Wednesday, December 2, 2009

Rokok 20 Batang Sekotak Mulai Jun 2010! (Kempen Anti Rokok)

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Gambar hiasan :-)

 
Isu merokok seakan-akan klise dalam masyarakat kita. Biarpun pelbagai kempen diadakan, jumlah perokok semakin bertambah. Malah, jumlah remaja yang terlibat dalam gejala ini juga tidak menyusut. Kebanyakannya, pelajar sekolah, anak muda belasan tahun yang masih berharap wang saku ibu bapa. Mereka berlagak bagai orang dewasa merokok di tandas sekolah, perhentian bas dan tempat awam.

Menyedari kegagalan kempen TAK NAK! yang pernah diadakan dahulu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bertindak melarang penjualan rokok kurang daripada 20 batang sekotak. Mulai Jun 2010, rokok yang dikeluarkan oleh syarikat rokok di negara ini mestilah berjumlah 20 batang sekotak dan tidak kurang daripada itu.

Kempen Tak Nak yang dilancarkan oleh 
PM terdahulu gagal menyedarkan generasi muda

Menurut Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Kesihatan, larangan penjualan rokok kurang daripada 20 batang sudah diwartakan sejak 2004 lagi, tetapi kerajaan mengambil kira rayuan pengilang dan syarikat rokok untuk menangguhkannya selama enam tahun.

Ini menimbulkan persoalan, apakah tindakan ini akan mencapai matlamat mengurangkan jumlah perokok? Kerajaan, sebenarnya menghadapi dilema untuk mengatasi masalah rokok. Dalam satu keadaan, jumlah perokok yang bertambah akan menjejaskan kesihatan rakyat. Malah kerajaan terpaksa berbelanja lebih untuk merawat pesakit yang diakibatkan oleh gejala rokok.

Dari satu sudut yang lain pula, kerajaan menerima cukai rokok pada kadar yang sangat lumayan. Semakin ramai orang membeli rokok, makin bertambah pendapatan kerajaan. Sebatang rokok pada asalnya hanya menelan kos antara 15 sen hingga 25 sen. Selebihnya adalah cukai kerajaan. Kos termasuk cukai itu sanggup dibayar oleh perokok demi memastikan jantung dan paru-paru mereka sentiasa diisi dengan asap dan nikotin secara berterusan.

Perokok tegar sudah lali dengan apa juga larangan dan tegahan. Kita harus fokuskan kepada remaja yang masih muda. Itulah yang patut menjadi keutamaan kerajaan. Satu daripadanya, ialah menaikkan harga rokok sehingga RM60 sekotak. Ini mungkin mengurangkan keinginan mereka membeli rokok, tetapi bagi yang sudah ketagih, mereka akan terdorong untuk menghisap rokok berkualiti rendah yang lebih murah. Akibatnya, rokok seludup akan menjadi pilihan kepada perokok muda.

Hakikatnya, usah meletakkan beban gejala rokok terhadap kerajaan semata-mata. Masyarakat terutamanya, perlu bertindak proaktif memastikan generasi muda kita hari ini tidak terlibat dengan gejala ini. Hari ini, budaya menegur anak jiran tetangga yang melakukan kesalahan tidak lagi diamalkan.Kalau ada pun, ibu bapa remaja yang ditegur bersikap negatif mempertahankan tindakan anaknya. Bagaimanapun kita perlu bersikap kolektif; bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Usaha tegur menegur ini akan mengurangkan beban pihak guru mengawal pelajar terutama di luar kawasan sekolah.

Ibu bapa, seharusnya menunjukkan contoh terbaik kepada anak-anak. Selain itu, terapkan nilai 'benci rokok' kepada anak-anak sejak mereka kecil lagi. Selain itu, berdoalah, agar anak-anak kita tidak terlibat dalam ketagihan najis rokok. (Bolehkah saya menggunakan istilah 'najis rokok'?)

Jika anda perokok, berhentilah. Jika pasangan anda perokok, anda juga adalah perokok pasif, yang mana kesannya sama atau lebih lagi daripada perokok aktif. Berhati-hati dengan najis rokok.

6 comments:

  1. Bab berhenti merokok ni kena ada kehandak dr perokok itu sendiri, kalau tak ada kesungguhan datang le kempen macam mana pun.....takkan jadi apa2 juga.


    Kalau rokok mahal sgt ada yg gulung rokok daun je gamaknya.

    ReplyDelete
  2. aku tak hisap rokok.... aku hisap tembakau je

    ReplyDelete
  3. saya klu xhisap sehari xde pape..

    tp klu masuk hari ketiga.. boleh berhingus hidung..

    ReplyDelete
  4. bapa saudara aku yang berumur 75 tahun baru berhenti merokok dalam minggu lepas. Nampak macam ok je masih steady dan masih bertahan tidak menghisap rokok

    ReplyDelete
  5. Asyiq,

    Betul tu, atas kehendak sendiri, baru boleh berhenti. Ayah saya (arwah) dulu, memang hard smoker, Benson and Hedges rokoknya. Saya dan adik beradiklah tukang beli. Tapi dia tak bagi kami merokok.

    Maksu,
    Pelbagai cara orang nak berhenti. Rakan saya, guna air suam, setiap kali rasa nak merokok. Akhirnya dia dapat berhenti.

    Shifu,

    Hehehehehe.. Sedut tembakau jer? Gentel, jangan tak gentel...

    Amir, moga dapat berhenti satu hari nanti. Ingat, bila dah berkeluarga, elakkan di depan anak.

    Anjang,

    Pak sedara ko 75 thn, pufhhh, lamaaaa tuuu...
    Eloklah kalu dia dah berhenti..

    ReplyDelete

Jejak yang ditinggalkan