Wednesday, December 30, 2015

Ceramah Santai Bekas Paderi Pengampun Dosa Di Masjid Rahmaniah Lekir

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Saya mendapat pesanan wassaps Haji Zakaria Sharif, pesara guru yang memaklumkan bahawa satu ceramah agama sempena Maulidulrasul, Selasa 29 hb Disember diadakan di masjid Rahmaniah Lekir. Pada hemat saya, ia satu kesempatan yang tidak patut dilepaskan lalu saya membawa bersama 4 orang anak lelaki selepas solat maghrib. Kami sampai ketika Ustaz Ahmad Junaidi, imam bertugas sedang menyampaikan kata aluan. 

Ceramah santai oleh Ustaz Ayub Abdul Rahman 63, yang dahulunya adalah seorang seorang pendeta atau Paderi Besar Kristian yang lebih dikenali sebagai Reverend Anthony Samy Perumal Viagulam. Berasal dari Pulau Pinang, beliau membesar dalam persekitaran masyarakat pelbagai kaum dan hidup berjiran dengan masyarakat Melayu-Islam semasa kecilnya. 

Sememangnya Anthony Samy sangat teruja untuk menjadi seorang paderi, dan taat kepada ajaran Kristian sejak zaman remajanya. Beliau pernah digelar 'Pope' oleh rakan sekolahnya kerana hampir setiap hari, dia akan singgah di sebuah gereja sebelum ke sekolah. 

Selepas tamat SPM, beliau nekad menyambung pengajian Kristianisasi di Jerman. Kewibawaannya diiktiraf apabila diberikan peluang berkhidmat di Gereja St. Augustine of Canterbury, Frankfurt selama hampir 10 tahun. Gereja tersebut atau lebih dikenali sebagai Englische Kirche (Gereja Inggeris) merupakan satu-satunya gereja di Jerman yang menggunakan medium Bahasa Inggeris yang beraliran Anglican Episcopal Church. Ia sering menjadi tumpuan penganut Kristian terutamanya dari Amerika Syarikat dan Britain serta lain-lain negara Eropah.

Anhony Samy menguasai kitab Injil dan mempelajari bahasa Latin sebagai syarat untuk pergi lebih jauh dalam misi menyebarkan Kritian. Dia amat mengetahui semua isi dan selok belok kitab Injil itu. Namun sehebat itu juga pengetahuan dan amalannya, hidayah Allah tidak dapat ditolak, akhirnya dilimpahkan dengan cahaya kebenaran untuk memeluk Islam.

“Saya telah mempunyai kehidupan yang begitu sempurna semasa menjadi paderi.Segala-galanya disediakan dan diberi percuma oleh pihak gereja. Daripada orang yang akan membasuhkan tandas kita sehinggalah pemandu dengan kereta Mercedes mewah untuk membawa saya ke mana sahaja. Beritahu sahaja ke mana destinasi, jika jaraknya jauh, saya akan diberikan tiket penerbangan kelas pertama ke hampir seluruh pelosok dunia."

"Jadi saya tidak ada masalah sepanjang berkhidmat untuk gereja kerana apa sahaja yang dihajati akan segera dipenuhi, malah saya diiktiraf sebagai Biecht-vader iaitu pengampun dosa penganut Kristian antarabangsa.

Sehinggalah pada suatu hari berdasarkan pembacaan kitab Bible, perasaan beliau tidak tenang apabila terkenangkan jiran-jiran Melayunya di Kampung Pelanduk Jatuh, Bukit Mertajam Pulau Pinang. 

“Mereka merupakan jiran yang sangat baik. Sehinggakan saya masih ingat walaupun mereka menjalani ibadat puasa Ramadhan, kami sekeluarga akan menerima juadah berbuka puasa mereka. “Mereka tidak akan berbuka selagi kami tidak menerima juadah tersebut walaupun kami bukannya beragama Islam. Ia memang satu situasi yang mengharukan. “Begitu juga apabila ada ahli keluarga saya sakit dan memerlukan rawatan segera ke hospital, jiran-jiran Melayu saya inilah yang akan bersusah payah menggunakan kenderaan mereka untuk membawa kami ke hospital dan mereka tidak pernah berkira. “Saya kira mereka merupakan jiran terbaik yang pernah saya jumpa” katanya dalam ceramah tersebut.

Apabila mengenangkan kebaikan jiran-jirannya itu dan ajaran Kristian, Anthony begitu terusik kerana kebaikan mereka itu akan berakhir dengan 'masuk ke neraka' kerana menurut ajaran Kristian, hanya mereka yang dibaptiskan sahaja boleh ke syurga..

Disebabkan memiliki kunci pintu gereja, maka pada suatu malam yang sunyi sepi, di hadapan altar Jesus, beliau bercakap dengan Tuhan dan ‘merayu’ supaya jiran-jirannya itu dikecualikan daripada memasuki neraka. Selepas itu beliau tertidur, dan ketika itulah beliau mendengar satu suara menyuruhnya memahami Islam supaya mudah berdakwah kepada jiran-jiran di kampungnya nanti. 

Sebaik terjaga daripada tidur, Anthony dipenuhi semangat yang meluap-luap untuk mengubah akidah umat Islam. Lantas beliau memohon kebenaran pihak gereja untuk mengkaji dan mendalami al-Quran yang bakal dijadikan senjata untuk melumpuh dan melemahkan umat Islam itu sendiri. Permintaan Anthony segera dipenuhi malah pada tahun 1973 beliau dihantar ke Millhill Missionary Institute di utara London bagi membolehkan paderi ini mempelajari Islam sebanyak mana yang beliau mahu.
“Pada mulanya untuk selama tiga bulan, tetapi saya lanjutkan sehingga enam bulan kerana telah direncanakan oleh tuhan, saya tidak menemui apa yang dicari kecuali jika terus mencari apa yang ditemui hanyalah keindahan Islam. Tiada kecacatan langsung mengenai Islam malah kalau ada 10 kitab al-Quran yang didatangkan dari mana-mana negara di hadapan saya. Baik sama ada dari Afrika, Asia malah dari Eropah sendiri, yang saya jumpa hanyalah ayat-ayat yang sama. Kata-kata Allah itu begitu terpelihara dan tidak berubah oleh sebarang tokok tambah dan pengurangan. Berbanding dengan Bible, ia telah diubah dan disesuaikan dengan kehendak gereja. Ini benar-benar mengejutkan saya sehingga saya menjadi lebih takut membandingkan kedua-dua agama ini," sambungnya.
.
Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi. (Al- Imraan: 85)

Menurut Ayub, tidak mudah sebenarnya untuk beliau menerima Islam kerana dirinya sangat berpengetahuan dalam ajaran Injil itu sendiri sehinggakan banyak mengunjungi tempat suci orang Kristian di seluruh dunia. Peluang yang tidak diperolehi oleh penganut lain. “Ditambah dengan persekitaran hidup dalam biara dan sentiasa dipantau oleh pihak gereja sehinggalah oleh pihak Vatican di Itali, saya tak mungkin mudah untuk berubah kepercayaan,” katanya.

Dia berkawan dengan orang Islam dari Afrika Utara, dan mereka memberinya tafsir Al-Quran untuk dibandingkan dengan kitab Bible. Apa yang ditemuinya lebih mengejutkan. Jika Bible menyebut Nabi pilihan Allah, ia juga dinyatakan dalam Quran. Abraham, disebut Ibrahim, Nuh (Noah), dan tiada konsep triniti dalam AlQuran. Dalam Quran, kisah para Nabi yang diceritakan sesuai dengan konsep insan terbaik pilihan Allah, berbanding dalam Bible yang banyak menceritakan kisah Nabi dari sudut negatif. 
 
Kebenaran mula terungkap dan perubahan sikapnya dihidu oleh pihak gereja. Anthony Samy mula mempertikaikan konsep triniti, tetapi tidak mendapat jawapan yang diharapkan. Lebih buruk lagi, dia telah ditahan di hospital mental kerana dianggap tidak kompeten dan diresapi unsur jahat. Dia berjaya pulang ke tanah air setelah melalui pelbagai dugaan.
 
Tanggal 4 September 1978, beliau diIslamkan di bumi Sarawak dibantu oleh Ketua Menteri Sarawak pada masa itu, Tun Patinggi Abdul Rahman Yaacob dengan nama Ayub Abdul Rahman bin Abdullah.

Demi keselamatan dirinya yang mendapat ugutan, Ayub terpaksa menyembunyikan diri di Jeddah, Arab Saudi dan di Tanah Haram, Mekkah Al Mukarramah selama tiga tahun. “Tetapi begitu sekali kekuasaan Allah! Jika tidak kerana persembunyian ini tentulah saya tidak berpeluang untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci. Saya benar-benar bersyukur kerana diberikan peluang yang sebegini hebat. “Bagai tidak percaya, baru sehari dua mengucapkan kalimah syahadah di tanah air tetapi Rumah Allah, Kaabah itu kini berada di hadapan mata dan saya tidak mampu menahan air mata yang mengalir. Seumur hidup tidak pernah menangisi diri tetapi saya benar-benar merasakan diri ini begitu kerdil dan hina berbanding nikmat iman yang diberikan oleh-Nya kepada saya,” katanya.
 
Sesungguhnya, hidayah Allah memberikannya peluang mengIslamkan ramai orang, kerana kelebihannya menguasai pelbagai bahasa dan boleh membuat perbandingan agama Islam dan Kristian secara terperinci. 
 
Terima kasih kepada jawatankuasa masjid Rahmaniah Lekir yang mengadakan program yang begitu menarik dan sangat bermakna.   

Monday, December 21, 2015

(MASUK GUA) ..sambungan

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.
(Nasihat: Anda dinasihatkan membaca entri sebelumnya bagi memudahkan pemahaman jalan cerita di bawah.)

Tiba-tiba lampu suluh Tongkhai terpadam.
Suasana menjadi senyap dan sedikit menyeramkan. 
"Kau ada pemetik api?" Adi bertanya Tongkhai dengan suara bergetar.
Bunyi kelawar tiba-tiba berdecit-decit bagai diganggu sesuatu. 
Tongkhai yang mula berpeluh jantan mengunjukkan pemetik api kepada Adi.
"Susahlah kalau selalu begini.." Adi memecahkan kebuntuan. Ada riak takut pada suaranya.
"Kalau Liverfool kalah lagi, nampaknya lamalah kita di gua ni," katanya sambil tersenyum kelat ke arah Tongkhai yang terangguk-angguk mengiyakan kata-katanya. 
Dia menyalakan api dan membakar kayu serta daun kering yang ada di lantai gua.  Suasana gua menjadi sedikit cerah. Mereka terus berbual santai ditemani bunyi cengkerik dan decit kelawar di gua itu. 
Sedang mereka berbual, kedengaran sayup-sayup suara dari arah pintu gua.
"Hoiiiiiiii,... ada orang tak?"
"Kalau ada orang, kami nak masuk..." Laung suara itu lagi.
Adi dan Tongkhai saling berpandangan. Suara itu, macam biasa mereka dengar.
"Kau dengar apa yang aku dengar?" Tanya Tongkhai.
Adi mengambil lampu suluh Tongkhai. Di ketuk-ketuknya lampu suluh itu dan secara tiba-tiba, ia menyala semula, biarpun tidak begitu terang.Dia menyuluh ke arah suara tersebut.
Dari kejauhan yang samar-samar, kelihatan susuk tubuh dua orang lelaki tegap menuju ke arah mereka.
"Woih, hangpa merajuk ka masuk gua ni?" Tanya suara itu. Semakin lama, wajah lelaki itu jelas kelihatan.
Sudah sah. Adi dan Tongkhai tersenyum melihat kelibat lelaki tersebut. Mereka kenal benar dengannya.
"Tak aih... saja dok melengung, tunggu game minggu depan," Tongkhai menjawab dengan suara yang agak nyaring.
Tepat telahan mereka, dua lelaki tersebut ialah Pak Din Hensem dan Pak Alim KIPS. Kedua-duanya penyokong kelab Mancistu United.
"Pak Din Hensem buat apa kat sini?" Tanya Adi.
" Ada bawak makan kaa?" Tongkhai pula bertanya.
"Huhh... makan apa, kami nak temankan hangpa laa..." Pak Din Hensem bersuara.
Riak wajahnya tetap hensem walaupun keletihan berjalan.
"Nak temankan kami?" Adi tercengang sambil memandang Tongkhai.
"Tak payahlah Pak Din... Kami kot lama lagi kat sini. Pak Kulop janji kebangkitan, tapi kelmarin dah kena 3 bijik,... malulah kami nak keluaq," Adi berhujah menggunakan dialek Kedahnya.
"Betoi tu,... kami relah dok lama kat dalam gua ni," Tongkhai menyampuk.
"Kome tak tengok ASTRO ker?" Pak Alim KIPS yang dari tadi diam, bertanya.
"Mana ada ASTRO dalam gua ni?" Adi menjawab sambil menguis-nguis unggun api yang hampir padam.
"Kelab Mancistu United pun kena baham gak. Tu sebab kami nak lepak sini temankan hangpa." Kata Pak Din Hensem perlahan-lahan sambil menunduk.
Keempat-empat mereka duduklah di gua itu buat seminggu lagi...

(Cerita ini tiada kaitan dengan sesiapa, melainkan untuk hiburan hati yang lara juga adanya..)

Tuesday, December 8, 2015

MASUK GUA (Untuk Peminat Kelab Bola Sepak BPL Sahaja)

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan persinggahan anda di sini.

Foto hiasan
Susuk tubuh dua pemuda kelihatan merangkak-kangkak di lantai gua.
"Gelapnya gua ni," bisik Tongkhai yang berada di barisan hadapan.
"Jalan terus. Jangan berhenti. " Kata Adi sambil merenung siling gua yang dipenuhi kelawar bergayutan.
Tidak lama merangkak bagaikan itik berjalan, mereka berhenti seketika, menghilangkan penat.
Suasana agak sepi. Sesekali ada bunyi cengkerik dan kelawar berebut tempat bergantung. Ada bunyi titisan air dari staktait yang membentuk permukaan gua batu kapur itu. 
"Ada yang tahu tak kita di sini?" Tongkhai bersuara, memecahkan hening suasana. Lampu suluhnya dihalakan ke muka Adi seketika.
"Adi mendiamkan diri.
"Tak ada." Katanya pendek.Kemudian dia menghela nafasnya perlahan-lahan, bagaikan merintih.
"Kau pasti?" Tongkhai meminta kepastian.
"Adi mengangguk perlahan bagaikan Juergen Klopp di tepi padang bola.
Mereka diam seketika.
"Aku tak sangka, dah menang bergaya sebelum ni, baru je nak selebret, dah kalah balik." Tongkhai meluahkan perasan yang terbuku di hatinya.
"Rilek la,... ada lagi game yang akan datang, mana tau boleh menang?" Adi memujuknya. Sebenarnya Adi sendiri tak pasti akan keyakinannya kepada kelab bola sepak mereka, iaitu Liverfool.
Gua itu adalah saksi kepada sokongan mereka terhadap pasukan Liverfool selama ini. Di situlah mereka akan melepak sehingga ke minggu perlawanan berikutnya. Jika kelab bola mereka menang atau seri, mereka akan keluar semula dan bersembang penuh gaya dengan penyokong pasukan lain.
Jika ada kesempatan, mereka boleh mengutuk kelab bola sepak Mancistu United, iaitu kelab bola sepak yang disokong oleh Pak Din Hensem. Tetapi, akhir-akhir ini kelab tersebut sering menang, atau paling kurang seri dengan lawannya.
"Berapa lama kita nak lepak sini?" Tongkhai merenung Adi, sambil jarinya memutar-mutar ranting kecil.
"Tengoklah, hujung minggu ni mungkin boleh keluar. Pak Kulop janji buat kebangkitan." Kata Adi, yang begitu mengagumi Pak Kulop, pengurus kelab Liverfool yang baharu dilantik. 

Cerita ini tiada kena mengena dengan sesiapa, melainkan untuk hiburan semata-mata


Thursday, December 3, 2015

SATIRA POLITIK: HIKAYAT BENDAHARA BEBAL

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan persinggahan anda di sini.

Sahibul hikayat, maka diceriterakan orang, ada sebuah negeri antah berantah, jauhnya sepurnama berjalan ke arah matahari terbit, maka negeri itu pun diperintah oleh seorang bendahara, terlalu baik parasnya, ibarat bagai pauh dilayang, bagai bulan di pagar bintang. Hatta, diperisterikannya seorang puteri yang tidak kalah rupanya, sekonyong-konyong dikatakan orang mirip pelakon Saadiah juga adanya.

Adapun bendahara itu, tidaklah sepintar almarhum ayahandanya, yang juga memerintah negeri antah berantah itu. Hatta, setelah kemangkatan ayahandanya, lalu dinobatkan ia sebagai ganti, kerana rakyat negeri itu sudah terhutang budi dengan jasa ayahandanya dahulu.Sudah menjadi adat negeri antah berantah, pemerintah akan digantikan dengan keturunannya, kerana barang dipercaya oleh kebanyakan orang, rakyat negeri itu tidak ada yang layak memerintah, melainkan keturunan bendahara juga adanya.

Maka bendahara yang muda itu pun memerintah negeri antah berantah, mengikut kebijaksanaannya.Setelah lama ia memerintah, maka bendahara mulalah lupa akan dirinya. Maka, selalulah ia berfoya-foya, mabuk dengan harta dunia sehingga ia lupa akan rakyat jelata yang setia kepadanya.
Lalu, dibandingkan orang dengan pemerintahan ayahandanya, maka kata seorang daripadanya, "tidaklah hamba melihat bendahara itu lebih baik daripada ayahandanya," Lalu dikhabarkan orang kata-kata itu kepada dia, Maka bendahara itu pun murka seraya berkata," Siapakah yang telah menghina beta, membandingkan beta dengan ayahanda beta yang sudah tiada? Hadapkan ia ke istana, biar beta ajarkan dia, bersopan dengan bendahara ternama."

Maka sejak daripada itu, rakyat mulalah rasa gundah gulana, barangsiapa tidak sependapat dengan bendahara, hukuman sudah pasti ada. Hatta, bendahara pula semakin alpa, tidak terkira harta negara, diambil digunakan setiap masa. Cukai yang ada dinaikkan hinga terkejutlah rakyat jelata, menghimpit kehidupan marhaen jadi papa kedana. Kepada rakyat, bendahara menunjukkan muka selamba, berjalan ke sana ke mari bagaikan tidak berdosa, diberikan sekupang dua, supaya rakyat senyap tak berkata apa-apa.

Maka sampailah perkhabaran kepada rakyat, entah mana datangnya berita, kononnya bendahara ada menerima derma, yang jumlahnya banyaklah juga. Ketika rakyatnya hidup sederhana, bendahara itu berbelanja sakan lagaknya, seolah negeri antah berantah itu, miliknya sahaja. Cukai kepala dan tambang pengangkutan awam dinaikkan berganda, maka diciptakannya alasan yang berjela-jela.

Barangsiapa yang menongkah, pasti hukuman pancunglah jawapannya. Rakyat menjadi susah dan amarah mula bernyala. Sampailah berita kepada Datuk Temenggung, timbalannya, lalu berbisiklah temenggung mengkhabarkan rakyat sudah tidak suka akan perilaku bendahara yang suka berfoya-foya. 
" Wahai Datuk Bendahara, sudah cukuplah berfoya-foya, rakyat kita semakin celik akalnya, jangan pula kita dihinakan bila tiba masanya," pujuk datuk temenggung kepada bendahara.
Maka, murkalah datuk bendahara, kerana temenggung yang selama ini menyokongnya, sudah berpaling arah mengkritik kepimpinannya. Maka kata datuk temenggung lagi, rakyat bertanya apakah derma yang banyak kepada bendahara, siapakah yang memberinya?
Lalu bertambah murkalah bendahara, kerana dihina sedemikian rupa. Tidaklah dapat dijawab siapa pemberi derma kepadanya, melainkan kononnya daripada jutawan Arab kaya yang tidak diketahui namanya.
Diceritakan orang, datuk temenggung yang selama itu menjadi penasihatnya, tidak lagi diumpamakan bagai bangsawan ternama, di mana dia berada, datuk temenggung diludah dinista oleh juak-juak bendahara, kononnya ingin merampas kuasa, lalu dituduhlah datuk temenggung bermukah hingga hilanglah maruah dan harga diri datuk temenggung itu.
Lalu, ke mana sahaja pergi datuk temenggung itu, tidaklah lagi diberi hormat oleh rakyat jelata, jika ada pun sedikit sahaja yang tahu akan cerita di sebalik tuduhan nista itu.
"Barulah puas hati beta, datuk temenggung ingin menunjukkan bijaksananya, tak padan dengan rupa, sudahlah hodoh, hitamlah pula," kata bendahara bersama permaisuri yang menjadi penasihatnya sekian lama.  
Hatta, setelah beberapa lama, rakyat antah berantah semakin meluat bertambah bencilah kepada bendahara. Barang apa dikatanya, sudah tidak lagi dipercaya, maka gundahlah hati bendahara, hendak diletak jawatan, penggantinya bodoh-bodoh belaka. 
Apakah kelak nasibnya tatkala banyak lagi khazanah negeri antah berantah tidak dibelanjakannya.
Lalu diciptakannya skim pemberian subsidi kepada rakyat, kononnya hendak dikongsikan khazanah negara, diberikan beberapa keping syiling perak kepada rakyat jelata, tetapi selebihnya, wang emas berkoyan-koyan masuk ke poket bendahara. 
Lalu makin beranilah bendahara mengutip hasil masyghul negeri antah berantah itu. 
Sekonyong-konyong, datanglah seorang lelaki, elok parasnya, menyapanya pagi hari, ketika datuk bendahara sedang mengira wang emas dalam tempayan di bilik tidurnya. Entah daripada mana datangnya lelaki itu, lalu terkejutlah bendahara lalu bertanya, "siapakah gerangan tuan hamba, datang tidak memberi salam, muncul secara tiba-tiba?"
Lalu dijawab oleh lelaki itu, "akulah malaikat maut, yang ditugaskan mencabut nyawamu." 
Menangislah bendahara, maka berjurailah air matanya, merayu diberikan sedikit masa, untuk dia menyimpan khazanah negeri antah berantah supaya dapat digunakan keluarganya. 
" Barang diberikan masa untuk hamba membuat wasiat kepada anak cucu hamba supaya tidaklah mereka berebut harta hamba sesudah hamba .....," katanya seraya berlakon mengesat-ngesat air matanya. 
Tidak sempat dia menghabiskan ayatnya, maka tercabutlah nyawa daripada badannya. 
Maka terkangkanglah bendahara, mati di mahligai miliknya, tanpa sempat meninggalkan wasiat kepada anak cucunya. 

CERITA INI TIADA KENA MENGENA DENGAN MANA-MANA PIHAK JUGA ADANYA...

Sunday, November 22, 2015

SELAMAT BERSARA CIKGU NORIZAN MOHAMED RAZI

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Akhirnya, selepas menabur budi lebih 10 tahun di Seri Samudera, cikgu Norizan Mohamed Razi atau lebih mesra saya panggil Kak Zan, akan bersara mulai 1hb Januari 2016. 
Persaraan ini adalah pilihan beliau, biarpun masih ada baki perkhidmatan selama 4 tahun lagi. Kak Zan saya kenali sejak saya ke sini pada awal 2015. Dia seorang guru yang lembut tutur bicara, bersifat keibuan dan jarang sekali mempamerkan wajah mencuka. Senyumannya sentiasa di bibir, malah adil untuk saya katakan, saya tidak pernah mendengar dia memarahi pelajar dengan suara yang tinggi. Jika marah, dia hanya diam. Karektornya yang sebegini menyebabkan pelajar menyayanginya. 

Majlis dimulakan dengan perarakan kompang dan bunga manggar yang dipimpin oleh Cikgu Foong Wan Ting, dari pejabat sekolah hingga ke dataran perhimpunan. Beliau diiringi pengetua, Pn. Sabarina bt Jamaluddin, semua Penolong Kanan dan Ketua Bidang, termasuk Yang Dipertua PIBG, Lt Kdr (B) Mohamad Matahab bin Ismail. 
Sebaik tiba di pentas utama, pasukan silat di bawah bimbingan Cikgu Jusnizan Ramli mempersembahkan 'silat sambut dan silat tempur'. 
Selesai bacaan doa oleh Kaunselor, Hj Abdul Razak bin Ahmad, majlis diteruskan dengan siri ucapan wakil pelajar, pengetua dan beliau sendiri. 
Beberapa orang guru, menyampaikan persembahan penghargaan kepada Kak Zan. Antaranya adalah Seloka cikgu Abdul Halim Abdul Rahman, Luahan Hati Cikgu Zarina Hassan dan Nyanyian Gurindam Jiwa oleh paduan suara Cikgu Rosiah Mohamed Arif dan Cikgu Jusnizan.
Pelajar sesi pagi yang hadir ke majlis persaraan Kak Zan

Cikgu Halim berseloka


Pelajar mengaminkan doa yang dibacakan

Pn. Sabarina menyampaikan ucapan mewakili pentadbir sekolah

Ucapan terakhir Kak Zan di pentas sekolah

BERKUNJUNG KE SANTUARI PENYU SEGARI BERSAMA ROOMATE KOLEJ KELIMA UPM (DEDIKASI UNTUK DR KHAIRI)

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Awal cuti persekolahan ini, saya menerima mesej bekas teman sebilik semasa di Kolej Kediaman Kelima UPM pada 1991-1995, Dr Khairi Hussain, yang akan ke daerah saya mengunjungi iparnya.
Dia mengambil kesempatan untuk bertemu saya. Sebenarnya, Dr. Khairi, anak kelahiran Negeri Sembilan memang rapat dengan saya semasa kami belajar di Serdang. Biarpun jurusan kami berbeza, kami ada keserasian. Sesetengah orang yang kurang mengenalinya mungkin menganggapnya pendiam, tetapi dia sebenarnya mudah mesra.

Alhamdulillah, Allah izinkan kami bertemu di Manjung. Dia membawa bersama anak lelakinya Thoyib dan Soleh, manakala saya juga membawa Afif Wajdiy dan Aqil Najmi sebagai teman.

Selepas bersarapan, kami ke Pusat Santuari Penyu di Segari. Perjalanan lebih kurang 30 minit akhirnya terhenti di pesisir pantai Pasir Panjang yang menghadap Selat Melaka. Angin sepoi-sepoi bahasa, dengan cuaca cerah menyambut kedatangan kami. 


Kami bertemu di Warung Selera Ummi

Melihat santuari penyu di Segari
Anak-anak kami teruja melihat aksi penyu belaan di dalam kolam. Ada anak penyu yang berusia seawal 3 minggu hingga 5 tahun di kolam ini. Penyu yang mendarat untuk bertelur di pantai ini adalah penyu karah dan penyu agar. Lazimnya, petugas akan meronda di pantai dan melihat jejak penyu bertelur. Kemudian telur-telur tersebut dipindahkan ke pusat eraman sehingga menetas. Anak penyu yang bharu menetas berisiko untuk menjadi mangsa burung dan ikan besar. Ia akan dipindahkan ke kolam sehingga tempoh tertentu dan boleh dilepaskan ke laut. Hakikatnya, hanya 1-2 ekor penyu sahaja yang akan hidup hingga dewasa , manakala 90% lagi menjadi makanan kepada pemangsa.

Anak penyu baru berusia 3 minggu

Saya dan Dr. Khairi, pernah sebilik di Blok Baung

Penyu juvenil yang bebas berenang di kolam khas

Dari kiri, Thoyib, Aqil dan Afif

Kenangan akhir sebelum berpisah buat waktu ini.

 

Sunday, October 18, 2015

TEMUDUGA NPQEL

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Sudah lama saya tidak menghadiri temuduga. Seingat saya, saya pernah ditemuduga semasa pelantikan sebagai guru siswazah, kemudian beberapa kali dalam perkhidmatan, itupun tidaklah memerlukan saya berada dalam keadaan tidak selesa, kerana telah bersedia.

Kali ini, saya mendapat khabar temuduga tersebut dalam jangka waktu yang singkat. Temuduga tersebut dijadualkan pukul 8 pagi 15 Oktober 2015. Beberapa dokumen yang sepatutnya dibawa bersama perlu disediakan lebih awal. Antaranya adalah laporan buku perkhidmatan dan markah LNPT untuk tiga tahun terkini. Mujurlah staf pejabat baik di sekolah mahupun PPD Manjung ringan tulang membantu persediaan kami. 

Kami berenam dalam satu kumpulan, iaitu saya, Cikgu Kamarul Baharin, dari SMK Batu Sepuluh, Lekir, Cikgu Nasri Senik(SMK Cangkat Beruas), Cikgu Roslina Othman, (SMK Seri Manjung), Cikgu Noriha Yaacob (SMK Methodist ACS) dan Cikgu Husaini dari SMKTLDM Lumut.

Kami dikumpulkan bersama 249 orang calon seluruh negeri Perak di Kolej Latihan Sains Jururawat Tanjung Rambutan. Saya sampai  lewat sedikit ke tempat temuduga kerana kesesakan jalan raya. Sebaik tiba di sana, rakan lain sudah menunggu giliran. Selepas melapor diri kepada urus setia, kami menunggu giliran sesi temuduga.

Ada dua sesi penilaian, iaitu bahagian kumpulan dan individu. Untuk bahagian kumpulan, kami mendapat cabutan tajuk PISA dan usaha meningkatkan pencapaian pelajar. Dalam masa 30 minit, kami diberi peluang menyampaikan pandangan dan idea dalam bentuk forum. Cikgu Husaini bertindak sebagai pengerusi manakala kami menjadi ahli. Pihak panel penemuduga seramai 3 orang terdiri daripada seorang pengetua DG52, Ketua Sektor JPN dan Pegawai SIP+ PPD Kinta Utara. 

Tamat sesi berkumpulan, kami dibenarkan rehat dan masuk semula untuk penilaian individu oleh panel yang sama. Bahagian ini, pada hemat saya, lebih mencabar kerana beberapa soalan ditanyakan oleh tiga orang penilai secara bergilir. Giliran pertama oleh Cikgu Kamarul Baharin, diikuti oleh Cikgu Nasri dan saya sendiri. Selepas itu Cikgu Roslina, Cikgu Noriha dan diakhiri oleh Cikgu Husaini. 

Pelbagai soalan ditanya oleh panel kepada saya, termasuklah usaha meningkatkan pencapaian pelajar, pengalaman mengajar, latar belakang diri dan diakhiri soalan 'wajib' jawab iaitu, "sekiranya anda menjadi pengetua, apakah perubahan yang anda lakukan untuk sekolah anda?"

Kesimpulannya, saya telah berusaha sebaik mungkin. Begitu juga dengan rakan lain. Saya pasti calon kursus NPQEL  yang lain juga telah memberikan komitmen yang tinggi dalam temuduga masing-masing. Selebihnya, saya serahkan kepada Allah. Jika ada rezeki, dapatlah tempat untuk menimba ilmu pengurusan dan pentadbiran bagi tahun 2016. 


Tuesday, October 6, 2015

Jerebu: Apakah yang kita harapkan daripada Indonesia?

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Malaysia dilanda jerebu yang teruk dalam tempoh yang berlarutan hampir sebulan, sehingga memaksa sekolah-sekolah ditutup di beberapa buah negeri. Puncanya, sama seperti tahun-tahun sebelumnya, iaitu pembakaran terbuka oleh syarikat-syarikat perladangan di Indonesia, terutama di kepulauan Riau, Jambi, Kalimantan dan Sumatera.

Pergerakan angin membawa debu dan asap pembakaran tersebut ke ruang udara negara kita dan Singapura. Ruang udara negara dipenuhi asap dan debu pembakaran yang merengsakan tekak dan menyukarkan pernafasan. 

Dalam hal ini, Singapura bertindak tegas mengikut peruntukan undang-undang yang baharu digubal tahun lalu, dengan menyaman syarikat yang terlibat. Manakala pemimpin negara kita bersikap tunggu dan lihat termasuk mengadakan beberapa pertemuan dengan kepemimpinan tertinggi Indonesia, dalam erti kata cuba mencari penyelesaian secara rundingan.  Seorang Menteri dilaporkan berkata Malaysia juga akan (belum lagi bertindak sebenarnya) menggubal undang-undang rentas sempadan seperti yang dilakukan oleh Singapura supaya ia tidak berulang pada masa akan datang.Ironinya, ia bukanlah perkara baharu dan telah berlaku bertahun-tahun lalu.
Keadaan jerebu menjejaskan ekonomi dan kesihatan

Sekolah di Malaysia terpaksa ditutup setelah bacaan IPU meningkat

Indonesia adalah sebuah negara pulau, dengan kadar korupsi yang tinggi dalam kalangan pegawai penguatkuasanya. Mengharapkan Joko Widodo melakukan tindakan susulan, umpama berharap keajaiban yang datang secara tiba-tiba. Jokowi (nama panggilan mesra Presiden Indonesia) sendiri mengakui sukar untuknya menghentikan tindakan pembakaran yang mengakibatkan jerebu di negara jiran, sebaliknya meminta masa 3 tahun untuk mengatasi masalah yang sudah membarah ini.

Lalu, apakah sebenarnya yang kita harapkan daripada Indonesia. Rakyat Indonesia di beberapa kawasan yang terjejas teruk seperti di Riau sendiri, sudah tidak mampu merayu pemimpin negara mereka menyelesaikan masalah bencana jerebu. Mereka sendiri dilayan dengan buruk akibat tindakan rakus syarikat ladang dan individu yang merosakkan alam sekitar di Indonesia.

Saya masih di Shah Alam ketika mencoretkan luahan ini, dan keadaan agak baik selepas hujan lebat petang tadi di sini. Bagaimanapun, mengharapkan hujan semata-mata, untuk mengembalikan keadaan pulih tanpa jerebu, adalah harapan yang tidak boleh disandarkan sepenuhnya kepada takdir. 

Kita layak dan mampu berdoa, tetapi satu penyelesaian tuntas perlu dibuat supaya keadaan ini tidak berulang saban tahun.

Indonesia, dengarlah luahan hati rakyatmu dan negara jiran. Kami sudah letih dengan menyedut udara jerebu yang panas, berdebu dan menjejaskan kesihatan apabila tiba musim pembakaran ladang secara besar-besaran.  

Wednesday, September 2, 2015

SESAT DI ISTANA TERPENCIL.

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Aku tak ingat tarikh dan haribulan kejadian ini. Ia berlaku cukup pantas. Ketika itu hampir senja, dan aku serta 4 orang anak lelaki masuk ke hutan dalam satu ekspedisi kembara. Kami mengembara jauh ke dalam hutan yang semakin gelap. Anehnya kakiku terus melangkah ke hadapan. Biarpun ada keinginan untuk berpatah balik, kami seolah-olah terpukau dengan keindahan hutan malar hijau yang mengasyikkan. 

Kami kaget apabila menyedari laluan semakin tebal dengan belukar dan banir pokok yang berceranggah sana sini.  Dengan suasana yang semakin dihimpit gelap, pasti kami berdepan masalah. Hendak berpatah balik, bimbang tersesat di tengah jalan. Hakikatnya, kami memang sudah sesat. 
Daripada kejauhan, nampak sebuah bangunan usang berbalam-balam di hadapan. Tanpa berfikir panjang, kuajak anak-anak ke sana. Sekurang-kurang ada tempat berteduh untuk kami malam nanti. 
Bangunan usang itu sekana istana lama, dengan senibina Moor diadun dengan ukiran seakan Eropah, tersergam di tanah datar yang lapang. Pelik sungguh, ada bangunan seperti ini di tengah hutan belantara? Ada menara tinggi bangunan empat tingkat, yang mungkin membolehkan kami tahu kedudukan kami jika melihat dari arah puncak menara.
Tanpa berfikir panjang, kubawa anak-anak lelaki masuk ke bangunan seakan istana purba itu. Persekitarannya agak bersih, tetapi menyeramkan. Suasana semakin gelap, menyebabkan kami lebih berhati-hati memasuki bangunan itu. 

Ada tangga besar di tengah ruang. Tangga itu luas di bawah tetapi semakin menyempit apabila tiba di penghujung. Kami berpegangan tangan sesama sendiri, supaya masing-masing tidak terpisah. 
Entah mengapa tiba-tiba perasaan tidak enak mula menyelinap dalan hati. Seakan-akan ada mata yang memerhati pergerakan kami. Terasa bulu romaku meremang dan perasan takut mula mencengkam. Kami terus meneroka sekitar tingkat dua istana lama ini tetapi hampa. Tiada laluan ke menara. 

Menuju ke arah barat, ada tangga kecil ke  tingkat atas. Di situ, kami berharap ada jalan ke menara sebelum hari bertambah gelap. Rupanya, tingkat atas adalah kawasan dapur. Peralatannya usang, dengan pinggan mangkuk bersepah di lantai, manakala persekitarannya berbau hanyir. 

Aku menjenguk ke tingkap, mencari arah menuju menara, tetapi tidak kutemui. Puas berpusing tetapi kami seolah-olah bergerak di kawasan yang sama! Tiba-tiba kami dikejutkan dengan penemuan beberapa mayat manusia di dalam stor, terbaring ditutupi kain putih. Aku cuba menjerit tetapi jeritanku seakan tersekat. Anak-anak yang bersamaku sejak tadi tiba-tiba hilang entah ke mana.

Memang ngeri kisah kualami menjelang Zohor cuti hari Kemerdekaan negara ke-58. Mujurlah ia hanya mimpi...  

(Kisah mimpi ini memang benar saya lalui sewaktu Qailullah sebelum Zohor)

Sunday, August 9, 2015

SEKOLAH TRANSFORMASI: LANGKAH PERUBAHAN

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Daripada lebih  360 buah sekolah di seluruh Perak, hanya 8 buah sekolah sahaja dipilih untuk program Sekolah Transformasi atau PreSTasi. Daripada jumlah tersebut, SMK Seri Samudera tersenarai dalam 4 buah sekolah menengah yang bakal melaksanakan perubahan bagi meningkatkan keupayaan pelajar khususnya dalam bidang akademik.

Saya dan 5 orang guru penolong kanan telah diberi taklimat oleh wakil KPM dalam satu majlis ringkas di Hotel Sunway, Seberang Jaya Pulau Pinang pada 8 hb Ogis 2015. Dalam majlis tersebut, kami juga dimaklumkan tentang perbezaan antara PreSTasi dan Sekolah Amanah. 

Secara umu, tidak banyak beza antara kedua-duanya.
Perbezaan PreSTasi dan Sekolah Amanah
Antara GPK yang hadir mewakili SMKSS: Pn. Azoha, Pn. Norlida dan Pn. Rosiah 
Objektif penubuhan PreSTasi

SMKSS adalah antara sekolah perintis pelaksanaan PreSTasi
Tuan Pegawai Pendidikan Daerah Manjung, En. Suhaimi Ramli bersama En. Marzuki (kiri)

Sunday, July 12, 2015

NASIB KELUARGA PENCARI KETAM DAPAT PEMBELAAN

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Kisah keluarga pencari ketam di sini

Sunday, June 21, 2015

INDAHNYA RAMADHAN ZAMAN KANAK-KANAK

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Zaman kanak-kanak dan remaja, sememangnya zaman yang penuh keseronokan dan keriangan dalam hidup saya.  Rakan sekampung kini sudah terpisah dan ada yang sudah kembali kepadaNya. Antara rakan yang sudah dijemput Allah adalah Puad, Keri, Mat Sapri, Samsuri dan Din Ketang. Yang masih berhubung dengan saya dan berada di sekitar Manjung adalah Lie Katun, Kono, Sham Beah, Boy dan beberapa orang lagi. Tapi kenangan membesar sebagai budak kampung menyebabkan saya rasa bertuah memiliki pengalaman tersebut. 

Kampung kami adalah penempatan semula penduduk Kampung Batu Gajah, Lumut yang dijadikan Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada 1975. Rumahnya di atas tanah seluas suku ekar bagi setiap satu keluarga, dengan bentuk seperti rumah FELDA, dengan kemudahan asas seperti air dan elektrik disediakan termasuk jalan raya.

Saya dan dua adik lelaki, Oun dan Sani membesar bersama, dan jarak usia kami yang hampir sebaya menyebabkan kami menjadi kawan dalam pelbagai aktiviti. Jarak umur saya yang paling tua dan Oun yang paling muda hanya 4 tahun. Tentulah peristiwa pahit manis kami membesar tidak jauh bezanya. Kami membesar dengan permainan kampung, tanpa gajet elektronik seperti mana hari ini. Permainan galah panjang, jengket-jengket, tuju kasut, gasing, lelayang dan guli sudah sebati dengan zaman tersebut. Kepakaran saya tentulah lastik burung, yang menjadi ketagihan semasa sekolah rendah dahulu.

Oleh kerana saya paling tua, sayalah ketua dalam aktiviti kami. Awal Ramadhan, selalunya kami buat pelita panjut. Modalnya hanya tin susu, tali guni (untuk dijadikan sumbu pelita), minyak tanah dan tiang untuk gantung pelita. Kampung kami selalu adakan pertandingan pelita panjut. Seingat saya rumah kami tak pernah pun menang, tapi keseronokan membuat pelita panjut bersama-sama mengukuhkan ikatan persaudaraan sesama kami. Masing-masing akan ada tugasannya, daripada mencari tin hinggalah memacakkan tiang panjut. 

Mak paling sibuk buat persediaan kuih raya, sebab zaman itu perniagaan kuih dan biskut raya amat terhad. Biskut raya pun hanya kuih tradisional seperti bahulu, bakar, samperit, loyang dan beberapa jenis lagi. Satu-satunya kakak saya, Yong Aja akan membantu mak membancuh dan memasak kuih. Kami yang lelaki akan menyediakan dapur termasuk mencari bahan bakar daripada tempurung dan sabut kelapa. Bagi adik saya seperti Wa yang masih kecil, biasanya akan jaga kualiti biskut, termasuklah makan kuih yang tak berapa menjadi. Sungguh seronok kenangan zaman itu. Kad raya amat bermakna menjelang hari raya. Kad raya sangat dinantikan daripada abang posmen. Selalunya ayah akan dapat banyak kad raya termasuk daripada Menteri dan ahli politik, sebab ayah rajin mengirim kad raya sebelum bermulanya Ramadhan lagi.

Sepanjang Ramadhan, kami bergantung kepada bunyi kerantung dari masjid. Ayah akan tunggu di anjung rumah menanti bunyi kerantung. Sebaik sahaja bunyi kerantung, kami berbuka di bahagian dapur rumah yang agak kecil dan sempit tetapi tidak langsung menjejaskan kemeriahan berbuka puasa. Biasanya menu ayah adalah mihun atau mi goreng yang dicampur dengan bubur lambuk dari masjid. Ketika itu, masjid kami sudah ada bubur lambuk tetapi tidaklah sepopular Bubur Lambuk Masjid Kampung Baru KL. Kesukaan ayah juga adalah air tebu, dan wajib ada ais. Sebelum ada peti sejuk, kami beli ais batu di kedai Chu Adam. Kalau terdesak sangat beli di Kedai Ah Eng kira-kira 300 meter dari rumah saya.

Mak akan masak juadah untuk berbuka, dan jika bernasib baik, kami boleh menikmati juadah jiran yang bertukar-tukar dengan masakan mak. Zaman itu, istilah Bazar Ramadhan begitu asing dan tidak menjadi pilihan kaum ibu yang rata-ratanya suri rumah sepenuh masa.

Rutin selepas berbuka biasanya kami main bunga api. Ada juga rakan sekampung yang buat meriam tanah di kebun ubi berdekatan dewan orang ramai. Kepakaran menyediakan meriam  memang terbukti, sehingga bunyi meriam yang kuat saling bersahutan di sekitar kampung. Pernah juga orang kampung buat laporan polis sebab bunyi meriam yang  kuat mengganggu ketenteraman terutama pada lewat malam. Semua itu tidak mematikan semangat budak kampung untuk mencari keseronokan sepanjang Ramadhan.

Di masjid, tiada jamuan berbuka puasa seperti sekarang. Jika ada pun, ia tidak semewah hari ini. Jemaah yang ingin berbuka di masjid boleh membawa juadah masing-masing yang kemudiannya dikongsi dengan jemaah lain. Solat Tarawikh biasanya 20 rakaat dan sesiapa yang sabar menanti sehingga selesai akan dapat menikmati jamuan moreh ikut giliran para penyumbang. Biasanya makanan moreh hanyalah bubur kacang atau jika bernasib baik, kami akan dapat menikmati roti canai. Itu pun dah kira mewah dan menyelerakan.

Menjelang hari raya, kampung kami akan dipenuhi dengan perantau yang pulang dari luar. Suasana kampung akan bertambah meriah dan kami pula berpeluang menambah wang saku sebab ketika itu ramai yang bermurah hati memberi duit raya.

Indahnya kenangan zaman kanak-kanak. Kampung DSK kini sudah berubah dan rumah kami juga sudah diruntuhkan bagi memberi ruang pembinaan rumah baharu adik saya. Rakan sekampung pula banyak yang berhijrah termasuk saya, Oun dan Sani. Kami pun jarang-jarang balik kerana mak dan ayah pun sudah tiada, hanya kenangan sahajalah yang menjadi penghubung memori silam zaman kanak-kanak.

Monday, May 18, 2015

Batuk Sehingga Sesak Nafas; Apakah Maksudnya?

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Kepenatan berulang alik ke Kemaman menziarahi abang ipar yang sakit minggu lalu sebenarnya memberi impak kepada kesihatan saya. Sebelum itu pun saya sudah mula batuk-batuk sehingga hampir sesak nafas. Seolah-olah saya seperti dalam air kerana sebaik batuk habis batuk, saya memerlukan 4-6 saat untuk kembali bernafas secara normal.

Ini suatu yang membimbangkan. Saya yakin ada jawapannya, tetapi saya perlu ambil tindakan segera. Petang ini saya ke Pantai Hospital Manjung (PHM) untuk mendapatkan kepastian 'misteri' status kesihatan saya.

Saya jadikan PHM pilihan kerana klinik dan hospital kerajaan mempunyai bekalan ubat yang terhad. Tambahan pula jumlah pesakit yang ramai menyebabkan layanan kepada kita tentulah tidak dapat diberikan secara berfokus.    Secara analogi mudahnya, saya samakan tindakan saya sendiri terhadap diri berbanding kereta. Saya sanggup mengeluarkan jumlah wang yang banyak untuk servis yang baik daripada mekanik di pusat servis yang khusus untuk kenderaan saya. Baru-baru ini, saya servis  di Seri Manjung, dengan jumlah lebih RM400. Keesokannya saya buat perkara yang sama terhadap sebuah lagi kereta dengan jumlah bayaran yang hampir sama. Mengapa pula saya berkira-kira untuk 'servis kesihatan' diri sendiri? Bukankah jasad saya lebih penting daripada kereta, kerana tanpa kesihatan yang baik, saya tidak mampu memandu dengan berhemah?

Saya menanti keputusan ujian darah dan X-ray yang dibuat sebentar tadi. Harapan saya, semoga tiada penyakit berbahaya atau serius, kerana saya sebenarnya, amat bimbang dengan andaian tersebut. Hasilnya, selepas menunggu hampir dua jam, saya dimaklumkan keputusan ujian darah saya normal. Tidak ada tanda-tanda penyakit berbahaya. Malah, kandungan gula dalam darah hanya 4.9, iaitu berada pada paras normal.

Bagaimanapun, foto X-ray menunjukkan gumpalan kahak terperangkap di paru-paru dan ada angin terperangkap pada bahagian perut. Itu sebabnya saya sering sendawa.

Alhamdulillah, saya diberi ubat lain dan harus berjumpa semula dengan Dr. Shiamala pada 2 Jun nanti.

Wednesday, May 13, 2015

AKHIRNYA ABANGLONG PERGI JUA.

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Wan Long bin Wan Mohammad, nama yang saya kenali sejak bertunang dengan isteri pada tahun 1996. Dia lebih mesra dipanggil Abanglong, kerana dia merupakan anak sulung, dan isteri saya pula anak yang kedua daripada 10 orang adik beradik.  

Abanglong gemar memancing. Dia pernah mendapat hadiah dalam GP Joran anjuran sebuah akhbar tempatan. Pernah kami merancang untuk mencandat sotong tapi hasrat tersebut tidak kesampaian
kerana banyak kekangan. Saya juga mudah mabuk laut. Dia bersungguh-sungguh untuk menjayakannya walaupun kekadang dihimpit waktu kerja.
 

Abanglong suka makan tapai pulut buatan ibu mertua saya. Pernah pada satu pagi raya, saya makan tapai pulut dibungkus daun getah bersamanya. Memang sedap tapi perut saya tak biasa makan tapai awal pagi. Akibatnya sepanjang hari raya tersebut saya asyik berulang alik ke tandas, tapi abanglong mampu menikmati tapai tanpa sebarang masalah.  Itu sebabnya kami gelarkan dia Hantu Tapai.


Abanglong memang mesra dengan anak-anak saya
Pada pagi 7 hb Mei 2015, kami dikejutkan dengan mesej dalam wassaps keluarga, daripada isterinya Kaklong Anati. Abanglong diberitakan tidak sedarkan diri setelah dimasukkan ke hospital Kemaman pada jam 1 pagi. Puncanya kesan daripada tiroid yang dihidapi sekian lama, tapi tidak disedari oleh sesiapapun termasuk isterinya. Abanglong memang seorang yang perahsia tentang soal penyakitnya.

Foto raya abanglong sekeluarga 2010
Kami menanti dengan penuh harapan agar abanglong kembali sembuh. Pada Jumaat 8 hb Mei, keadaan abanglong masih tidak berubah. Dia masih koma dan ditahan di wad ICU hospital tersebut. Petang itu juga saya sekeluarga (kecuali dua orang anak yang tinggal di asrama) serta adik ipar yang turut tinggal di Manjung, bergerak menuju ke Kemaman.

Perjalanan yang memenatkan melalui Gombak-Karak-Kemaman sejauh lebih 350 km/sehala akhirnya selesai pada jam 2 pagi. Esoknya kami ke hospital Kemaman yang jaraknya lebih kurang 2 km daripada rumah abanglong. Harapan menggunung untuk melihat abanglong sedar, tidak menjadi kenyataan.

Ramai saudara mara dan kenalan yang datang menziarahinya. Keadaan Abanglong bertambah tenat kerana hormon tiroid yang tinggi menyebabkan jantungnya lemah, itulah yang menjadi punca berat badan dan selera makannya turun. Keadaannya masih tidak stabil dan berisiko jika dipindahkan ke Kuala Terengganu atau ke Kuantan.

Anak sulung yang rapat dengan ayahnya (Bak)
Pada petang Ahad, 10 hb Mei, saya sekeluarga bertolak kembali ke Perak kerana keesokannya kami perlu bekerja dan anak-anak perlu ke sekolah. Keadaan abanglong yang koma tetapi tenang memberi sedikit kelegaan.

Bagaimanapun ketika di RR Genting Sempah, kami mendapat berita abanglong tenat, dan doktor meminta ahli keluarga bersedia dengan pelbagai kemungkinan. Tanpa berfikir panjang kami kembali semula ke Kemaman dan tiba di rumah abanglong jam 10.30 malam.

Saya dan isteri yang keletihan mula berasa kurang sihat, dengan mata berair, batuk-batuk dan selsema.Perjalanan jauh dan kurang rehat menyebabkan batuk saya adakalanya amat teruk hingga saya kerap lelah. Saya dan isteri diberi cuti sakit oleh doktor. Keadaan abanglong pula tidak banyak berubah. Hatinya dijangkiti kuman menyebabkan warna mata mula berubah kekuningan.  Seorang jururawat yang saya tanya tidak berani memberi sebarang harapan. Doktor hanya berbisik 'prepare for the  worst', menyebabkan isteri saya sebak ketika mengunjungi abangnya sebelum pulang ke Perak petang itu. Kaklong isterinya sudah kehabisan air mata, memikirkan keadaan suami yang terlantar tidak sedarkan diri.  Beberapa hari sebelumnya, Kaklong bermimpi abanglong membawa 'seorang isteri baharu' dan akan meninggalkannya.

Kami hanya mampu berdoa agar abanglong sembuh dan pulih seperti biasa, biarpun mungkin mengambil masa yang lama. Hanya keajaiban kuasa Allah sahaja yang mampu mengubah nasib abanglong.Jauh di sudut hati, saya berasakan abanglong akan meninggalkan kami, apatah lagi melihat keadaannya semakin nazak dan kencingnya sudah bercampur darah. Berat sungguh derita ditanggungnya, hingga kami sebak dan pilu melihat jasadnya terlantar dengan wayar mesin bantuan hayat yang berselirat dikelilingnya.

Tuntutan kerja menyebabkan kami balik semula ke Perak pada petang Selasa 12 hb Mei dan selamat tiba di rumah kira-kira pukul 11 malam selepas melalui perjalanan jauh yang memenatkan.  Keesokannya saya ke sekolah mengajar seperti biasa. Badan memang terasa letih tetapi tugas dan tanggungjawab yang ada perlu dilaksanakan sebaiknya.


Duit raya untuk anak-anak buah tidak dilupakan
Pada awal pagi Khamis 14 hb Mei, saya dan isteri dikejutkan berita daripada Kaklong yang memaklumkan suaminya sudah 'tiada'. Apa yang kami bimbangkan akhirnya terjadi juga. Abanglong dijemput kembali kepada Penciptanya selepas genap seminggu dimasukkan ke wad ICU Hospital Kemaman. Abanglong pergi meninggalkan isteri, dan tiga orang anak ( dua orang perempuan), yang masih memerlukan belaian kasih sayang seorang ayah.

Saat bahagia kenangan raya tahun 2009
Berehat selepas majlis pengebumian abanglong
Jenazahnya dikebumikan di tanah perkuburan Bukit Mentok Kemaman, pada pukul 10 pagi. Ketika itu kami masih dalam perjalanan menuju ke Kemaman. Kami tiba sebaik sahaja urusan talkin selesai. Nampaknya kami tidak sempat juga bertemu abanglong buat kali terakhir tetapi saya tidak terkilan kerana sudahpun menziarahinya ketika di wad ICU tempoh hari.

Damailah abanglong di barzakh. Sesungguhnya setiap yang hidup PASTI akan mati. Tiada siapa pun yang terkecuali. Abanglong kembali ke rahmatullah pada usia 48 tahun.Giliran kita  hanya dipisahkan oleh masa.
Allahummaghfirlahu warhamhu, waafihi wa'fu anhu..

Monday, May 4, 2015

TAHUN INI NAMPAKNYA TAK SERTAI JMFR 2015

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.



Minggu ini peritnya rasa tekak apabila saya mengalami batuk berterusan yang menjejaskan peti suara. Akibatnya, suara saya serak dan batuk tersebut mengganggu urusan seharian.

Inilah ujian Allah. Kita harus pasrah menerima keadaan begini. Setakat ini saya sudah usahakan membuat beberapa tindakan untuk mengurangkan sakit di tekak, tapi masa menentukan bilakah ia akan berakhir.





Moga Allah memberi kesembuhan kepada saya.

Tuesday, April 14, 2015

Berat Amanah Menjadi Seorang Suami

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Peringatan buat semua lelaki bergelar suami (termasuk saya)
SUAMI YANG MENCIUM BAU SYURGA”

Aku terima nikahnya.... binti.... dengan mas kawin......di bayar tunai....”.Singkat, padat dan jelas.
Tapi tahukah kita makna “perjanjian atau ikrar” tersebut?
Itu tersurat. Tetapi apa pula yang tersirat?
Yang tersirat bermaksud: ”Maka aku tanggung dosa-dosanya si dia (perempuan yang menjadi isteri) daripada ayah dan ibunya.

Dosa apa saja yang telah dia lakukan. Dari tidak menutup aurat hingga ia meninggalkan solat. Semua yang dilakukan oleh si dia (perempuan yang ia jadikan isteri), aku tanggung dan bukan lagi orang tuanya yang menanggung dosa perbuatannya.
Aku tanggung semua dosa calon anak-anakku sehingga mereka akil baligh. Juga aku sedar,sekiranya aku gagal dan aku lepas tangan dalam menunaikan tanggung jawab,maka aku fasik,nerakalah tempatku.

Akad nikah ini bukan saja perjanjian aku dengan si isteri dan si ibu bapa isteri, tetapi ini adalah perjanjian terus kepada ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala ".Jika aku GAGAL (si Suami) ?”Maka aku adalah suami yang fasik, dayus dan aku rela masuk neraka.

Duhai para isteri...Begitu beratnya pengorbanan suamimu terhadapmu.
Pada detik Ijab Kabul, Arsy-Nya bergoncang kerana beratnya perjanjian yang dibuat oleh suami di depan ALLAH,dengan disaksikan para malaikat dan manusia.

Subhanallah..
beratnya amanah yang di tanggung oleh para suami.
Justeru, seorang isteri harus patuh kepada suami,menjalankan perintah ALLAH dan menjauhi larangan-Nya, mendidik anak anak agar mengerti tentang agama dan tanggungjawab.

Semoga kita semua menjadi ibu bapa yang dapat memberikan yang terbaik untuk anak-anak kita kelak dengan agama dan kasih sayang sehingga tercipta keluarga yang sakinah,mawaddah,dan warahmah.
Semoga kita selalu dalam lindungan-Nya yang dilimpahkan kesihatan,kebahagiaan,keselamatan dan kemudahan untuk selalu beribadah kepada-Nya..

"Ya Allah, muliakanlah sahabat-sahabat Kami, Berikanlah Kami pasangan yang setia,mewujudkan keluarga yang selamat di dunia dan akhirat.

Rasulallah SAW bersabda :"Barang siapa yang menyampaikan 1
(satu) ilmu saja dan ada orang yang mengamalkannya,maka
walaupun yang menyampaikan sudah tiada (meninggal dunia), dia akan tetap memperoleh pahala." (HR. Al-Bukhari)
Peacenowar...😊😊

Thursday, April 2, 2015

GST: CABARAN DAN HARAPAN RAKYAT MALAYSIA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Benarlah penantian itu satu penyiksaan. Tarikh keramat 1 April 2015, menandakan bermulanya Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dalam sistem ekonomi negara kita. Berakhirlah penantian rakyat selama ini. Dengan adanya GST, sistem cukai lama iaitu SST tidak lagi digunkan.

Pelbagai pandangan daripada pakar ekonomi, pemimpin politik, kakitangan kerajaan dan orang perseorangan menghiasi laman portal , media sosial dan seumpamanya. Masing-masing dengan pandangan sama ada menyokong GST atau sebaliknya. 

Di pihak kerajaan, GST tentulah dilihat lebih telus dan dapat dimanfaatkan demi kebaikan rakyat dan negara. Sifirnya mudah, jika rakyat banyak berbelanja, GST lebih banyak dikutip dan keuntungannya disalurkan dalam bentuk pembangunan negara  dalam jangka panjang. 

Di pihak peniaga dan peruncit, mereka berasakan GST menyebabkan margin keuntungan akan mengecil dan membebankan. Justeru peniaga berkemungkinan akan menaikkan harga barangan. Pihak pengguna (baca: rakyat) pula berasakan GST akan mengakibatkan kenaikan harga kos dan barang perkhidmatan dan mereka akan menjadi mangsa akibat kerakusan peniaga yang tamak.
Operasi dan pemantauan telah dibuat sepanjang masa oleh agensi penguatkuasa KPDNHEP dan Kastam Diraja Malaysia, bertujuan memastikan peniaga akur dengan pelaksanaan GST di samping memastikan harga yang dikenakan adalah terkawal dan mengikut kadar GST enam peratus seperti yang ditetapkan.
Penandaan "inklusif GST 6 %" atau "0% GST" telah ditandakan pada setiap barangan serta garisan merah jambu yang bermaksud harga selepas GST. Ini kerana bukan semua barang dikenakan GST. Kad prabayar misalnya tidak dikenakan GST.Bagaimanapun, harga kad tambah nilai tersebut menjadi rungutan orang ramai apabila kadar enam peratus turut dikenakan walaupun telah dinyatakan sebelum ini tiada perubahan harga terhadap kad prabayar tersebut. Akibat kekalutan tersebut, kedai 7 Eleven misalnya meminta maaf secara terbuka atas 'kesilapan' semua premis perniagaan mereka yang mengenakan kos tambahan kad prabayar.
Pihak berkuasa juga mengambil tindakan kepada premis-premis yang mengenakan GST sebanyak enam peratus sedangkan ia tidak berdaftar dengan JKDM. Sepanjang dua minggu selepas 1 April, pendekatan nasihat dan teguran akan diberikan bagi memberi ruang kepada pemilik premis berkenaan untuk mematuhi arahan yang ditetapkan, sebelum tindakan penguatkuasaan seperti denda diambil.
Seorang rakan saya bergurau mengatakan, GST maksudnya, "Gatal Sesudah Tua. Itu lebih bahaya," katanya sambil disambut gelak ketawa kami yang mendengarnya.
Pelaksanaan GST menuntut kita sebagai pengguna memanfaatkan kuasa pengguna dan berbelanja secara lebih berhemah. Sekiranya kita cakna dengan hak dan kuasa pengguna, setiap salah laku peniaga dalam pelaksanaan GST boleh dilaporkan dan mereka boleh didenda tidak kurang daripada RM200 ribu. 
Persoalannya, adakah kita bersedia? Jika diperdayakan oleh peniaga tamak, berapa ramai yang akan bersuara?
Berapa ramai pula yang ambil peduli dengan resit GST? 
Berapa ramai pula yang benar-benar memahami manfaat di sebalik GST?
Saya sendiri, masih belum memahami sepenuhnya GST walaupun saya menyokong pelaksanaannya demi pembangunan negara. Apa yang saya harapkan, kesan positif  GST dapat dinikmati oleh rakyat dalam tempoh 3-4 tahun akan datang.

  
Pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) bertujuan mewujudkan perseimbangan dalam memperluaskan asas percukaian negara memandangkan hanya dua juta pembayar cukai berbanding 28 juta penduduk di Malaysia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, selaras dengan langkah konsolidasi fiskal yang menyasarkan bajet seimbang menjelang 2020, peningkatan pendapatan negara bukan sahaja dapat mengurangkan defisit fiskal malah dapat melaksanakan banyak projek pembangunan yang tertangguh seperti pembinaan jalan raya, jambatan, sekolah, hospital dan klinik desa.
Menjelaskan secara mudah beliau berkata, GST adalah cukai penggunaan iaitu mereka yang berpendapatan tinggi akan berbelanja lebih, berbanding yang berpendapatan sederhana dan rendah.
“Perlu diingatkan, GST 6 peratus ini menggantikan cukai jualan 10 peratus dan cukai perkhidmatan 6 peratus, ia bukan cukai tambahan. Kadar 6 peratus yang dikenakan adalah yang terendah di ASEAN dan antara yang terendah di dunia.
“Sebagai contoh, kadar di Singapura dan Thailand 7 peratus, Indonesia, Australia dan Vietnam 10 peratus, Filipina 12 peratus sementara di UK (United Kingdom) jauh lebih tinggi iaitu 20 peratus,’’ katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas mengenai rungutan golongan peniaga kononnya tidak diberikan masa mencukupi untuk membuat persediaan cukai GST, beliau berkata, kerajaan telah memberi masa selama 17 bulan untuk mereka membuat persiapan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/pelaksanaan-gst-perluas-asas-percukaian-negara-1.76236#sthash.qRwLJOzN.dpuf
Pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) bertujuan mewujudkan perseimbangan dalam memperluaskan asas percukaian negara memandangkan hanya dua juta pembayar cukai berbanding 28 juta penduduk di Malaysia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, selaras dengan langkah konsolidasi fiskal yang menyasarkan bajet seimbang menjelang 2020, peningkatan pendapatan negara bukan sahaja dapat mengurangkan defisit fiskal malah dapat melaksanakan banyak projek pembangunan yang tertangguh seperti pembinaan jalan raya, jambatan, sekolah, hospital dan klinik desa.
Menjelaskan secara mudah beliau berkata, GST adalah cukai penggunaan iaitu mereka yang berpendapatan tinggi akan berbelanja lebih, berbanding yang berpendapatan sederhana dan rendah.
“Perlu diingatkan, GST 6 peratus ini menggantikan cukai jualan 10 peratus dan cukai perkhidmatan 6 peratus, ia bukan cukai tambahan. Kadar 6 peratus yang dikenakan adalah yang terendah di ASEAN dan antara yang terendah di dunia.
“Sebagai contoh, kadar di Singapura dan Thailand 7 peratus, Indonesia, Australia dan Vietnam 10 peratus, Filipina 12 peratus sementara di UK (United Kingdom) jauh lebih tinggi iaitu 20 peratus,’’ katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas mengenai rungutan golongan peniaga kononnya tidak diberikan masa mencukupi untuk membuat persediaan cukai GST, beliau berkata, kerajaan telah memberi masa selama 17 bulan untuk mereka membuat persiapan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/pelaksanaan-gst-perluas-asas-percukaian-negara-1.76236#sthash.qRwLJOzN.dpuf

Wednesday, March 25, 2015

VALE ECO CENTRE MENYEMAI RASA CINTA ALAM SEKITAR

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Saya tidak melepaskan peluang apabila diarahkan ke Bengkel Pemurnian Vale Eco Centre (VEC) di Virgo Teluk Batik pada 23-24 hb Mac lalu.

Pintu masuk ke Vale Eco Centre
 Walaupun Vale dikenali sebagai sebuah syarikat multinasional yang sinonim dengan perlombongan, ia tidak melupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) apabila menyediakan satu kawasan seluas lebih 400 hektar di sebelah Teluk Batik sebagai pusat pendidikan alam sekitar. Dengan kerjasama Persatuan Pemcinta Alam Malaysia atau MNS, Vale mengorak langkah menyediakan prasarana dan modal bagi merealisasikan idea tersebut.
Papan tanda sejarah penubuhan VEC


Peserta memulakan kembara di VEC
Sepanjang bengkel pendek selama dua hari satu malam tersebut, peserta yang terdiri daripada guru, pegawai penyelidik Institut Penyelidikan Hutan Malaysia (FRIM), wakil Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) dan wakil dari Vale sendiri telah berganding bahu mencari formula menambah baik VEC menjadi pusat pendidikan setempat khususnya untuk alam sekitar.
Langkah keselamatan mendaftar masuk di buku daftar

Taklimat oleh sukarelawan MNS sebelum kembara

Peta laluan kami

Tagging

Sdr Farid sukarelawan Vale menerangkan aspek keselamatan

Dr Nor Azlin dan staf FRIM Kepong mendengar taklimat

Air bukit yang sejuk

Berehat di Wetland VEC

Pacat hutan yang mesra


Perbincangan bersama guru, MNS dan FRIM
 Sesungguhnya saya merasakan pengalaman berada di bengkel dengan pegawai penyelidik seperti Dr Nor Azlin (FRIM) adalah satu peluang yang jarang diperolehi. Seronok mengembara di denai hutan VEC sambil melihat sendiri kelestarian biodiversiti dan keindahan fauna dan flora di situ.

MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...