Sunday, November 1, 2009

Pentingnya Wasiat Sebelum Mati

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Statistik daripada web Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM)

Wasiat kadang kala dianggap tidak penting dalam kalangan warga Malaysia, khususnya orang Islam. Kematian individu yang mempunyai harta mendatangkan masalah kepada mereka yang hidup, apabila si mati tidak berwasiat tentang hartanya sebelum berhijrah ke alam baqa.

Mungkin ada yang beranggapan berwasiat atau membahagi-bahagikan harta, menunjukkan kecintaan kepada dunia. Tidak kurang juga yang beranggapan, wasiat boleh diselesaikan oleh mereka yang hidup kemudian.

Hakikatnya, wasiat sangat perlu dibuat. Apatah lagi, penyelesaian wasiat selepas kematian amat memeritkan, dan mengambil masa yang lama. Karenah birokrasi menambahkan lagi kekusutan hal ini.

Menurut PPIM, orang Islam kurang menyedari pentingnya wasiat. Ini dibuktikan apabila kurang 300, 000 wasiat dibuat pada tahun 2007.

Penduduk Malaysia pada tahun 2008, dianggarkan 28 juta orang. Daripada jumlah ini, 10 juta orang terdiri daripada orang Islam yang berumur 18 tahun dan ke atas. Ini bermakna, jumlah orang Islam yang menyediakan wasiat sebelum kematian mereka tidak sampai 10%!

Impak daripada ini adalah, ia menyebabkan harta milik orang Islam tidak dapat diselesaikan. Bayangkan, jumlah wang simpanan, rumah, tanah dan seumpamanya menjadi pertikaian ahli keluarga. Bukan setakat itu, ia juga menjadi sebab terputus hubungan adik beradik, saudara mara dan menimbulkan fitnah yang berpanjangan. Malah, ada harta seperti tanah yang tidak diurus dan terbiar selama bertahun-tahun, kerana tiada penyelesaian berkaitan pemilikannya.

Dengan adanya Amanah Raya dan institusi kewangan seperti Bank Islam yang boleh menguruskan perkara ini, sepatutnya kita mengambil peluang untuk membuat wasiat demi kepentingan orang tersayang. Cara ini akan dapat mengurangkan statistik masalah berkaitan harta orang Islam selepas mereka mati.

Jika anda mempunyai harta dan tanah, berwasiatlah untuk kemudahan mereka yang disayangi.

1 comment:

  1. Cikgu dah buat satu wasiat sebenarnya
    iaitu takaful dan cikgu boleh daftar ke majlis amanah raya...untuk urusan wasiat

    ReplyDelete

Jejak yang ditinggalkan