Tuesday, March 31, 2009

Susahnya Mengawal Rasa Marah..

Terima kasih kerana sudi singgah di blog saya. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di blog ini.

Mustahil kita tidak pernah marah. Marah adalah manifestasi perasaan tidak puas hati, yang disimpan dalam tempoh tertentu. Secara normal, manusia yang tidak berupaya mengawal rasa marah akan menghadapi masalah dalam hubungan sosialnya. Apa kata, kita kongsi beberapa tips untuk mengawal dan menahan rasa marah.

Cara menahan marah



Marah, apabila tidak dibendung akan membawa perkara yang di luar batasan. Kes penderaan terhadap anak, isteri malah pembantu rumah adalah contoh kejadian marah yang tidak dapat dikawal. Agama Islam mengajar umatnya menahan marah seperti berikut:

Pertama

Melatih diri untuk bersifat baik dan positif (lemah lembut, baik hati, sabar, dan tenang menghadapi situasi yang menjadi punca tidak puas hati.

Rasulullah saw telah menunjukkan contoh terbaik kepada kita dalam hal ini :

Suatu hari seorg lelaki yang bernama Zaid bin Sa’nah (sebelum keislamannya), datang berjumpa Nabi Muhamad SAW untuk meminta hutang daripada Nabi SAW namun, hutang tersebut belum masanya lagi untuk dibayar. Zaid datang dengan penuh kekerasan dan kekasaran. Nabi menyambut kedatangan Zaid dengan senyuman dan berlapang dada. Umar mengherdik Zaid atas kekasaran Zaid terhadap Rasulullah SAW.

Maka, Nabi pun berkata kepada Zaid dan Umar, “Aku dan dia (Zaid), kami lebih memerlukan kepada sikap yang lain daripada apa yang kamu tunjukkan wahai Umar. Engkau sepatutnya menyuruh aku supaya membayar dengan baik dan menyuruh lelaki tadi (Zaid) meminta dengan cara yang baik.”

Para sahabat menawarkan diri untuk membayar hutang tersebut, namun Nabi telah membayar lebih daripada hutang tersebut sebagai tanda memujuk Zaid atas sikap Umar yang berkasar terhadapnya.

Dengan sikap dan akhlak yg ditunjukkan Nabi maka, akhirnya Zaid memeluk Islam

(hadith riwayat ibnu hibban al-hakim dan at-thabrani)



Kedua

Apabila seseorang itu sedang marah, kuatkn jiwanya dengan mengingati akibat buruk marah dan mengingati kelebihan orang yang menahan marah dan memaafkan kesalahan org lain.

Firman Allah swt

“Orang-orang yang bertakwa ialah mereka yang berinfak baik pada waktu lapang mahupun sempit, dan orang yang menahan amarahnya dan memaafkan kesalahan org lain. dan Allah mencintai orang yang berbuat kebaikan” (Al-Imran:134)

Nabi SAW bersabda bermaksud :

“Sesiapa yang menahan marah sedangkan dia mampu melepaskan marahnya Allah akan memanggilnya pada hari kiamat di depan sekalian makhluk sehingga Allah memberinya pilihan untuk dia memilih mana-mana bidadari”
(Hadith riwayat Ahmad, Abu Daud & At-Tirmizi)


Ketiga

Meminta perlindungan kepada Allah Ta’ala daripada syaitan yang direjam.

Firman Allah Ta’ala :

”Dan jika syaitan datang menggodamu maka berlindunglah kepada Allah. Sungguh, Dia Maha Mendengar , Maha Mengetahui” (Al-A’raf:200)

Dua orang lelaki bermaki-makian di depan Nabi, salah seorang daripada mereka memaki seorang lagi dengan keadaan merah padam mukanya kerana kemarahan.

Nabi SAW bersabda maksudnya :

”Sesungguhnya aku mengetahui satu kalimah kalaulah kalimah tersebut diucapkan oleh orang yang marah itu nescaya akan hilang kemarahannya iaitu aku berlindung dengan Allah Ta’ala daripada syaitan yang direjam
(Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)


Keempat

Orang yang marah hendaklah mengubah kedudukannya dari berdiri kepada duduk, apabila kedudukan seseorang yang marah itu berdiri maka memudahkan dia untuk mengawal amarahnya.

Nabi SAW bersabda maksudnya :

”Apabila seseorang kamu marah dalam keadaan berdiri hendaklah dia duduk, jika masih tidak hilang kemarahannya hendaklah dia berbaring secara mengiring”
(Hadith riwayat Ahmad & Abu Daud)


Kelima

Tidak berkata-kata kerana kata-kata boleh menambahkan kemarahan dan kata-kata yang telah dilafazkan membuatkan timbul rasa penyesalan ketika perasaan marah telah reda.

Nabi SAW bersabda maksudnya :

”Apabila seseorang kamu marah hendaklah dia diam"
(Nabi saw mengucapkannya 3 kali)

(Hadith riwayat Ahmad, Tarmizi & Abu Daud)


Keenam

Berwudhuk, kerana kemarahan datang daripada syaitan yang dicipta daripada api. Oleh itu,elemen yang dapat memadamkan api adalah air yang dapat diperoleh daripada berwudhuk. Dengan izizn Allah, air dapat meredakan kemarahan.

Nabi SAW bersabda maksudnya :

“Sesungguhnya kemarahan adalah daripada syaitan dan syaitan dicipta daripada api, apabila salah seorang kamu marah maka hendaklah dia berwudhuk”
(Hadith riwayat Ahmad & Abu Daud)

Rujukan: Al-Wafi Fi Syarhil Arbai'in an-Nawawiyyah oleh Dr Mustafa al-Bugho dan Dr Muhyiddin Mistu.


Terima kasih kepada adikku Wan Murzulaikha.

10 comments:

  1. Salam sdr. Brahim.

    Kalau marah, saya akan meninggalkan tempat itu dan bersendirian untuk tenangkan kemarahan saya.

    Kalau di dalam majlis pun saya akan tinggalkan majlis itu. Begitu juga kalau saya diprovoke. Saya akan pusing belakang dan berlalu. Kalau saya tunggu akan buruk padahnya.

    ReplyDelete
  2. hmmmmm, Pakdin bertindak bijak..

    Itu pun satu cara mengawal rasa marah.

    Saya lebih suka menyepi, pehtu blahh.

    Lebih kuranglah kita..

    ReplyDelete
  3. yop

    macam mounth juga - biasanya saya akan meninggalkan tempat tu....

    rasanya itu lebih praktikal.
    sebab dihujung kemarahan akan ada yang lain akan keluar.
    pertengkaran
    kritikan....

    untuk itu - elakkan.

    ReplyDelete
  4. Bang Harun,

    Amacam Bukit Gantang? Ada amarah rakyat yang terpendam ke?

    Apa-apa pun, jangan timbul provokasi daripada pihak lawan, sebab ia akan menyebabkan rasa marah berpanjangan.

    Buat macam SY, marah-marah sayang..

    ReplyDelete
  5. sy dari dulu selalu ajar diri saya utk kenang kisah kesedihan Rasulullah bila Hamzah dibunuh. cam tu lah saya kawal marah.

    ReplyDelete
  6. Salam Cikgu,

    Ada tengok filem Anger Management (Pengurusan Kemarahan) lakonan Jack Nicholson & Adam Sandler? Kelakar beb..

    Saya kalau marah, saya akan karate meja kat kedai mamak tempat saya tengok bola...Mamak tu hanya mampu mengalirkan air mata hiba...

    ReplyDelete
  7. Bab ni sy kalah.....jenuh betul nk kawal marah...

    Mulut ni asyik nk menjawab je...isk...isk...bahaya sungguh.

    Kekadang je lari...tapi kalau dalam kelas tgh ngajar macam mana nk lari kan?

    ReplyDelete
  8. kalau marah... pegi basuh muka... lagi baik kalau ambil air sembahyang..

    ReplyDelete
  9. Maksu,

    Kekadang marah jadi motivasi untuk kita perbaiki diri, tetapi selalunya marah mencetuskan suasana tak sihat..


    Razzi,

    Nanti teman caghi filem tu. Mike idak ke Bukit Gantang? huahuahuahua...

    Asyiq,

    Bahaya juga jika menjawab ketika marah. Ibarat mencurah minyak ke dalam api. Sebaiknya begini, kalau yang dilawan itu sedang meninggi suara, kita perlahankan, atau diam saja. Bukan bererti kalah... kan?

    ReplyDelete
  10. Shifu67, setuju...
    Ambil wuduk. Insya Allah tenang..

    ReplyDelete

Jejak yang ditinggalkan

MENJALA TALAPIA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Agak lama juga saya tidak menjala ik...