Thursday, October 16, 2008

'Perak Man' Di Muzium Arkeologi

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.

Kesempatan melalui Jalan Raya Grik-Kuala Kangsar memberi peluang aku singgah di Muzium Arkeologi Lenggong (MAL). Sudah lama kepingin ke sini, tapi kekangan masa dan keadaan membatasi niatku itu.

Pulang dari Pengkalan Hulu semalam (Rabu 15 Oktober 2008), aku tekad untuk menjejakkan kaki ke kawasan yang pernah didiami masyarakat Paleolitik ribuan tahun yang lalu.

Simpang masuk ke muzium ini sudah membuatkan aku teruja. Replika batu besar tertulis "Selamat Datang Muzium Arkeologi Lenggong" membuatkan pedal minyak kutekan untuk cepat tiba di muzium yang menempatkan satu daripada warisan dunia yang hebat- Manusia Perak (Perak Man).

Kawasan sekitar agak sunyi. Maklum saja, ketika itu, jam menunjukkan 1 tengah hari. Hanya ada 3 orang pelancong Belanda, dan aku sahaja yang berkunjung ke situ. Aku disambut oleh Encik Kamal, petugas di situ, yang nampaknya amat hormatkan guru.

"Saya cikgu, baru balik dari kursus di Pengkalan Hulu. Niat saya nak tengok bahan di Muzium ni, boleh?" Aku menyusun kata.

"Oh, cikgu. Silakan cikgu. Cikgu tulis nama di buku daftar ni." kata Encik Kamal.

"Berapa bayaran masuk ke sini?"

"Tak payah, cikgu. Masuk ke sini, percuma."

Percuma? Huh, kebanyakan muzium yang aku masuk, paling tidak dikenakan bayaran RM1.00. Di sini, tiada satu sen pun perlu dibayar. Tapi tak ramai yang datang ke sini, patutlah sunyi.

Bagaimanapun, telahanku salah. Aku diberitahu ramai pelajar sekolah dan guru serta mahasiswa yang berkunjung ke sini, terutama semasa cuti sekolah. Pelajar sekolah biasanya akan mengikuti pakej lawatan ke Gua Harimau atau gua-gua lain yang mempunyai tinggalan manusia zaman purba.

Suasana tenang dan damai membolehkan aku menghayati nilai ilmu yang terdapat di MAL. Aku ditemani Encik Kamal sepanjang melawat MAL selama 45 minit itu. Tak jemu-jemu dia bercerita tentang kehidupan manusia purba. Ceritanya diperkuatkan dengan diorama dan video, serta pameran artifak zaman Paleolitik dan Neolitik.

Paling mengujakan aku ialah kisah Perak Man. Ia pernah diberi liputan oleh National Geographic. Malah, Perak Man turut menjadi bahan kajian arkeologis barat, kerana ia merupakan rangka paling sempurna pernah ditemui di rantau Asia!

"Berbanding Peking Man dan Java Man, Perak Man lebih lengkap rangkanya, "kata Encik Kamal sambil membawa aku ke sebuah replika perkuburan Perak Man.


"Ini, yang betul ke?" Tanyaku meminta kepastian.

"Bukan, ini hanya replika. Tapi rangka Perak Man memang ada di sini. Cuma, tak dapatlah kami tunjukkan sebab ia adalah warisan dunia. Khazanah yang tinggi nilainya, cikgu. Lagipun, ia masih lagi dalam kajian USM."

Mengikut kajian Dato' Dr Zuraina, ketua penyelidik USM yang menemui rangka tersebut, ia ditemui di Gua Gunung Runtuh, dengan dikelilingi tulang-temulang bangkai haiwan seperti khinzir, pelanduk dan kura-kura. Rangka ini juga dikebumikan dengan kakinya dirapatkan ke dada. Ini menunjukkan Perak Man dikebumikan mengikut ritual khusus masyarakat Paleolitik.

Lebih menarik lagi, Perak Man mengalami kecacatan kekal Brachymesophalangia Type A2 iaitu tangannya tidak sama panjang. Tulang belakangnya juga bengkok tetapi arkeologis percaya Perak Man adalah seorang yang sangat dihormati oleh masyarakatnya ketika itu. Ini kerana di kawasan perkuburannya, terdapat lebih daripada 3,000 kulit siput. Ssetengah daripada siput itu sudah tiada lagi pada zaman ini.

Kita sedia maklum bahawa kulit siput pada zaman dahulu, adalah sesuatu yang sangat berharga. (Itulah juga asal mengapa orang Perak menyebut nilai mata wang sebagai kupang)

Melalui teknik penyelidikan Radiokarbon pada tulang tersebut, rangka ini berusia antara 10,000 hingga 11,000 tahun yang lalu. Masyarakat Paleolitik pada zaman itu menggunakan batu yang kasar sebagai alat memotong daging, senjata dan seumpamanya. Terdapat beberapa artifak seperti batu yang tajam di sisinya, dipamerkan di MAL.

Selain itu, kulit siput dan tembikar lama juga membuktikan masyarakat Paleolitik sudah mula membina tamadun mereka pada waktu itu.

Berdasarkan cerita Encik Kamal, masyarakat Negrito dari suku Lanoh yang mendiami kawasan ini dikatakan mempunyai persamaan dengan masyarakat zaman Paleolitik.

Pada akhir perbualannya dengan aku, satu persoalan yang diutarakannya cukup untuk membuatkan aku terpaku.

"Sebenarnya cikgu, orang asli inilah penduduk asal negara kita. Kita ni, Melayu campur. Macam saya, ada darah Pattani. Cikgu pun campur juga. Semua orang Melayu dah mengalami perubahan genetik. Cuma, kita mempunyai susur galur dari wilayah yang sama, iaitu Kepulauan Melayu. Nenek moyang kita telah merantau ke daerah ini, yang sebenarnya sudah ada penduduk asalnya. Jadi, kita pun pendatang juga sebenarnya."

Adakah Melayu juga pendatang, seperti orang Cina dan India? Cetus hatiku.

Aku terfikir akan kebesaran Allah. Betapa hebatnya kuasa Allah yang menjadikan manusia itu pelbagai rupa dan berbangsa-bangsa.

Maha suci Allah.

10 comments:

  1. Infomasi yang sangat-sangat berguna. Terimakasih kerana berkongsi cerita dan pengalaman di sini.

    ReplyDelete
  2. Tirana,maklumat dan ilmu yang ada tidak akan hilang jika dikongsi dengan orang lain. Bak kata pepatah, ular menyusur akar, takkan hilang bisanya.

    Lama tak menjengah ke sini? Sibuk ye?

    ReplyDelete
  3. Entry yang menarik. Bak kata pepatah Melayu, Jauh Perjalanan Luas Pandangan, Lama Hidup Banyak Di Rasa :)

    ReplyDelete
  4. saya mmg suka bawak anak2 berkunjung ke muzium

    ReplyDelete
  5. aku dah berkali-kali gie lenggong pun masih tak sempat nak jenguk pakcik perak man. huh

    ;-)

    siapa pun kita, melayu, cina, india mahupun orang asli semuanya makhluk allah, pegang prinsip masing2 namun kita cari persamaan, cari persamaan.

    ReplyDelete
  6. Pokli,

    Kekadang kita rasa dok di rumah lebih selesa, tapi sedikitlah pengalaman yang kita dapat. Begitulah Pokli, dah merantau ke serata. Jadi, banyak pengalaman yang ditimba.

    ReplyDelete
  7. Saya sibuk sikit sekarang ni...tak boleh lelama depan iMac saya ni..Kerja kena siapkan on time.

    ReplyDelete
  8. Nabi Adam telah di turunkan ke bumi lebih kurang 7000 tahun yang lalu tapi perak man berusia sekitar 10000 ke 11000 tahun lalu. Siapakah perak man ini ? Saya tidak percaya orang asli di malaysia ni keturunan perak man. Perak man bukan manusia. Dia spesies lain. Hanya ketrunan Adam manusia sebenar.

    ReplyDelete
  9. Saya berpendapat sama dengan Anonymous, mungkin Perak Man ini adalah dari spesis lain di mana fizikal kelihatan sama (berdasarkan tinggalan tulang) tetapi akal tidak se inteligen manusia keturunan Adam. Allah telah mencipta Adam sebagai manusia yang paling sempurna. Perak Man telah pupus seperti pupusnya dinasour, tiada lagi keturunannya walaupun.

    ReplyDelete
  10. walaupun.... Dawrin cuba mengaitkan manusia dengan monyet melalui teori evolusinya. Begitu pun Perak Man ini juga makhluk Allah, tetapi bukan keturunan manusia Adam a.s. Wallahhu'alam...

    ReplyDelete

Jejak yang ditinggalkan

MENJALA TALAPIA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Agak lama juga saya tidak menjala ik...