Saturday, February 28, 2009

HARGAILAH HIDUP INI..

Terima kasih kerana sudi singgah di blog saya. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di blog ini.
Pada sesi Perkembangan Staf bertajuk Mengubah Minda untuk staf akademik SMKBS, Puan Marhaini (kalau tak salah aku) menyampaikannya dengan baik dan menarikPuan Marhaini sedang memberi ceramah

Ada dua tugasan untuk kami selesaikan.

Pertama, senaraikan 100 sebab untuk kita bersyukur. Banyak sebenarnya, tapi setakat yang aku senaraikan, baru ada 45 sebab.

Kedua, jadikan prinsip "For the next 7 days, I'll never ever ever complaint" . Katanya, Ketua Jabatan dan orang bawahannya mesti selalu berfikir positif, dan membentuk team building yang kuat tetapi hakikatnya, orang bawahan selalu 'mencebek' dan memprotes arahan yang tidak mereka gemari.Dari kiri, Cikgu Hayati, Cikgu Haizan dan Cikgu Normah.. khusyuk dan tawadduk

Akhirnya, beliau mengajak kami berfikir: Selalunya, apabila bangun pagi, kita selalu memikirkan apa yang nak dibuat untuk hari itu. Jarang sekali kita mensyukuri nikmat kerana Allah masih panjangkan usia kita. Ada orang mati dalam tidur, dan seumpamanya.

Secara peribadi, banyak perkara menarik yang menyebabkan aku suka sesi Perkembangan Staf kali ini.

Friday, February 27, 2009

Keputusan SPM 2008 Mac Ini..

Terima kasih kerana sudi singgah di blog saya. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di blog ini.

Keputusan SPM diketahui 2 minggu lagi

KUALA LUMPUR:Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan diumumkan pada minggu kedua bulan Mac ini.

"Pelajar boleh mendapatkan keputusan mereka di sekolah masing-masing pada hari terakhir hujung minggu tersebut," kata Ketua Pengarah Pelajran, Datuk Alimuddin Mohd Dom.

Keputusan rasmi mengenainya telah pun diedarkan ke sekolah-sekolah di seluruh negara sejak beberapa hari yang lalu.

Seramai 442, 936 pelajar telah menduduki peperiksaan tersebut tahun lalu.

Buat semua pelajar dan calon SPM 2008, dup dap dup dup dap dup dap.. bunyi jantunglah tu...


Kadar Tol Baru Ditunda?

Terima kasih kerana sudi singgah di blog saya. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di blog ini.

Saya mendapat sumber berita yang telah belum disahkan, tetapi mungkin benar. Tol di lima lebuh raya yang dinaikkan mulai Mac 2009 akan ditangguhkan ke satu masa yang akan dinyatakan, dan tidak akan dilaksanakan seperti yang dimaklumkan oleh Menteri Kerja Raya.

Kenaikan Kadar Tol Membebankan Rakyat


Terima kasih kerana sudi singgah di blog saya. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di blog ini.

Dalam keadaan ekonomi yang semakin meleset, kehidupan rakyat telah terjejas. Semakin ramai yang diberi cuti tanpa gaji, dan lebih malang lagi apabila ada yang dibuang kerja. Majikan yang ingin mengurangkan kos, akan mengecilkan saiz pekerja bagi 'survival' syarikat dalam suasana yang tidak menentu ini.

Ibarat "sudah jatuh ditimpa tangga", pengumuman Kementerian Kerja Raya tentang kenaikan kadar tol di lima laluan lebuh raya pasti mengundang masalah tambahan kepada rakyat. Ia juga menimbulkan reaksi kurang senang Perdana Menteri, beberapa orang menteri dan pihak pembangkang. Rasanya, itu jugalah yang dirasakan rakyat sekarang.

Dalam reaksi segera, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri yang sedang berada di Pattaya, Thailand berkata, beliau akan meminta Kabinet memperhalusi kewajaran menaikkan kadar tol dalam keadaan ekonomi sekarang.

Pondok tol PLUS yang menangguk di air keruh

Seorang rakan yang kebetulan pengguna tetap lebuh raya berkenaan menghubungiku, dengan rasa geram melahirkan rasa kurang senang dengan tindakan membuta tuli kerajaan ketika rakyat dihimpit kemelesetan.

"Syarikat tol lebuh raya tiada hati perut, kementerian (Kerja Raya) hanya pak turut." Katanya sambil mengharapkan rakyat memberi amaran kepada kerajaan melalui pilihan raya kecil yang bakal berlangsung April nanti.

Aku faham perasaannya, tetapi ramai menteri dan pembuat keputusan di 'atas sana' tidak memahami apa yang sedang dilalui rakyat sekarang.

Tidak hairanlah, mengapa parti pemerintah sekarang semakin tidak mendapat sokongan rakyat.



Wednesday, February 25, 2009

Proses Penuaan

Terima kasih kerana sudi singgah di blog saya. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di blog ini.

Apa Itu Penuaan

Manusia dalam hidupnya akan melalui empat tempoh masa iaitu masa kecil atau kanak-kanak, masa remaja, masa dewasa, dan yang terakhir masa tua. Setiap makhluk Allah akan melewati empat tempoh masa ini.

Pada masa kanak-kanak dan remaja, hidup manusia rata-rata mengalami kesihatan yang sempurna. Kalau ada pun mereka sakit, proses penyembuhan mereka secara relatif sangat cepat.

Bagaimanapun, ketika mulai menginjak ke alam dewasa dan masa tua, hidup manusia akan mengalami masalah-masalah pada kesihatan tubuh badannya seperti misalnya kencing manis, darah tinggi, lemah jantung, dan pelbagai lagi penyakit yang biasanya disebut penyakit tua.

Sudah nyatalah ketika seseorang menginjak masa dewasa, mereka mengalami proses yang dikenal dengan proses penuaan. Jadi proses penuaan ini adalah proses menurunnya kualiti organ yang ada di dalam tubuh manusia.

Menurut hasil penelitian Dr. Daniel Rudman yang diterbitkan di New England Journal of Medicine, merumuskan penuaan dikategorikan sebagai suatu penyakit, dan penyakit penuaan disebabkan kerana kekurangan salah satu hormon. Hormon tersebut adalah hormon pertumbuhan manusia.


Gambar 1 Dr Daniel Rudman


Kesan kekurangan hormon pertumbuhan manusia ini ternyata mempengaruhi ukuran dan fungsi dari organ-organ yang terdapat di dalam tubuh. Sebagai contoh adalah pada otak dan ginjal.


Gambar 2 Otak Mengecil

Pada gambar 2 terlihat terjadi pengecutan otak sebanyak 30% pada otak seseorang yang berumur 70 tahun. Tidak hairanlah jika manusia pada umur 70 akan mengalami simptom-simptom dan penyakit-penyakit yang berhubungan dengan otak seperti Parkinson.


Gambar 3 Ginjal Mengecil

Pada gambar 3, gambar organ ginjal pada manusia berumur 70 tahun yang mengalami pengecutan dan warnanya yang kehitam-hitaman.

Akibat pengecutan menyebabkan menurunnya fungsi ginjal dan pada tingkat terendah, seseorang akan kehilangan fungsi ginjalnya yang biasa dikenal dengan nama kegagalan ginjal.

Selain otak dan ginjal, hakikatnya seluruh organ yang ada di tubuh manusia seperti kulit, jantung, paru-paru, dan organ yang lain juga turut sama menurun fungsinya.

Bukanlah sesuatu yang menghairankan pada seseorang yang berumur 70 tahun, mereka akan mengalami komplikasi berkaitan kesihatan mereka.


Persoalannya, mengapa seseorang mengalami penuaan? Ada tiga faktor yang sangat mempengaruhi penuaan tersebut. Mengikut jurnal perubatan, tiga sebab utama penyebab proses penuaan ialah:

  1. Cara hidup
  2. kekurangan hormon
  3. Persekitaran

Dua faktor penyebab penuaan datangnya dari luar diri manusia yaitu cara hidup dan persekitaran. Cara hidup yang tidak sihat seperti jarang atau tidak pernah bersukan, makan makanan yang berlemak, kurang makan serat, kurang istirahat, Stress yang tinggi, dan merokok yang diamalkan oleh masyarakat moden hari ini.

Persekitaran yang negatif seperti asap rokok, asap kenderaan bermotor, zat-zat pengawet, dan bahan-bahan kimia yang ada di sekeliling kita. Kedua-dua penyebab inilah yang datang dari luar tubuh manusia.

Penyebab kedua yang tidak kita sedari iaitu kekurangan hormon.


Gambar 5 8 Hormon Utama Manusia

Pada gambar 5 ada lapan hormon utama pada manusia. Testosteron, progesteron, dan estrogen adalah hormon yang bertanggung jawab atas reproduksi manusia.

Kekurangan hormon ini akan mengakibatkan menopause pada wanita dan andropause pada lelaki. Hormon DHEA adalah hormon yang bertanggungjawab menurunkan risiko seseorang menghidap kanser. Seseorang yang kekurangan hormon ini, amat berisiko menghidap kanser berbanding mereka yang kadar hormon DHEA-nya normal. Hormon insulin adalah hormon yang bertanggung jawab dalam metabolisme glukosa (gula) di dalam darah. Kekurangan hormon ini akan menyebabkan seseorang berisiko menderita penyakit diabetes mellitus (kencing Manis).

(disesuaikan daripada jurnal perubatan Jakarta)

Ironinya, kita selalu minta berdoa agar panjang umur, tetapi 'takut' melalui proses penuaan. Tidakkah kalau panjang umur menjadikan kita semakin tua?



Tuesday, February 24, 2009

Dialek Perak (siri 1)

Terima kasih kerana sudi singgah di blog saya. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di blog ini.

Sebagai sebuah negeri yang bersempadan dengan negeri lain, Perak juga tidak 'lari' daripada menerima pengaruh dialek lain. Misalnya, penduduk Perak di bahagian Utara, seperti Bagan Serai, Taiping dan Parit Buntar, lebih terpengaruh dengan dialek Kedah.

Di bahagian Perak Tengah seperti di Bota, dialeknya agak berbeza, dengan hujung perkataan diubah kepada bunyi 'e pepet'; contohnya perkataan "tiga" disebut "tige".

Dialek Perak yang dikatakan asli ialah dialek Kuala Kangsar dan Sayong hingga ke kawasan sekitarnya. Bagaimanapun, dialek lain juga masih digunakan.

Perak sahaja yang sinonim dengan ayat prosa lama, iaitu "ate" (hatta);

Contoh ayat: Ate, ngape kamu idak ke sane? (Hatta, mengapa kamu tidak ke sana?)

Kata ganti nama pertama adalah seperti berikut:

Saya/Aku disebut teman/keme

Awak/Kamu disebut mike/ kome

Contoh ayat:

1. Teman maghah beno dengan mike ni! (Saya marah sangat terhadap awak ini!)

2. Kome udah makan? (Awak/ Kamu sudah makan?)

Ada beberapa frasa yang kerap digunakan dalam dialek Perak (yang saya tahu). Antaranya:

a. Apa dihajapnya
Maksud: Apa dibuatnya (frasa sinonim-buat peghojang ape)
Contoh ayat: Apa dihajapnya MB Peghak pegi ke London tu?
(Apa dibuatnya MB Perak ke London itu?)

b. Tengin bebeno
Maksud: terlalu bodoh
Contoh ayat: Tengin bebeno deme yang nak meraghampeh kuase di Somalia tu.
(Terlalu bodoh mereka yang cuba merampas kuasa di Somalia itu)

c. Joghennye
Maksud: gedik/ miang (perangai gatal)
Contoh ayat: Bebudak pompuan la ni, nampak beno joghennye.
(Remaja perempuan hari ini, ramai yang berperangai gatal)

d. Bior dilantaknye
Maksud: biarkan apa yang berlaku
Contoh ayat: Bior dilantaknye budak tu, degey bebeno.
(Biarkan apa yang berlaku terhadap budak itu, dia degil sangat)

Tulisan ini bukanlah dikupas secara ilmiah, sebaliknya ia merupakan pengalaman saya sebagai anak Perak yang ingin berkongsi dengan rakan lain. Mungkin Bro Jinggo, Kak Tirana, Shifu67, atau Miss Jaz, dan blogger anak Perak lain, boleh menambah perkataan dan frasa lain yang terlepas pandang daripada apa yang dinyatakan ini.





Saturday, February 21, 2009

Kenangan Lucu Bersama Arwah Mak..

Terima kasih kerana sudi singgah di blog saya. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di blog ini.

Senario 1 (Satu hari dalam tahun 80-an)

Trettttt..tet..tet....... Bunyi motor ayah memecah suasana petang itu. Mak yang tunggang Honda lampu bulat keluaran 1977 itu. Mak baru belajar sebenarnya. Sebelum itu, ke mana-mana pun mak hanya berbasikal. Ke kelas mengaji, ke kedai, hanya basikallah kenderaan yang mak guna.

Tapi dua tiga hari sebelum ini, mak tercabar apabila jiran-jirannya sudah pandai bermotor. Mak pun belajar tunggang motor. Itupun jika ayah tak gunakan. Sebenarnya, hanya itulah kenderaan keluargaku pada waktu itu.

Ketika itu, Oun, adik lelakiku berada di laman rumah sambil membersih laman. Mak sempat melambai tangannya ke arah Oun, dan berlalu. Oun terus menyambung kerjanya membersih laman rumah.

Dalam tempoh sedetik, bunyi motor tidak lagi kedengaran. Oun mendongak lalu memerhati sekeliling.

"Oh, mak dah pusing seluruh kampung nampaknya," getus hatinya.

Tidak lama kemudian, Oun terdengar bunyi merintih memanggil-manggil namanya.

"Oun...... Oun..." suara mak kedengaran sayup dan lemah.

Oun bingkas cepat-cepat ke arah suara itu. Dia pasti suara mak memanggilnya.

Rupanya, mak 'ter'pulas trotel minyak Honda sehingga motor tersebut mencanak masuk ke belukar lalang di tepi jalan. Mak dan Honda lampu bulat terus terbabas masuk ke hutan lalang yang setinggi pinggang orang dewasa.

Yang kelakarnya, mak bimbang kalau-kalau ada jiran yang nampak dia terbabas masuk ke hutan lalang.

Dalam keadaan kami risaukan kecederaan yang mungkin dialaminya, mak bertanya dengan suara perlahan, " Ada orang nampak mak terbabas ke?" tanyanya sambil tersenyum sumbing.

Syukur, mak tak apa-apa.

Senario 2 (Tahun 90-an)

Ketika belajar di Serdang, Selangor pada tahun 90-an, aku sering menghubungi mak dan ayah dengan surat dan telefon awam. Zaman itu, mana ada telefon bimbit. Kalau ada pun, hanya mampu digunakan oleh orang kaya.

Memang aku ada sedikit kelebihan mengajuk suara lelaki India.

Satu hari, aku telefon mak, seperti biasa untuk bertanya khabar. Entah mengapa, tiba-tiba, rasa nak 'menyakat' mak, lalu aku ajuk suara seperti India mabuk todi.

Aku : Incik Ali (ayahku) ada ka?
Mak : Sapa ni?
Aku : Saya mau kasi tau, itu Incik Ali ada hutang sama saya. (nada marah)
Mak : Hutang? Iya..iya ke? (nada suara mak ketakutan). Tak tau... Tak tau. PAP!!

Mak letak telefon, tanpa sempat aku menjelaskan keadaan sebenar.

Aku telefon semula mak, dengan rasa bersalah. Aku harap mak akan sambut panggilan itu. Mak sambut sambil menangis, memberitahu aku yang ayah ada berhutang dengan seorang lelaki India. Mak bimbang ayah akan 'diapa-apakan'.

Aku rasa bersalah sangat, kerana 'berlakon' dengan niat menyakat mak. Aku jelaskan keadaan sebenar dan memohon maaf daripada mak. Hakikatnya, ayah bukan seperti itu. Kami ketawa sama-sama selepas semuanya jelas. Apabila hal itu diceritakan kepada adik beradik lain, ia menjadi modal untuk kami gelak sampai tak kering gusi.

Sebenarnya, aku rindu pada mak. Biarpun mak dah tiada di dunia ini, aku masih rindukan senyuman mak, masakan mak (aku rasa, masakan mak paling sedap di dunia) dan kenangan bersama mak tetap kekal dalam hati. Tiada ganti untuk mak.

Moga mak dan ayah ditempatkan dalam kumpulan orang beriman. Al-Fatihah...


Friday, February 20, 2009

M. Nasir- Seniman Prolifik

Terima kasih kerana sudi singgah di blog saya. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di blog ini.

Ini sebahagian daripada penghargaan kepada Mohd Nasir bin Mohamed, atau lebih dikenali sebagai M. Nasir, seorang artis-komposer, penyanyi, penerbit, pelakon yang seusia dengan kemerdekaan negara. (sumbangan Luncai Emas)

Image

MOHD NASIR BIN MOHAMED (M.NASIR) AMN, AMP

Beliau merupakan penyanyi, penerbit muzik, pencipta lagu & lirik, pelakon, pengarah filem, penulis skrip & lakonlayar dan pelukis. Dilahirkan pada 4 Julai 1957, beliau diakui sebagai salah seorang seniman berbakat besar di negara ini.

Merupakan pengasas, pemilik dan salah seorang ahli lembaga pengarah Luncai Emas Sdn Bhd dan bertindak sebagai Pengarah Urusan. Dikenali sebagai seniman serba boleh, lulusan Diploma Seni Halus dari Nanyang Academy of Fine Arts, S’pura ini seakan berjaya menyatukan elemen seni halus dalam setiap karya beliau.

ImageKegiatan seni beliau mendapat pengiktirafan tertinggi kerajaan apabila dianugerahkan Ahli Mangku Negara, A.M.N pada 1995 oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agung dan pada tahun 2000 dianugerahkan Ahli Mahkota Pahang, A.M.P oleh DYMM Sultan Pahang.

Sebagai penyanyi, beliau telah melahirkan 12 album termasuk album solo dan berkumpulan. Kumpulan beliau iaitu ‘KEMBARA’ yang aktif pada era 80an telah banyak membawa perubahan dalam arus muzik Melayu. M.Nasir telah berjaya menaikkan nama ramai penyanyi sejak era 80an hingga kini.

Kemuncak pengiktirafan M.Nasir sebagai pencipta lagu ialah apabila menjadi juara tiga kali di Juara Lagu TV3, iaitu pada tahun 1994 untuk ‘Tanya Sama Itu Hud Hud’, 1997 untuk ‘Ghazal Untuk Rabiah’ dan 1999 untuk ‘Andalusia’. Selain itu, beliau juga pernah merangkul juara kategori ‘Etnik keatif’ bagi 'Aduh Saliha/Mawi pada Juara Lagu 2005 dan terbaru juara kategori Pop Rock untuk lagu Juwita Citra Terindah/M.Nasir tahun 2007 ini.

M.Nasir pernah mengadakan lebih 10 buah konsert solo terbesar di Malaysia, Singapura dan Manchester, United Kingdom. Menyertai Perhimpunan Pencipta Lagu Asia di Bali pada tahun 1995 dan Perhimpunan Pencipta Lagu Sedunia di Goslar, Jerman pada tahun 2000. Album solo beliau berjudul ‘Phoenix Bangkit’ telah dianugerahkan sebagai Album Terbaik AIM 2002. Beliau sendiri telah menerima Anugerah ‘Wirama’ dalam AIM 2002 tersebut sebagai mengenang jasanya dalam industri muzik tanahair.

Selain itu, beliau terlibat dalam penerbitan lagu & muzik, lakon layar dan turut berlakon dalam filem ‘Kembara Seniman Jalanan’ arahan Nasir Jani pada tahun 1985. Pada tahun 1996 pula beliau mengarahkan filem pertamanya iaitu ‘Merah’ selain turut berlakon dan menerbitkan lagu & muzik. Beliau ada juga mengarah tiga buah klip video iaitu ‘Mentera Semerah Padi’, ‘Beradu Suratan’ dan ‘Kias Fansuri’. Dan beliau juga pernah mengikuti penggambaran filem ‘Puteri Gunung Ledang’ di mana beliau memegang watak utama sebagai Hang Tuah, yang telah ditayangkan pada tahun 2004.

Album ‘Sang Pencinta’ telah dilancarkan pada bulan Mei 2006 dan album ini dinobatkan Album Pop Rock Terbaik AIM 2007. Lagu Hitsnya Juwita Citra Terindah pula dinobatkan Lagu Terbaik dalam anugerah yang sama.

M. Nasir akan mengadakan konsert beliau 1 Mac nanti, di Istana Budaya selama tiga malam berturut-turut. Cuma aku tertanya-tanya, bilakah agaknya pembikinan filem arahan keduanya - Aduh Saliha - nak selesai?


Tuesday, February 17, 2009

Perubahan Iklim Semakin Menakutkan

Terima kasih kerana sudi singgah di blog saya. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di blog ini.

Petang tadi di radio SINARFM, berita yang dimaklumkan adalah banjir kilat di beberapa tempat di Kuala Lumpur akibat hujan lebat di bandar raya itu. Memang keadaan begini agak luar biasa, apatah lagi dalam seminggu dua ini, kepanasan cuaca agak melampau bagaikan mampu menggigit kulit.

Minggu ini juga, di Australia, kebakaran besar telah mengorbankan hampir 200 nyawa, dan ia juga berpunca daripada kecuaian manusia dan kepanasan melampau.

Sama ada kita sedar atau tidak, kepanasan melampau akhir-akhir ini (sebenarnya telah bermula sejak Revolusi Perindustrian di Eropah) telah menyebabkan ais di kutub Utara dan Selatan, mencair dengan cepat! Iklim yang berubah pula, terlalu mendadak dan kesannya tentulah kepada makhluk yang melata di muka bumi Allah.

Apakah kepentingan ais di kedua-dua kutub ini? Sebenarnya, Allah menjadikan ais di Antartika dan Artik demi memastikan kelangsungan hidup manusia, haiwan dan tumbuhan. Ais laut Artik dan Antartika memantulkan 80% haba matahari, sekaligus menstabilkan suhu sejuk lautan. Jika semua ais di kutub ini mencair, air laut akan bertambah panas, dan gas-gas yang terhasil akibat tindak balas kimia, memungkinkan ia beracun. Racun tersebut boleh memberi kesan langsung kepada hidupan akuatik yang menjadi sumber makanan utama manusia.

Mengikut Dr Gerald Dickens, dari Universiti Rice AS, "..kira-kira 90% gas karbon berada dalam lautan, bukan di pokok atau atmosfera. Apa yang berlaku kini (pencairan ais di lautan) adalah kita sedang menambahkan kandungan karbon di atmosfera. Jumlah CO2 meningkat dengan begitu cepat.."

Menurut laporan Institut Biologi Artik di Universiti Alaska Fairbanks, Metana iaitu sejenis gas daripada kesan rumah hijau kini dibebaskan melalui tasik dan telah mempercepatkan pemanasan global melalui cara yang belum dapat dipastikan.

Menurut laporan PBB dalam satu persidangan FAO di Rom, 2006 menyatakan punca kejadian malang ini:
1. Pemakanan daging adalah penyebab utama pemanasan global.
2. Penyahhutanan iaitu hutan ditukar kepada padang ragut untuk pengeluaran daging komersil.
3. Pembebasan karbon monoksida daripada enjin kenderaan bermotor

TINDAKAN KITA

Jika kita bertindak secara kolektif, dengan kerjasama seluruh masyarakat sedunia, kita mampu memanjangkan hayat bumi.

1. Kurangkan makan daging, sebaliknya sumber protin boleh diganti dengan kacang soya termasuk tauhu dan tempe.
2. Gunakan kenderaan mesra alam seperti kereta hibrid, kenderaan biofuel atau basikal.
3. Tanam pokok di keliling kawasan kejiranan. Lebih banyak pokok, lebih baik.
4. Berjimat cermat terutama dalam diet harian.

KESIMPULAN

Setiap yang bermula pasti akan berakhir. Dalam peristiwa Isra' Mikraj Rasulullah, baginda ditemukan dengan seorang tua, lalu dinyatakan oleh Jibrail, bahawa itulah perumpamaan usia bumi.

Maknanya, bumi kita ini semakin uzur, dan menanti masa untuk di'tamat'kan riwayatnya. Ketika itu, istilah yang tepat untuk kematian bumi ialah kiamat, iaitu satu daripada Rukun Iman yang wajib dipercayai setiap muslim. Moga Allah memberikan rahmat-Nya untuk kita hidup.

Saturday, February 14, 2009

Kita Takut Mencegah Kemungkaran?

Terima kasih kerana sudi singgah di blog saya. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di blog ini.

Aku Malu Untuk Menegur Perkara Mungkar



Ramai orang mengatakan belum cukup ilmu apabila ditanyakan mengapa tidak menegur orang yang berbuat salah. Tidak kurang juga yang mengatakan diri sendiri belum baik, mengapa perlu menegur orang lain. Bahkan ada juga yang mengatakan perlu apa menjaga tepi kain orang, tak perlu jadi 'busy body'. Adakah kita semakin menjadi manusia yang individualistik? Amat mementingkan diri sendiri? Dan banyak lagi alasan lain untuk tidak menegur.Barangkali sifat merendah diri atau memikirkan kelemahan dan kekurangan diri menjadikan kita tidak yakin dan akhirnya meninggalkan usaha mengajak kebaikan.

Persepsi Diri Yang Salah

Ada di antara kita yang memandang zaman ini menegur orang biarlah kepada mereka yang ber'authoriti'. Serahkan sahaja pada pak imam, ustaz atau ustazah. Ada yang berpendapat untuk menegur orang lain diri perlu menjadi maksum seperti nabi Muhammad s.a.w. Malu dengan latar belakang keluarga yang tidak sempurna didikan agama.



Kewajipan Nasihat Menasihati Bukanlah Untuk Orang Tertentu

Sudilah memberi teguran yang baik dan berhikmah, kerana tanpanya manusia akan selalu terbabas. Fitrah manusia yang selalu lupa dan terburu-buru, seringkali diruntun oleh gelodak nafsu. Berbanggalah diri sebagai seorang Islam, menjadikan kita ini sebahagian dari masyarakat yang membentuk manusia dari dalam dan luaran. Jika berdiam sahaja melihat buasnya dunia meladeni manusia, alamat kita sedang menuju kehancuran. Bukan sahaja melibatkan perhubungan sesama manusia, bahkan menyebarkan barah kepada bidang ekonomi, politik, pendidikan dan akhirnya diri sendiri. Terlalu mengharapkan orang lain kadangkala hanya meninggalkan harapan sahaja. Allah memberitahu di dalam al Quran yang bererti, hendaklah ada sebahagian dari golongan yang menyeru kepada kebaikan dan melarang kepada kemungkaran. Mereka itulah orang yang berjaya. (Surah Ali Imran : 104)

Golongan yang disebutkan menurut Dr Abdul Karim Zaidan di dalam bukunya Usul Ad-Dakwah; adalah orang Islam itu sendiri. Kita adalah umat yang terbaik yang lahir dari kelompok manusia wajib untuk mengajak kepada kebajikan dan mencegah kemungkaran. Hukumnya sudah menjadi wajib pada masa kini kerana golongan yang menegur itu semakin mengecil jumlahnya. Menasihati bukan satu cara sahaja. Mereka yang rugi antaranya adalah yang tidak mahu berpesan-pesan kepada perkara kesabaran dan kebenaran. Tidak perlu dengan mengeluarkan hadith atau ayat al Quran yang kadangkala mad's(orang yang ditegur/didakwah) pun tidak tercapai akalnya hendak menerima kerana mereka sendiri jahil mengenainya.

Seorang muslim yang hebat mempunyai daya pemikiran yang kretif dan mempunyai semangat yang tidak putus-putus untuk mengajak manusia kepada kebaikan. Ada daya dengan tangan, maka penyampaian nasihat melalui tulisan atau lukisan. Menyentuh hati kadangkala lebih berjaya dengan diri kita yang menunjukkan kebaikan. Sentiasa bermanis muka, tersenyum, tidak mudah marah, suka menolong dan tidak celupar ketika menutur kata.

Allah melihat usaha kita

Pastinya, Allah tidak melihat kepada natijah kepada usaha kita. Maka, marilah nasihat-menasihati sesama kita kerana tiada kerugian dalam melaksanakan amar ma'ruf dan nahi munkar.

diemelkan oleh Wan Murzulaikha, adikku di UHTM, Batu Pahat, Johor

Tuesday, February 10, 2009

Biawak

Terima kasih kerana sudi singgah di blog saya. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di blog ini.

Dalam masyarakat Melayu, binatang dan tumbuhan sering dijadikan perumpamaan dan teladan. Misalnya, pokok enau (kabung) hidup menyendiri, tegak tanpa mendapat sokongan pokok lain, menerbitkan perumpamaan, "bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing" yang membawa maksud orang yang pentingkan diri sendiri, tidak menghiraukan keadaan sekelilingnya.


Biawak juga sinonim dengan kehidupan masyarakat Melayu, mungkin disebabkan ia sebahagian daripada haiwan reptilia liar yang sering ditemui di Malaysia.

Mengikut web wikipedia, biawak air atau nama saintifiknya, Varanus salvator adalah spesis biawak yang besar dan boleh mencapai ukuran lebih 3 meter;

Water Monitor is a large species of monitor lizard capable of growing over 3 meters (9.8 ft) in length, with the average size of most adults at 2.5 meters (8.2 ft) long. Maximum weight of Varanus salvator can be over 75 kg, but most are half that size. Their body is muscular with a long powerful laterally compressed tail. Water monitors are one of the most common monitor lizards found throughout Asia, and range from Sri Lanka, India, Indochina, the Malay Peninsula and various islands of Indonesia, living in areas close to water.
(dipetik daripada Wikipedia)

Dalam masyarakat Melayu,
dua peribahasa melibatkan haiwan ini selalu digunakan:

1. Bagai mendukung biawak hidup; maksudnya membela atau menjaga orang yang tidak tahu mengenang budi. Sesuai dengan perilaku biawak, ia tidak akan diam, sebaliknya orang yang mendukungnya akan dicakar atau dicederakan. Ini menjelaskan bahawa tiada gunanya melakukan kerja untuk orang yang tidak tahu membalas kebaikan orang.

2. Lidah biawak; maksudnya percakapan atau janji yang dikhianati. Kadang kala ia juga disebut lidah bercabang, dan memanglah biawak merupakan reptilia yang mempunyai cabang di hujung lidahnya. Dalam masyarakat Melayu, sesuatu janji atau ikrar yang dikhianati merupakan tindakan yang tidak beradab, melanggar tatasusila masyarakat dan tidak wajar diteladani.

Kesimpulannya, biawak adalah lambang perilaku buruk dan tidak elok. Tidak pernah kita menerima perspektif positif tentang biawak. Bagaimanapun, seperti makhluk Allah yang lain, biawak tetap memainkan peranan penting dalam kitaran ekosistem semulajadi. Dalam rantaian makanan, biawak memakan bangkai serta rodensia kecil seperti tupai dan tikus, ikan, ular dan burung. Apa yang tidak elok ialah sikap yang digambarkan dalam peribahasa di atas, seharusnya tidak menjadi sebahagian daripada nilai dalam diri kita.


Saturday, February 7, 2009

Cerita Di Sebalik Serangan Israel Di Gaza

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.

Biarpun secara lahiriah, kelihatan seolah-olah tentera Israel 'menang' pertempuran di Gaza, mereka sebenarnya tidak dapat mencapai matlamat serangan tersebut. Kematian ribuan orang yang dicatatkan hanyalah mengorbankan wanita, kanak-kanak dan orang tua, berbanding pejuang-pejuang Hamas.

Malah, Israel mendabik dada menyatakan kononnya berjaya memusnahkan terowong, sebaliknya hanya memusnahkan bangunan-bangunan awam seperti pejabat kerajaan, sekolah, balai polis dan prasarana awam yang tidak sepatutnya menjadi sasaran mereka. Kalau ada terowong yang rosak, ia kemudiannya diperbaiki penduduk Palestin dan boleh digunakan semula dalam tempoh 24 jam selepas itu.

Dalam satu temuramah dengan media, seorang wanita Palestin menyatakan, tentera Israel hanya melalui kawasan mereka selepas menghantar robot pemusnah bom dan pesawat peninjau tanpa pemandu. Begitulah ketakutan tentera Israel terhadap pejuang Hamas sebenarnya.

Aku ingin berkongsi 20 petunjuk kepada kegagalan tentera Israel dalam memerangi Gazza selama 22 hari:

Pertama: Pejuang2 Palestin konsisten melancarkan roket kearah Negara Israel., sehingga hari yang terakhir. Pada hari yang terakhir (ke-22) briged Qassam telah membunuh 9 tentera, mencederakan 18 yang lain, melancarkan 18 roket, 24 missil hown.

Kedua: Pejuang telah meluaskan kawasan sasaran bagi roket sehingga sampai lebih 50 km(ini adalah kali pertama) dan mengenai kawasan Askar Israel yang berhampiran Tel Aviv.

Ketiga: Dof Vesglas Penasihat bekas Perdana Menteri Israel Arial Sharon (yang khabarnya masih koma) mengakui bahawa tentera Israel tidak mampu untuk menghentikan penguasaan Hamas di Gazza.

Keempat: Akhbar Haaretz berbahasa Ibrani dari Israel telah menyatakan bahawa tentera Israel telah tersalah strategi yang besar dalam perancangan.

Kelima: Akhbar Lonofel Oserfatour (Perancis) berkata Israel mengulangi kesilapan yang sama dalam perancangan ketenteraan.

Keenam: “New York Times” menyatakan Israel bukan sahaja bermatlamatkan untuk melemahkan Hamas bahkan untuk menguatkan gerakan sekular di Palestin. Dengan andaian, rakyat Palestin akan menyokong Fatah, namun semakin Gaza dibom, Hamas semakin bertambah disukai oleh rakyat Palestin, dan Presiden Mahmood Abbas dianggap tali barut barat.

Ketujuh: Penulis Jad’un livy menulis di Yediot Ahronot (akhbar Israel bahasa Ibrani) berkata “Tujuan utama bagi Israel memerangi Gaza adalah menggugurkan dan menjauhkan Hamas dari kerajaan. Tetapi perkara ini tidak boleh dicapai dengan operasi ketenteraan. Operasi ini dihentikan kerana ia gagal."

Kelapan: Prof Richard Folk pelapor khas PBB bagi hak-hak kemanusiaan di Palestin berkata “Israel telah kalah dalam peperangan untuk mendapat kerajaan yang diiktiraf oleh seluruh dunia.”

Kesembilan: Jackson Dell penolong editor di Washington Post telah menulis di bawah tajuk “Pelajaran yang keras kepada Israel”, dia telah menyatakan: “ Operasi ketenteraan Israel di Gaza telah gagal, tetapi mungkin di sana ada jalan keluar.”

Kesepuluh: Dalam akhbar yang sama, Tom Sgive menulis di bawah tajuk “Peperangan orang-orang bodoh Israel”. Dia menyatakan kebanyakan orang Israel percaya bahawa operasi ketenteraan adalah untuk waktu yang singkat dan keputusan pemutus. Namun apa yang terjadi adalah sebaliknya. Edward Copper telah menulis artikel yang bertajuk “Menghapuskan Hamas dengan kekuatan tentera adalah suatu cubaan yang kegagalan”

Kesebelas: Penulis Yahudi Doron Rewzinelm di dalam akhbar Haaretz (bahasa Ibrani) menuduh Presiden rejim Zionis telah menyebabkan Isreal membayar harga yang mahal dalam peperangan tersebut. Peperangan ini perlu dibayar dengan harga yang sangat mahal dan mengakibat kemudaratan yang tidak mampu untuk dipulihkan.

Keduabelas: Barisan tentera simpanan Israel diselubungi dengan ketakutan setelah menteri pertahanan Yahudi Ehud Barak mengarahkan supaya memindahkan ribuan tentera. Tentera ini mendapat latihan keras di utara Palestin di bawah seliaan Ehud Barak sendiri. Ini disiarkan di tv 2 Israel.

Ketiga belas: 200 orang Israel yang enggan kepada khidmat ketenteraan telah melakukan tunjuk perasaan di hadapan bangunan kementerian pertahanan di Tel Aviv sebagai tanda simpati terhadap rakan mereka yang dihukum kerana tidak berperang di Gaza.

Keempat belas: Akhbar Yediot Ahronot berbahasa ibrani menyatakan bahawa serangan Israel ke atas Gazza membawa kepada protes masyarakat dunia yang memusuhi syarikat serta premis berkaitan Israel di sarwajagat termasuk di Eropah, dan Asia.

Kelima belas: Menteri luar Israel Tzipi livni menyatakan bahawa dia menerima tanggapan baru dari media barat terhadap rejim Yahudi ketika sidang akbar di pusat akhbar Washington Amerika Syarikat pada petang Jumaat 16/1. Salah seorang wartawan telah memanggilnya sebagai pengganas.

Keenam belas: Laman web Israel ynetnews.com telah melaporkan kata-kata pegawai tentera Israel Kolonel Yigal Slovik “Saya menyarankan apa yang berlaku sekarang, kita tidak patut menyingkirkan Hamas, kerana Hamas akan mengambil pengajaran daripada konflik yang telah berlaku dan tampil lebih kuat untuk permusuhan seterusnya.” Kata2 kolonel ini menjadi tajuk utama “Hamas will grow stronger'

Ketujuh belas: Dalam laman web alzoa.com menukilkan dari akbar Tisyrin Siasah (Damascus) menyatakan bahawa dua akhbar Perancis menyebut bahawa Hamas adalah satu-satunya pihak yang mendapat keuntungan daripada peperangan 22 hari itu.

Kelapan belas: Laporan ekonomi Israel menyatakan bahawa roket pejuang Hamas menyebabkan kepada kerugian jutaan dolar yang ditanggung oleh kilang-kilang di selatan Israel.

Kesembilan belas: Laporan ekonomi Israel menyebutkan perbelanjaan untuk 50,000 tentera simpanan Israel sahaja telah mencapai 225 juta shekel.

Kedua puluh: Laporan ini juga menunjukkan perbelanjaan perang gazza sehari mencapai 130 juta shekel.

Akhirnya, ketika di sidang forum ekonomi dunia di Davos, Switzerland, baru-baru ini, Perdana Menteri Israel ditempelak dan menerima aib di hadapan khalayak forum oleh seorang pemimpin dunia iaitu PM Turki, dan jelas dia tidak dihormati kerana dosanya di Gaza.

Hakikatnya, Israel mengumumkan genjatan senjata kerana tidak mahu menyebabkan kerugian dan kekalahan yang lebih besar lagi.

Firman Allah taala:
“Orang-orang musyrikin akan dikalahkan dan akan balik lari dalam kekalahan.” (45-54)
Nabi saw bersabda;

لا تقوم الساعة حتى تقاتلوا اليهود حتى يقول الحجر وراءه اليهودي: يا مسلم يهودي ورائي فاقتله.

Maksudnya: “Tidak berlaku kiamat sehinggalah kamu (orang2 Islam) memerangi yahudi sehingga mana berkata batu yang dibelakangnya yahudi “Hai Muslim yahudi di belakangku bunuhlah dia. (Hr Ahmad dan Baihaqi – Hadis sahih)

Cuba fikirkan; Kalau batu pun membantu untuk membunuh Yahudi pengganas, masih ada manusia yang beragama Islam ingin membantu mengembangkan ekonomi Yahudi dengan membeli dan menjual barangannya.

Ada juga pemimpin dan rakyat yang berkata, “Susahlah, macam ni semua nak boikot” .

Inilah tuhan sebut dalam al-Quran:
“Maka kamu akan melihat orang2 yang hatinya ada penyakit nifaq akan segera menolong musuh-musuh Islam Yahudi dan kristian dengan beralasan “Kami takut akan ditimpa bencana kalau tidak membantu mereka” Maka pasti Allah akan memberi kemenangan kepada ummat Islam atau memusnahkan mereka dgn azab dari Nya sehingga orang2 munafik yang menolong mereka akan menyesal kerana menolong2 musuh2 yahudi dan nasrani.” (52: al-Maidah)

Boikot bukan sekadar strategi tetapi suatu hukum yang diwajibkan oleh ulama haraki seperti Yusuf Qardawi, Mufti kerajaan Dr Ali Jumuah dan ulama Saudi syeikh Abdullah jibrin, ulamah wahabi syeikh albani, ulama ekonomi Islam Dr Husain Shahatah dan juga ulama sedrhana Dr Nasr Farid (Bekas mufti Mesir yang telah mengharamkan rokok).

Rujukan: Buku Al-Muqataah oleh Dr Khalid Said, Tafsir Sobuni, Sofwatul Ahadees oleh Abdul Qadir kattani, laman web 1. alalam.ir 2. ynetnews.com 3. alzoa.com

Friday, February 6, 2009

Krisis Ekonomi Semakin Meruntun..

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.

Tidak ramai yang mahu mengakui kebejatan ekonomi semakin terkesan di Malaysia. Secara luhurnya, ramai lebih berminat membincangkan soal-soal politik yang semacam tiada kesudahannya.

Hakikat yang perlu kita akui ialah keadaan bukan semakin baik. Bermula dengan sektor perkilangan yang mula membuang pekerja, ia melarat ke sektor perbankan yang pasti akan memberi VSS (skim persaraan sukarela) kepada pekerja bagi mengurangkan kos operasi. Keadaan menjadi lebih menyedihkan apabila nasib pekerja yang mengalami pemberhentian kerja kerana kilang tempat mereka mencari nafkah (yang terpaksa ditutup) tidak dibela oleh mana-mana pihak.

Bagaimana pula dengan siswazah yang baru keluar universiti yang semakin sukar untuk mendapat pekerjaan. Kalau dapat kerja pun sekadar cukup sara diri tetapi terpaksa menanggung hutang PTPN.

Kegawatan ekonomi 1997/98 telah menyaksikan kenaikan mendadak kes-kes kebankrapan dan penutupan syarikat yang bukan sedikit jumlahnya. Malah, sehingga kini, sesetengahnya masih belum pulih dan ditambah lagi dengan kegawatan ekonomi yang baru.

Dalam persidangan sehari “Global Financial Crisis –Mapping the Blueprint for Survival” yang dipengerusikan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad di Kuala Lumpur pada 4 Februari lalu, beberapa fakta berikut harus difikirkan:

1. Krisis kali ini lebih buruk dan luas daripada krisis kewangan serantau yang melanda Asia Timur dan Asia Tenggara pada tahun 1997/98;

2. Krisis kali ini berpunca dan bermula di Amerika Syarikat akibat krisis subprima dan merebak dengan pantas ke seluruh dunia, khasnya ke negara-negara maju;

3. Disebabkan Amerika adalah ekonomi terbesar di dunia, kemelesetan ekonominya menjejas ekonomi dunia keseluruhannya;

4. Malaysia bergantung terus kepada Amerika sebagai salah satu destinasi utama eksport dan sumber penting pelaburan asing;

5. Krisis subprima yang menyebabkan banyak institusi kewangan dan peminjam, khasnya pemilik rumah, muflis menjejas kuasa membeli Amerika;

6. Apabila pengguna Amerika dan negara-negara maju yang lain mengurangkan import, eksport kita akan berkurangan;

7. Kilang-kilang yang mengeluarkan barangan untuk pasaran Amerika dan dunia terpaksa mengurangkan pengeluaran atau ditutup terus;

8. Ada anggaran mengatakan seramai 400,000 pekerja sama ada sudah hilang pekerjaan atau tidak lagi mempunyai pekerjaan sepenuh masa atau tetap dan 200,000 lagi dalam ancaman;

9. Pekerja yang hilang pekerjaan atau tidak lagi mendapat gajian penuh akan mencetuskan reaksi berangkai (chain reaction) – tiada pekerjaan tiada pendapatan, tiada pendapatan tiada perbelanjaan, tiada perbelanjaan tiada pengeluaran dan tiada pengeluaran kilang terpaksa ditutup menyebabkan lebih ramai lagi pekerja yang akan menganggur;

10. Anggaran pengangguran yang sangat membimbangkan ini wajib diberi perhatian kerana ia mungkin tepat. Ini kerana bukan semua pekerja berdaftar, bergaji tetap atau mempunyai majikan. Ramai yang bekerja sendiri.

Tidakkah ini semua menjurus kepada 'indicator' yang Malaysia akan semakin dihimpit keadaan tak menentu?

Niat nak tukar kereta pun terpaksa kupendam, kerana bimbang perkara yang mendatang.

Wednesday, February 4, 2009

Banggakah Bila Merogol Demokrasi?

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.

Kasar tajuk entry kali ini, sesuai dengan apa yang berlaku di negeri kesayanganku, Perak Darul Ridzuan. Keadaan politik yang haru biru menampakkan tanda-tanda akan bertambah kusut.

Kerajaan yang dipilih rakyat, melalui amalan demokrasi secara tertibnya dipilih melalui pilihan raya, sama ada pilihan raya kecil ataupun pilihan raya umum. Bagaimanapun, apa yang berlaku dalam seminggu ini sukar kutelan... Mana mungkin politik boleh bertahan melalui lompat parti dan memperjudikan kertas undi para pengundi?

Aku sebak apabila mengetahui kerajaan yang dipilih dalam pilihan raya lalu telah tumbang dek lompatan ADUN yang mengingkari hak kami yang mengundi mereka.

Sekarang, pastilah sudah BN kembali boleh membentuk kerajaan, melalui cara yang tidak demokratik, iaitu merogol dan memperkosa sistem demokrasi yang sepatutnya dipertahankan.

Aku semakin tidak faham, mengapa melompat parti boleh dibenarkan, semata-mata untuk survival politik golongan tertentu.

Jika ahli politik berkenaan sanggup menerima bayaran yang 'lumayan' untuk melompat parti dan mengetepikan kehendak rakyat, kepercayaan rakyat akan hilang.

Dan pada hemat aku, jika begini caranya TPM bertindak, malanglah nasib rakyat Malaysia selepas bulan Mac nanti.

Kata orang, ada duit, semua boleh jadi, cukup untuk menjelaskan maksud aku.

Sehingga berita ini kucatat, keputusan pembubaran DUN Perak masih tergantung kerana YAB MB Perak 'menyerahkan kepada sultan' tentang perkara itu.

Hemat aku yang kurang cerdik ini; Sultan akan menerima pembentukan kerajaan BN di Perak, dan pilihan raya DUN Perak tidak akan diadakan.

Mesyuarat..

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.

Apa yang aku faham tentang mesyuarat, ialah ia merupakan satu proses membincang, merumus dan membuat keputusan dalam sesuatu organisasi.

Kadangkala, mesyuarat boleh menjangkau masa hingga 2 atau 3 jam. Efektifkah mesyuarat, jika ahli mesyuarat keletihan, hilang fokus atau tidak turut serta dalam perbincangan?

Dalam satu mesyuarat, kekadang pengerusi mesyuarat atau Ketua Jabatan hanya bercakap apa yang ingin dikatakan, tanpa mengambil kira kehendak ahli mesyuarat. Akhirnya, masa mesyuarat terbuang begitu sahaja kerana hanya pengerusi yang bercakap dari awal hingga ke penamat mesyuarat.

Asal perkataan mesyuarat ialah musyawarah; iaitu perbincangan. Oleh yag demikian, seharusnya ada rasa tanggungjawab untuk pengerusi memastikan mesyuarat menjadi efektif dan berkualiti. Elakkan membebel, atau menceritakan hal-hal yang tidak perlu.

Sekiranya pengerusi berjaya, mesyuarat yang 30 minit pun mampu menghasilkan keputusan yang hebat.

Monday, February 2, 2009

Pilihan Raya Kecil?

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.

Sumber berita daripada sebuah web, iaitu Teranungkite, akhirnya disahkan oleh TV3, 5 minit kemudian, dalam siaran Buletin Utama malam ini. Berita 'kehilangan dua ADUN' yang juga Exco Pakatan Rakyat telah membawa kepada episod akhir, iaitu perletakan jawatan mereka sebagai ADUN.

Berdasarkan perkembangan semasa, aku anggap semua ini permainan politik, apabila dua ADUN tersebut disabit kesalahan rasuah sebelum ini. Semasa ADUN Bota 'melompat' ke PR, dua ADUN kontroversi ini sudah 'hilang' entah ke mana.

Menurut Mstar, dua ADUN berkenaan menafikan ada menghantar surat meletak jawatan. Aneh, apa yang jadi sebenarnya?

2 ADUN PKR: Kami masih wakil rakyat, mahu cabar Speaker

Menafikan ada hantar surat letak jawatan hari ini

MENTERI Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (tengah) menjawab soalan wartawan selepas mengadakan mesyuarat tergempar dengan Ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat di kediamannya hari ini. - foto The Star oleh ZABIDI TUSIN

[DIKEMAS KINI, 12.30 TENGAH MALAM] PETALING JAYA: Kerajaan negeri Perak pimpinan Pakatan Rakyat, yang berusia 11 bulan, kini menuju ketidaktentuan dengan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), yang diisytihar telah melepaskan kerusi masing-masing semalam, mahu mencabar kesahihan kenyataan Speaker.

Pendirian kedua-dua ADUN Behrang dan Changkat Jering itu, dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), yang menafikan telah menghantar surat letak jawatan, dijangka mengusutkan senario politik Perak.


Apa pun episod selepas ini, kemungkinan pilihan raya kecil bakal diadakan di DUN Changkat Jering dan DUN Behrang. Kedua-duanya di negeri kesayanganku, Perak Darul Ridzuan.

Sunday, February 1, 2009

Burung Wakwak

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.

Waktu zaman kanak-kanak dahulu, selain bermain polisentri, galah panjang dan jengket-jengket, aku juga gemar 'melastik' burung. Suasana di kampung ketika itu memang sinonim dengan aktiviti tersebut. Kayu lastik yang berbentuk 'Y' akan diikat dengan getah dan pelapik kulit. Batu bersaiz sederhana dijadikan peluru. Biasanya kawasan 'perburuan' hanya sekitar 100-200 meter daripada rumah.

Antara burung yang menjadi sasaranku ialah burung wakwak. Rupanya seakan ayam, berdada putih dan berekor pendek. Keseluruhan badannya berwarna hitam, dan saiznya besar sedikit daripada burung puyuh.Burung ini amat pantas menyusup. Cuma, kelemahannya ialah tidak mampu terbang tinggi. Burung wakwak mempunyai mitos yang tersendiri, mengikut fahaman orang tua-tua di kampungku.

Pertama, burung ini dikatakan mempunyai ilmu halimunan (tak boleh dilihat). Mitos ini diperkukuhkan dengan sifatnya yang boleh hilang tanpa dikesan walaupun di semak yang kecil. Kononnya, barang siapa yang menemui sarang burung wakwak, boleh menjadi halimunan jika sarangnya diletakkan di kepala. Sangat mengujakan!

Siapa yang tak mahu jadi halimunan? Banyak 'kelebihan' orang halimunan. Aku pun berusaha mencari sarangnya. Seingat aku, di kawasan belukar dan pokok renek di sebuah hutan (yang kini merupakan kawasan perumahan dekat SM Teknik Seri Manjung), banyak terdapat burung wakwak. Aku akhirnya bertemu sarang burung wakwak, dan kuletakkan sarangnya di kepala untuk menjadikan aku halimunan. Malangnya, 'eksperimen' itu tidak menjadi. Aku tak jadi halimunan walaupun sekejap.

Kedua, mitos orang tua-tua menyatakan burung ini mempunyai 'penunggu'. Maksudnya, burung ini diternak oleh orang bunian. Kalau menangkap burung wakwak, perlu ada sedikit ilmu untuk berinteraksi dengan makhluk bunian. Aku pernah melastik wakwak di remang senja, dan tiba-tiba bulu roma meremang. Akhirnya, aku balik ke rumah tanpa seekor pun wakwak.

Sejauh mana kebenaran mitos kedua ini, tidak dapat aku pastikan. Apa yang jelas, burung ini tidak mempunyai kuasa halimunan seperti yang diwarwarkan semasa aku kecil dahulu.

Apabila mengenangkan zaman dahulu, aku senyum sendirian. Mana mungkin aku mengulangi dan kembali ke zaman kanak-kanak. Tapi ia adalah zaman yang menyeronokkan. Malah, zaman yang membantu aku meneroka banyak perkara.

MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...