDelete
  9. Salam,
    Saya juga rasa tersentuh bila baca isi kandungan blog ini, sebab nama-nama mereka yang disebut di dalam blog ini kebanyakannya saya kenal. Rasanya saya sempat jumpa arwah Pak Lang Sidek 2 tahun lepas tapi tak ingat kat mana. Saya doakan roh beliau dicucuri rahmat.

    ReplyDelete

Jejak yang ditinggalkan

MENJALA TALAPIA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Agak lama juga saya tidak menjala ik...