Sunday, March 1, 2009

Ketegasan SPRM Belum Terbukti?

Terima kasih kerana sudi singgah di blog saya. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di blog ini.

Mulai Januari 2009, Badan pencegah Rasuah, ditukar fungsi dan kemampuan, menjadi Suruhan jaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Ini adalah satu usaha menjadikan Malaysia bebas rasuah, kerana selama ini, indeks rasuah di negara ini pada kedudukan yang membimbangkan.

Mstar online telah mengadakan temu bual bersama Datuk Seri Ahmad Said Hamdan, Ketua Pesuruhjaya SPRM di pejabatnya, baru-baru ini.

SOALAN Ada yang pihak yang mendakwa SPRM mengamalkan double standard kerana kes yang lama belum selesai tetapi kes yang baru seperti kes salah guna kuasa Tan Sri Khalid Ibrahim (Menetri Besar selangor) sudah selesai?

AHMAD SAID: Itu adalah masalah persepsi. Ia mengambil masa. Kita akan mengekalkan tahap konsisten kita. Apa yang orang ramai mahu, kita konsisten.

Sebelum ini pun kita konsisten tetapi ini adalah masalah persepsi orang ramai. Sekarang ini, mereka yang membuat laporan menghebahkan dulu dalam akhbar, kemudian barulah membuat laporan kepada SPRM.

Penyiasatan dalam SPRM ini adalah elemen kejutan. Kita mesti membuat orang ramai terkejut dengan bukti yang ada tetapi sekarang, kita pula yang terkejut dengan laporan dalam akhbar.

Kita mempunyai Jawatankuasa Penilaian Operasi dan dalam Suruhanjaya ini, kita tidak perlu menyelesaikan sesuatu kes dalam masa setahun. Kalau lebih daripada setahun, kita perlu memberi penjelasan kepada jawatankuasa. Ini adalah peraturan baru.

SOALAN Adakah Datuk Seri menyesal mendedahkan hasil siasatan itu selepas melihat reaksi negatif yang diterima?

AHMAD SAID: Tidak. Kita hanya serahkan kepada Peguam Negara.

SOALAN Mungkin selepas ini Datuk Seri akan ragu-ragu untuk mendedahkan hasil siasatan itu?

AHMAD SAID: Ia terpulang kepada kes tetapi kalau begini keadaannya, lebih baik kita tidak beritahu. Saya senyap sahaja. Tetapi kalau kita terus tangkap, mereka akan lebih marah pula.

SOALAN Bagaimana pandangan Datuk Seri mengenai tindakan Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang menghadiahkan lembu kepada SPRM sebagai tanda protes mereka kerana SPRM didakwa mengamalkan double standard?

AHMAD SAID: Ia adalah penghinaan kepada kerajaan. Kita telah buat laporan polis mengenai hal itu dan kini terserah kepada polis. Menghina kakitangan kerajaan yang menjalankan tugas mereka adalah satu kesalahan.

Mereka menggunakan lembu untuk memperolokkan orang lain. Itu bukan sesuatu yang baik. Pada saya, itu memperolokkan kami... mereka memperkatakan tentang profesionalisme tetapi mereka sendiri tidak profesional. Mereka emosional. Kita baru membuat sedikit penguatkuasaan dan mereka sudah mula berkata macam-macam tentang kita. Sebelum ini, apabila kita menangkap orang-orang daripada kerajaan dan sektor swasta, mereka tidak pula berkata apa-apa.

SOALAN Bagaimana SPRM mampu menjadi sebuah suruhanjaya yang bebas?

AHMAD SAID: Jika kita melihat undang-undang yang diperuntukkan, tidak ada satu perkataan pun yang menyatakan kita perlu mendapatkan kebenaran daripada Perdana Menteri untuk melakukan pendakwaan. Tiada apa yang kita perlu rujuk kepada Perdana Menteri.

Apa yang ternyata dalam undang-undang adalah kita perlu malaporkan aktiviti kepada Lembaga Penasihat dan Jawatankuasa Penilaian Operasi. Jika orang ramai ingin membuat aduan, terdapat Jawatankuasa Aduan yang dianggotai bekas hakim untuk melihat aduan itu. Jawatankuasa akan meneliti aduan-aduan ini dan semua itu dilakukan oleh individu-individu yang bebas.

Kebebasan adalah elemen yang penting untuk menyiasat dan membuat keputusan. Di bawah undang-undang, SPRM menyiasat sesiapa sahaja tanpa perlu merujuk kepada Perdana Menteri. Itulah yang dinamakan bebas.

SOALAN Adakah semua kes yang kepada jawatankuasa adalah kes berstatus tinggi?

AHMAD SAID: Tidak. Semua kes sama ada melibatkan RM10, RM20, RM100, semua kita beri dengan maklumat yang lengkap. Ini bukan satu perkara yang main-main. Banyak kerja yang perlu dilakukan Kita mahu orang ramai tahu tang kita benar-benar menjalankan tugas dan kita tidak main-main. Kita serius.

SOALAN Bagaimana siasatan kes yang dilaporkan pada tahun lalu?

AHMAD SAID: Semua kes sebelum 1 Januari 2009 akan disiasat menggunakan mekanisme lama. Ia perlu dihantar kepada Peguam Negara dan jika Peguam Negara kata tutup, maka akan ditutup.

Bermula 1 Januari lalu, kita akan cadangkan kepada bahagian pendakwaan dan perundangan dan bahagian tersebut akan memutuskan. Jika dikatakan tidak ada kes, kita perlu membentangkannya kepada Jawatankuasa Penilaian Operasi. Pegawai perundangan kita akan menghadiri mesyuarat bagi menerangkan mengapa keputusan itu dibuat... ini merupakan langkah perlindungan dan orang ramai akan yakin.

SOALAN Memandangkan SPRM kini di bawah undang-undang baru, adakah SPRM menasihatkan mereka yang sebelum ini membuat laporan di bawah undang-undang lama membuat laporan baru?

AHMAD SAID: Tidak perlu kerana kalau kita sudah selesai melakukan siasatan dan kita sudah buat keputusan tidak ada bukti kecuali jika ada bukti baru. Kalau bukti yang sama, tidak ada guna kita buka semual kes tersebut.

SOALAN Adakah kuasa pendakwaan hanya terletak kepada Pendakwa Raya?

AHMAD SAID: Kuasa pendakawaan terletak kepada Pendakwa Raya dan kita mempunyai 31 Timbalan Pendakwa Raya di pejabat ini yang diketuai oleh Peguam Kanan Persekutuan yang merupakan Pengarah Perundangan dan Pendakwaan. Beliau yang akan menentukan dan membuat keputusan termasuk pendakwaan.

SOALAN Ada banyak laporan terhadap bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamad Khir Toyo tetapi sehingga hari ini tiada dakwaan dilakukan sehinggakan baru-baru ini 20 laporan yang sama dilaporkan semula.

AHMAD SAID: Tidak ada bukti terhadap kes beliau. Kes-kes yang dilaporkan adalah kes yang sama. Semua kes itu telah ditutup. Jika bukti yang sama diberikan seperti kes sebelum ini, tidal ada sebab untuk kita membuka semula kes itu. Kita hanya akan membuka kes itu jika ada bukti baru.

SOALAN Bagaimana dengan kes klip video Lingam? Orang ramai berpendapat, SPRM dengan segera menyiasat Tan Sri Khalid sedangkan kes Lingam masih belum selesai?

AHMAD SAID: Kami sudah lama menyelesaikan siasatan (kes klip video Lingan) tersebut. Sebenarnya, lebih senang untuk kita mendakwa seseorang daripada tidak mendakwanya terutamanya apabila Suruhanjaya Diraja mengatakan wujud kes.

Bagaimanapun kini, apa yang mengganggu kes itu adalah apabila saksi utama bagi kes itu enggan memberi kerjasama. Disebabkan kini kita mempunyai Jawatankuasa Penilaian Operasi, kita menerangkan kepada mereka mengapa kita tidak boleh membuat dakwaan. Ini bukan sebab kita tidak mahu mendakwa tetapi disebabkan saksi tidak mahu bekerjasama. Sesiapa sahaja tidak boleh memaksa beliau untuk meminta beliau memberi kerjasama kerana apabila di mahkamah nanti, saksi akan berkata beliau dipaksa dan kenyataannya tidak akan boleh diterima. Kita perlu mematuhi sistem undang-undang.

Dalam kes itu, adakah Suruhanjaya Diraja telah memastikan yang Lingam menerima atau memberi rasuah? Tidak. Memang klip video itu ada tetapi kepada isu kesalahan undang-undang di bawah bidang kami iaitu rasuah. Adakah Lingam menyalahguna kuasa? Kuasa apa yang beliau ada? Seseorang itu mesti mempunyai kuasa untuk menyalahguna kuasa. Beliau tidak mempunyai sebarang status rasmi atau jawatan rasmi, jadi beliau tidak menyalahguna kuasa.

Kami telah menyerahkan kes itu kepada Peguam Negara. Dalam dua siasatan, kes tidak wujud dan bagi dua kes lagi, kami telah menghantar cadangan kita.

Jika dibenarkan, kami boleh memberi penerangan terperinci mengenai penyiasatan dan penemuannya. Adakah anda fikir yang orang ramai ingin mengetahuinya? Ya., disebabkan itu Seksyen 29(4) memberi kita kuasa untuk kita memberitahu penemuannya. Bagaimanapun, apabila kami mendedahkan penemuan itu, begitu banyak sekali orang bercakap.

Selain itu, ada sesetengah kes yang akan mengambil masa lama kerana ada kes yang mudah dan ada juga kes yang rumit.

SOALAN Di Perak, adakah SPRM serius dalam menyiasat lompat parti yang membawa kepada kejatuhan kerajaan Perak daripada Pakatan Rakyat yang didakwa disebabkan rasuah dan pujukan?

AHMAD SAID: Kami serius menyiasatnya daripada mula lagi. Sebab itu kami menahan mereka (ADUN Behrang dan Changkat Jering). Kita hanya menjalankan tugas. Apa bezanya jika mereka lompat parti sekarang? Bila kami mendawka mereka, kami telah menyelesaikan tugas kami. Sekarang ini, adalah menjadi tugas pihak pendakwaan untuk mendakwa.

SOALAN Bagaimana dengan aduan oleh Pakatan Rakyat di Perak berhubung tawaran RM50 juta yang dibuat terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak? Adakah SPRM bertindak terhadap aduan itu?

AHMAD SAID: Ya dan kita akan bertindak dengan segera. Kita tidak ada belas kasihan terhadap sesiapa pun. Semua perlu memahami peranan jawatankuasa dalam Suruhanjaya ini yang mewakili orang ramai bagi memastikan Suruhanjaya menjalankan tugas mengikut undang-undang. Jika ada kes yang mahu ditutup, kita perlu merujuk kepada jawatankuasa dan jawatankuasa ini adalah orang-orang yang tiada kaitan dengan kerajaan seperti akauntan dan peguam.

Adakah SPRM berani mendakwa Datuk Seri Najib (jika ada kes) kerana beliau adalah bakal Perdana Menteri?

Adakah anda fikir kami berani katakan kepada jawatankuasa bahawa kami tidak mahu mendakwa Perdana Menteri. Kalau dikatakan tidak ada bukti, adakah semua pegawai saya akan berpakat mengatakan yang kami tidak ada bukti. Kita perlu memberi penjelasan mengapa kita tidak mahu dakwa dan jawatankuasa boleh minta kita semak dan melihat semula kes itu. Itulah yang berlaku di Hong Kong dan ia menjadi.

Laporan mengatakan yang duit yang diterima itu ditawarkan kira-kira setahun lalu ketika mereka ini menang kerusi (ADUN dalam pilihan raya umum) dan panggilan itu dikatakan datang daripada parti dan istana. Tetapi bagaimana kita dapat memastikannya? Sesiapa sahaja boleh mendakwa yang mereka adalah ejen daripada parti dan istana. Kadangkala, ia mungkin daripada parti yang sama yang mungkin mahu ahli-ahli mereka untuk melihat, jika mereka ditawarkan RM50 juta, adakah ahli-ahli ini akan lompat parti.

Mereka ini sebenarnya bukan bertujuan untuk membuat laporan. Mereka lakukannnya untuk memalukan orang. Mereka lebih suka jika SPRM gagal kerana mereka boleh katakan, kerajaan berat sebelah. Jika mereka serius dalam membuat laporan, mereka akan melaporkan dan diam. Bagaimanapun, jika kita tidak menjalankan tugas, barulah mereka boleh 'hentam' kita. Tetapi mereka telah memalukan orang melalui media terlebih dahulu. Adakah itu adil?

SOALAN Bagaimana kesukaran menyiasat ahli-ahli politik?

AHMAD SAID: Ia sukar kerana apabila melibatkan ahli politik, semua orang bertindak mengikut emosi dan sentimen kumpulan dan mereka seterusnya mula menyalahkan kita.

SOALAN Jika dahulu, BPR tidak menyiasat politik wang dalam pemilihan parti tetapi mengapa kini, mengapa SPRM menyiasat Umno?

Orang-orang Umno yang membuat aduan kepada SPRM... sebab itu kami menyiasatnya. Tahun ini, ramai orang Umno yang datang membuat laporan. Saya melihat perkara ini sebagai petanda yang baik orang Umno juga tidak membenarkan rasuah berlaku.

Aku berharap Mohd Said tidak beretorik semata-mata. Sebenarnya, harapan rakyat sangat tinggi kepada SPRM. Rasuah boleh menghancurkan sesebuah negara, kerajaan malah boleh menggugat kedaulatan negara. Jika SPRM mampu menyiasat dan mengambil tindakan tegas tanpa mengira kedudukan dan pangkat, integriti SPRM akan dipandang mulia. Ketika itu, mana-mana ahli politik pun takut untuk mengamalkan rasuah, kerana tiada siapa boleh melindungi mereka.

Persoalannya, itu realiti atau fantasi?

2 comments:

  1. semuanya bergantung kepada persepsi masing2.... tepuk dada tanya akal

    ReplyDelete
  2. Shifu67,

    Makaseh rajin singgah.. Rasuah, jika diamalkan boleh meranapkan negara.

    Ada perbezaan jelas antara rasuah dan sedekah. Rasuah ibarat satu pelaburan untuk mendapat sesuatu projek yang memberi pulangan kepada perasuah.

    Sedekah, satu bentuk pemberian, kepada individu yang memerlukan TANPA MENGHARAPKAN APA-APA LABA, KECUALI IKHLAS UNTUK ALLAH.

    Teman rasa, tepuk dada, tanya iman.. Sebab kalu iman kuat, takkan berani kita nak terima rasuah untuk beri makan anak bini.

    Syukur dengan apa yang ada...

    ReplyDelete

Jejak yang ditinggalkan