Sunday, November 8, 2009

Sejarah Kaum Muda dan Kaum Tua Berulang

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Saya mulakan rencana kali ini dengan mengajak kita melihat dari sudut sejarah perkembangan gerakan Islam semasa zaman penjajahan.

Dalam Sejarah Malaysia Tingkatan 5, satu tajuk yang sering dibincangkan oleh guru dan pelajar adalah Gerakan Islah. Apabila membincangkan tajuk ini, seorang tokoh yang dikaitkan dengan gerakan ini ialah Syed Sheikh bin Ahmad Al-Hadi (22 November 1867 - 20 Februari 1934) yang merupakan pelopor gerakan Kaum Muda di Malaya ketika itu.



Beliau dilahirkan di Kampung Hulu, Melaka. Ibunya berketurunan Melayu, manakala bapanya, Syed Ahmad ibn Hasan ibn Saqaf al-Hady al-Ba’alawi merupakan peranakan Arab dari Hadrami, Yemen. Ketika beliau kecil, beliau menjadi anak angkat kepada Raja Ali Kelana, Sultan Riau ketika itu dan dibesarkan bersama-sama putera raja di istana. (sumber:wikipedia)

Beliau belajar ilmu teologi dan bahasa Arab di Madrasah Raja Ali Haji. Beliau merupakan salah seorang pengasas Persekutuan Rashidiyyah, sebuah kumpulan pengajian yang aktif di Melaka dan Singapura pada tahun 1890-an. Beliau pernah mengembara di negara-negara Arab dan pelajar di Makkah, Beirut dan Kaherah. Di Universiti Al-Azhar, beliau terpengaruh dengan pemikiran reformis dari Mesir, Muhammad Abduh.

Kembali ke Malaya, beliau terpengaruh dengan Sheikh Muhammad Tahir Jalaluddin al-Azhari yang mendedahkannya dengan pemikiran Muhammad Abduh dan Rashid Rida. Bersama-sama Shaikh Mohamad Tahir, Sheikh Mohamad Salim al-Kalili dan Haji Abbas Mohamad Tahar, mereka memulakan penerbitan Majalah Al-Imam pada 23 Julai 1906 di Singapura.

Pada 4 Februari 1908, beliau membuka Madrasah al-Iqbal al-Islamiyyah di Singapura. Antara tahun 1909 - 1915, beliau menjadi peguam di mahkamah syariah di Johor Bahru. Tetapi pada tahun 1915, beliau mengambil keputusan untuk meninggalkan kerjaya tersebut membolehkan beliau kembali ke Melaka dan membuka madrasah di sana bersama Haji Abu Bakar Ahmad yang kemudian dikenali sebagai Madrasah Al-Hadi. (sumber:wikipedia)

Tetapi masyarakat Melayu di Melaka tidak menyukai cara pengajaran yang disampaikan oleh beliau yang ketika itu disifatkan terlalu radikal dan kontroversi. Dalam kalangan ulama tempatan berpendidikan pondok, mereka mengecamnya kerana beberapa saranannya kepada masyarakat dianggap tidak sesuai. Media kemudiannya membahagikan kelompok ulama aliran pondok yang konservatif ketika itu sebagai Kaum Tua, manakala Syed Sheikh Al-Hadi dan rakan-rakannya yang menerima pengaruh reformasi Timur Tengah sebagai Kaum Muda.

Kaum Muda melihat anak-anak perempuan di Malaya tidak diberi peluang dalam menimba ilmu. Mereka mencadangkan wanita turut diberi peluang pendidikan. Hal ini tidak disenangi Kaum Tua ketika itu, kerana beranggapan setinggi mana pun wanita belajar, akhirnya akan ke dapur menjadi suri rumah sepenuh masa.

Kaum Muda turut memperjuangkan isu ekonomi, misalnya kepentingan menguasai ilmu perniagaan, dan kemahiran berbahasa Inggeris yang sepatutnya dipertingkatkan oleh orang Melayu. Malangnya, Kaum Tua melihat ia seolah-olah membuka ruang kepada gerakan mengkristiankan orang Melayu jika belajar di sekolah aliran Inggeris.

British, ketika itu sudah merasakan bahang reformasi yang dibawa oleh Kaum Muda, lantas bertindak pantas menggunakan saluran Raja-raja Melayu ketika itu untuk menghalang Gerakan Islah. Raja-raja Melayi ditekan agar tidak membenarkan gerakan reformasi berkembang melalui enakmen dan akta yang tertentu. Dengan demikian, pengaruh Gerakan Islah terbatas di Negeri-negeri Selat sahaja iaitu di Melaka, Singapura dan Pulau Pinang.

Pada tahun 1919, Sheid Sheikh Al-Hadi berpindah ke Pulau Pinang dan membuka Madrasah Al-Mashoor, yang salah seorang tenaga pengajar di madrasah itu ialah Sheikh Muhammad Tahir Jalaluddin al-Azhari. Madrasah al-Mashhor juga antara antara madrasah yang terkenal dengan pengaruh gerakan radikal pada zaman penjajah. Madrasah tersebut merupakan sebagai instrumen untuk memberi pendidikan kepada pemikir dan aktivis reformis muda Muslim ketika itu.

Biarpun menerima tekanan daripada kerajaan British yang memerintah Malaya ketika itu, pada tahun 1927, beliau membuka Percetakan Jelutong di Pulai Pinang yang merupakan penerbitan yang bersifat reformasi Islam. Beliau menerbitkan Tafsir Al-Quran oleh Muhammad Abduh dan juga lain-lain penerbitan berkaitan artikel dan buka reformasi. Pada tahun 1926, beliau melancarkan jurnal bulanan, Al-Ikhwan dan pada tahun 1928, beliau menerbitkan akhbar harian, Saudara. Antara penulis untuk akhbar Saudara ialah Abdul Rahim Kajai.(sumber:wikipedia)

Hari ini, kita dapat melihat dengan jelas bahawa apa yang berlaku kepada Dr. Mohd Asri Zainul Abidin (Dr. MAZA) adalah ulangan sejarah masa lampau. Jabatan Agama Islam Selangor atau JAIS bertindak mengikut Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003, Seksyen 119 (1) dengan mendakwa Dr. MAZA tidak diberi tauliah untuk mengajar dan menyampaikan ajaran Islam. Beberapa pihak pula mendakwa Dr. MAZA membawa ajaran Wahabi. Rentetan ini berlaku kerana beberapa pembaharuan yang dibawa oleh Dr. MAZA tidak disenangi oleh segelintir ilmuwan yang masih beretorika bagaikan Kaum Tua dahulu.

Meminjam kata-kata Faisal Tehrani, tindakan JAIS sebenarnya menghina Raja Perlis yang telah menganugerahkan Dr. MAZA Anugerah Maal Hijrah Negeri Perlis 1427 Hijrah.

Hakikatnya, kita sedang melihat ulangan sejarah pertentangan Kaum Muda dan Kaum Tua. 

5 comments:

  1. Sebenarnya orang kita dimomokkan dengan wahabi tanpa mengenal siapa itu wahabi. Apa yang dibawa oleh wahabi. Sebelum menghukum sepatutnya kita dengar dahulu hujah kedua belah pihak. barulah kita nilai siapa yang betul dan siapa yang salah. Sebelah pihak sahaja yang berhujah sedangkan hujah sebelah pihak lagi kita tak mahu dengar.

    Aku dah banyak mendengar hujah daripada pihak salafi atau wahabi rasanya tak de apa yang salah. Semuanya disandarkan pada nas al-quran dan hadis sohih yang jelas dan nyata.
    Umpamanya mengapa berzanji tak dibenarkan, kerana perkataan-perkataan yang ada dalam kitab berzanji memuja manusia.Ini yang tak bolehnya. Kalau nak dihuraikan banyak lagi. Sensitif pulak nanti. cukup la setakat itu

    ReplyDelete
  2. Bila cikgu Izzuddin cerita pasal kaum muda dan kaum tua..kak tirana teringat masa kak tirana baru balik dari Adelaide dulu. arwah ayah mertua kak tirana pun menggelar kak tirana dan suami kaum muda hanya kerena beberapa masalah furu' dalam islam yang contrast dengan yang biasa diamalkan oleh kebanyakan penganut islam Malaysia. Tetapi semua amalan yang dianggap bercanggah itu ada nas dan dalilnya (Quran dan hadith sahih) dan kak tirana dapati apa yang kaum tua amalkan kebanyakan hanya ikut-ikutan dari nenek moyang seperti berzanji,membaca Quran di atas kubur selama 7 hari berturut-turut untuk orang yang baru meninggal dunia dan banyak lagi.Semua itu sebenarnya tak ada nas dan dalil yang sohih dari Quran maupun hadith.


    Samada Wahabi, Dr Asri atau kaum muda ini, mereka sebenarnya terus mengambil nas dan dalil dari Quran dan hadith yang sohih tanpa merujuk kepada amalan nenek moyang turun temurun..Biasanya kita mengikut saja apa yang nenek moyang kita lakukan tanpa mengkaji samada amalan tersebut bersandarkan kepada nas dan dalil yang bersumberkan kepada Quran dan hadith. Dua perkara ini jika kita berpegang kuat kepadanya, insyaAllah kita tidak akan tersesat.

    ReplyDelete
  3. Salam Anjang.

    Dari sudut agama, tak layaklah aku ulas, sebab aku bukan pakar.

    Aku ulas dari sudut sejarah, yakni pertentangan pendapat yang wujud zaman sebelum merdeka dulu.

    Aku suka bahaskan dengan bebudak kelas pandai. Kalau kelas hujung, diorang tak kisah, terima je.

    Aku setuju respons hang tu..

    ReplyDelete
  4. Kak Tirana,

    Biasanya pelajar Malaysia di luar negara memang nampak amalan masyarakat kita berbeza jika nak dibandingkan dengan Islam luar negara.

    Tak hairanlah arwah ayah mertua kak tirana pun menggelar kak tirana dan suami kaum muda hanya kerena beberapa masalah furu' dalam islam yang contrast dengan yang biasa diamalkan oleh kebanyakan penganut islam Malaysia.

    Begitu juga dengan Dr. MAZA, ada nas dan dalilnya (Quran dan hadith sahih) yang diutarakan untuk menjelaskan hujahnya.

    Saya setuju yang kita ni, hanya amalkan tradisi ikut-ikutan dari nenek moyang seperti berzanji,membaca Quran di atas kubur selama 7 hari berturut-turut untuk orang yang baru meninggal dunia, kenduri arwah sekurang-kurangnya 3 malam (menyusahkan keluarga si mati terutama jika miskin) dan seumpamanya.

    Akhirnya, masyarakat akan melihat Islam itu jumud, walhal agama kita ini sesuai untuk sepanjang zaman.

    Tak boleh lebih-lebih kak, saya bukan pakar. Tapi saya senang sekali dengan pandangan kak Tirana.

    Makaseh respons.


    Samada Wahabi, Dr Asri atau kaum muda ini, mereka sebenarnya terus mengambil nas dan dalil dari Quran dan hadith yang sohih tanpa merujuk kepada amalan nenek moyang turun temurun..Biasanya kita mengikut saja apa yang nenek moyang kita lakukan tanpa mengkaji samada amalan tersebut bersandarkan kepada nas dan dalil yang bersumberkan kepada Quran dan hadith. Dua perkara ini jika kita berpegang kuat kepadanya, insyaAllah kita tidak akan tersesat.

    ReplyDelete

Jejak yang ditinggalkan