Thursday, December 10, 2009

"Tersasar Di Jalanmu" Memang Layak Dinobatkan!



Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Saya menonton drama Tersasar Di Jalanmu (TDJ) tiga tahun lalu, melalui cd yang dibekalkan KPM kepada sekolah. Mulanya, saya beranggapan ia drama tidak berkualiti, tetapi gambar promo di cd itu berserta tajuknya sangat mengujakan.

Mengejutkan kerana drama tersebut duarahkan oleh artis yang tidak asing lagi, iaitu Erma Fatima.

Lantas, saya jadikan Alat Bantu Mengajar (ABM) untuk ditonton dan dikupas oleh pelajar, khususnya Menengah Atas. Saya tertarik dengan persoalan dan mesej yang disampaikan oleh Erma melalui drama ini.

TDJ menang kategori utama Drama Terbaik, Pengarah Terbaik Drama, Pelakon Wanita Terbaik Drama (Rosnah Mat Aris) dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama (Norish Ismail) selain Lakon TV Terbaik dan Video Terbaik dalam Anugerah Skrin 2009 baru-baru ini. Ia mengalahkan teledrama yang dibintangi Jalil Hamid, yang saya fikir tidak kurang hebatnya. Saya tak ingat tajuknya, tapi drama tersebut mengisahkan bapa yang mencari rezeki dengan pengayuh beca untuk menyara keluarga.

Sebenarnya, Erma Fatima sendiri berjaya  mengupas isu sosial secara realistik kerana sebagai anak kota, Erma mempunyai hubungan erat dengan golongan masyarakat yang tinggal di Chow Kit, dan Lorong Haji Taib. Mereka sinonim dengan kehidupan songsang, seperti pelacuran dan gejala dadah. Kebanyakan mereka dianggap terpinggir daripada arus kesopanan dan kesusilaan, apatah lagi keagamaan.

Erma tidak mengangkat dan menjulang golongan ini, sebaliknya mengupas isu tersebut dengan harapan agar masyarakat memberi peluang kepada mereka untuk berubah Saya secara peribadi yang sudah menonton drama ini bersama pelajar, dan adegan yang menyentuh perasaan termasuklah ketika anak pelacur makan  nasi bungkus di tepi tangga.

Adegan pelajar perempuan mengalami keciciran sekolah akibat ponteng, dan terjebak dengan 'jantan-jantan sundal' yang memperkosanya memang berlaku dalam masyarakat hari ini. Ia mengajak penonton untuk merenung diri dan menyelami kehidupan manusia yang berada di 'lorong gelap' kerana ada ketikanya  desakan hidup menjadikan mereka mengambil apa juga peluang untuk mencari sesuap nasi.

 Saya tetap beranggapan pelacuran dan dadah tetap menyalahi moral dan agama, tetapi selagi mereka bergelar manusia, golongan seperti ini mempunyai perasaan dan wajar dibantu.

Banyak adegan dalam drama ini dibuat dengan teknik yang menarik. Lampu suram, lorong gelap dan kedai makan tepi jalan menjadi sebahagian latar kehidupan manusia yang dipinggirkan ini.

Erma Fatima berjaya mengetengahkan nilai kemanusiaan antara pelacur dan pondan, kasih sayang adik  dan kakak, persahabatan antara pelacur dengan pemilik gerai makan, di samping  hubungan tidak mesra dalam keluarga, yang menjadikan drama ini sangat sesuai saya jadikan ABM untuk karangan dan pemahaman.

Watak pondan yang bertekad hidup bahagia dengan pasangannya, mengundang rasa lucu pelajar saya.  Apa yang terjadi dengan pondan tersebut, biarlah anda sendiri menontonnya.


Pada hemat saya sebagai guru, drama ini amat sesuai untuk ditonton oleh pelajar terutama awal remaja, supaya menghargai setiap detik kehidupan yang dimiliki. TDJ, yang berkisar mengenai manusia di ‘lorong neraka’ mempunyai nilai pengajaran yang sangat tinggi.

Moga Erma Fatima akan terus menghasilkan drama yang berkualiti dan mempunyai nilai tanggungjawab sosial, kerana itulah sebenarnya yang menjadikan anda lebih dihargai oleh masyarakat.


6 comments:

  1. satu hasil kerja orang yg amat komitmed yop.
    belum dapat tgk..
    sebab biasanya saya di kem pada waktu tanyangan hujung minggu..
    sedang berurusan dengan kawan2 untuk dapatkan......

    ReplyDelete
  2. Salam Bro Jinggo.

    Ahad 20 Disember, jam 3.05 petang, RTM akan siarkan semula drama ini sebagai menghargai Anugerah Skrin yang diterima drama berkenaan.

    Tonton dan nilaikan..

    ReplyDelete
  3. aku tengah tunggu filem estet abang mat khalid,bila le nak keluor ni, 2012 dah tengok ok juga citenya. Cuma jangan percaya udah le.
    Erma fatima dan rashid sibir dua orang pengarah drama yang aku suka

    ReplyDelete
  4. crita kalau erma fatima yg buat memang lengkap isi dan jalan ceritanya

    ReplyDelete
  5. all the best to Puan Erma Fatima :)

    ReplyDelete
  6. Salam sdr. Brahim.

    Saya tidak tengok lagi. Tetapi dari kupasan sdr. pun saya dapat bayangkan ianya satu filem menarik.

    Tahniah untuk Erma.

    ReplyDelete

Jejak yang ditinggalkan

MENJALA TALAPIA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Agak lama juga saya tidak menjala ik...