Tuesday, October 7, 2008

Menghayati Semangat Raya 3

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.
Hari raya bukanlah masa untuk melepak di rumah dan menonton TV. Memang rancangan-rancangan TV hebat dan menarik. Tetapi budaya kunjung mengunjung dan ziarah semasa hari raya sepatutnya menjadi amalan.

Aku, Sani dan Oun serta keluarga masing-masing mengunjungi Pak Anjang Juri di Seri Manjung. Di sana, kami dapat juga bertemu dengan Ark, Idris dan Azlan yang akan pulang lewat petang nanti. Bukan mudah nak bertemu dengan sepupu, kerana masing-masing sudah ada komitmen kerja dan keluarga.

Kami ke Batu 3, bertemu Makngah Itam dan Pakngah Ramli. Ini jugalah destinasi arwah ayah tiap kali raya, dan kami hanya meneruskan tradisi itu.

Sejak kematian Amril dalam tragedi letupan di Kilang Gandum, jelas kelihatan tiada keceriaan di wajah kedua-dua orang tua itu.

"Dah tak seronok, Ein.. teringat kat arwah." Makngah Itam meluahkan kerinduannya.

Aku hanya menjadi pendengar pasif apabila dia bercerita tentang kelibat Amril serta dua cucunya. Rupanya, sejak kematian Amril, Makngah juga putus hubungan dengan cucu dan menantunya. Mereka sudah tak lagi duduk di rumah belakang. Entah apa sebabnya, tapi Pakngah Ramli nampaknya begitu terkilan dengan sikap menantunya yang menyisihkan mereka.

"Tak mengapalah, satu hari nanti, dia akan jumpa Pakngah juga, sebab kereta masih nama arwah," kata Pakngah sambil merenung jauh ke laman rumah. Paling mengecewakannya, raya ini hanya sejam dia dapat bersama 2 orang cucunya itu. Itupun setelah Pak Ode Yunus yang membawa mereka ke situ. Walhal, antara rumahnya dan rumah besan, jaraknya hanya sepenanak nasi.

Kami ke rumah Ayahlang Rahman, tidak jauh dari situ. Hampir terlajak aku ke Damar Laut kerana dah terlalu lama tak ke sini.

Rupanya, Maklang kini sudah bermadu. Berita itu disampaikannya dengan linangan air mata. Seperti biasa, kami hanya boleh menjadi pendengar dan memberi sokongan moral kepadanya.

Iyalah, perempuan mana yang suka dimadu? Lelaki mungkin rasa teruja, tetapi kalau tak boleh berlaku adil, cukuplah beristeri seorang.

Ayahlang sendiri, sejak berkahwin muda, langsung tak kisah makan minum anak-anaknya di sini. Kasihan aku kepada Maklang, kerana diperlakukan begitu. Mujur juga Kaklang dan Linda membantu. Umi juga khabarnya nak berhenti tingkatan 6 jika berjaya dalam temu duga SPA minggu depan.

Destinasi kami yang terakhir ialah rumah Abang Enai, itu pun terpusing-pusing Oun mencari lorong di Taman Samudera. Kak Ina isterinya biarpun suri rumah sepenuh masa, bijak menyusun atur hinggakan rumah yang sederhana itu menampilkan kelainan dekorasi.

Kami berpecah dengan aku balik ke rumah sementara Oun dan Sani mengunjungi Pakcik Endan di Cangkat Cermin.

Esok dah mula bertugas, dan aku nekad untuk berpuasa 6 hari dalam bulan Syawal ini. Arwah mak sudah jadikan ia tradisi, dan selalu ingatkan aku tentang betapa ganjaran pahalanya seolah-olah berpuasa selama setahun. Moga-moga mak dan ayah tenang di sana. Amin.

4 comments:

  1. Kunjung-mengunjung amalan mulia yang semakin terhakis. Dunia semakin maju. Minda manusia dipegaruhi oleh dunia yang dikatakan maju.. Kan?

    Apa-apa pun jika kita mampu untuk terus mengunjung, usahlah diharapakan kita dikunjungi kerana nanti saling menunggu orang tiba. Akhirnya siaran tv jadi halua mata... tak gitu sdra?

    ReplyDelete
  2. salam lebaran..
    salam ziarah dr saya..

    ReplyDelete
  3. Sdr Azlanlin, nampaknya semangat raya lebih ditentukan oleh rancangan TV, bukannya intipati Aidilfitri itu sendiri. Rancangan TV pula didominasi unsur hiburan. Itulah hakikatnya.

    Sdr Azza_izah,
    Terima kasih sudi mengunjungi blog saya. Banyak juga resepi yang dapat saya pelajari dlm blog sdr,..

    ReplyDelete

Jejak yang ditinggalkan

MENJALA TALAPIA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Agak lama juga saya tidak menjala ik...